Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Nai Dinamik/Koleksi Syed Wafa
LAGU “Di Antara Gadis” dan “Biar Putih Tulang” dendangan Nai Dinamik sering kedengaran di corong radio. Memang tak jemu mendengar lagu yang dipetik daripada album kumpulan Dinamik itu.
“Di Antara Gadis” adalah lagu ciptaan Afzainizam Ismail dan lirik oleh isterinya, Azimah yang dimuat dalam album studio pertama Dinamik iaitu “Revolusi Mental” yang diterbitkan pada Oktober 1990. Sementara lagu “Biar Putih Tulang” dimuatkan dalam album studio kedua Dinamik yang berjudul “Repplika” pada 1992.
Meskipun berita mengenai perjalanan seni Nai atau nama kelahirannya, James Junai Juki yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-58 tahun pada 20 November lalu kurang berbanding penyanyi lain, namun penggemar irama rock kapak tetap tahu bahawa itu adalah lagu dendangan Nai Dinamik.
Bagi yang merindui untuk melihat Nai atau nama Islamnya, Muhammad Nur Zainal Abdullah sejak 1992 itu bolehlah menonton persembahannya setiap minggu menerusi program realiti Gegar Vaganza musim ke-11, setiap Ahad, jam 9 malam, di saluran Astro Ria sejak 24 November lalu.
Nai yang berbangsa Iban dan bapa kepada lima orang anak itu berkata, bukan mudah untuk menerima tawaran daripada pihak Astro kerana beliau menetap di Sibu, Sarawak.
“Alhamdulillah, orang kenal saya sebab saya sertai kumpulan Dinamik dan harap bila menyertai program Gegar Vaganza, nama saya akan kembali mewarnai dunia seni hiburan tanah air. Sekali gus nama Dinamik akan kembali naik.
“Saya dan anggota Dinamik tak berpecah cuma kami tidak aktif saja kerana selepas beberapa tahun menyertai Dinamik saya perlu kembali ke Sarawak kerana mahu fokus kepada keluarga. Jadi saya senyap daripada dunia seni buat sementara waktu.
“Susah juga saya sewaktu anak-anak sedang membesar kerana saya cari makan dengan suara, penyanyi tak ada kerja tetap. Kekangan keluarga menyebabkan saya tak boleh nak aktif di Semenanjung. Anak-anak saya ada yang masuk akademik, jadi struggle jugalah. Nak cari wang untuk anak-anak belajar.
“Nak berbisnes saya tak pandai, nak berkebun tanah ada tapi tak ada modal. Jadi terpaksalah saya buat pelbagai kerja untuk kehidupan kami sekeluarga masa anak-anak masih bersekolah,” kongsi Nai tentang kesusahan yang dilalui sewaktu membesarkan anak-anak.
Namun selepas anak-anaknya membesar dan selesai persekolahan, apabila ditawar lagi oleh pihak Astro, Nai tidak menolak untuk mencuba nasib.
“Masa menyepikan diri, ada juga persembahan pentas di sana dan jarang-jarang ke Semenanjung. Saya masih aktif di sana, kadang di Sabah dan Sarawak. Tak sangka tahun ini saya dapat tawaran dan saya tak nak lepaskan peluang kerana inilah masanya untuk saya come back.
“Mula-mula anak sulung saya yang berusia 38 tahun itu, dia tak bagi saya terima kerana dia tak nak bapanya kena komen. Lepas berjumpa dan berbincang serta mendengar penerangan daripada pihak Astro barulah anak saya tu setuju saya sertai GV.
“Saya sertai program Ini bukan untuk menyaingi sesiapa, tapi saya reda mungkin Allah nak tunjuk jalan untuk saya kembali dalam bidang seni suara. Jadi saya akan gunakan jalur di pentas besar ini dengan cara terbaik.
“Mudah-mudahan dengan cara ini kumpulan Dinamik akan kembali beraksi kerana kami tak pernah berpisah. Semua amggota Dinamik tahu saya sertai program ini dan mereka okey dengan keputusan saya. Kalau kumpulan ada show, saya akan sertai mereka. Kalau persembahan solo, saya buat juga.
“Saya faham ini adalah rezeki Allah walaupun sebelum ini pernah ditawar, sewaktu Nizam Laksamana sertai GV musim kedua (2015) dan zaman Ayai Ilusi (GV1). Penerbit call tapi waktu itu fokus pada anak-anak, lima orang.
“Sekarang baru lega kerana anak-anak sudah bekerja dan yang bongsu baru masuk UMS (Universiti Malaysia Sabah),” kata Nai yang pernah tampil dengan lagu-lagu Iban dan Melanau sebelum ini seperti Pugai (Melanau) dari album “Pengingat Besulu” (2003) dan “Kena Jayau” (Iban) dari album “Enda Nyangka” (2014).
Meskipun orang tahu genre muzik Nai Dinamik lebih terarah kepada rock balada, namun sebagai penyanyi beliau tidak kisah jika perlu menyanyi lagu-lagu yang bukan kebiasaannya.
“Saya akan cuba nyanyi lagu genre lain. Saya tak risau kalau disuruh nyanyi genre lain kerana bila buat show kita selalu nyanyi pelbagai lagu. Kalau nak nervous pun pada peringkat awal saja. Kita anggap ini hiburan dan jangan anggap kita bersaing. Kalau anggap diri bersaing memang tertekan, apa yang penting kita enjoy.
“Sebenarnya, bukan nak sangat masuk dunia glamor ni tapi tengok sokongan peminat dan netizen serta keluarga, saya jadi semangat untuk sertai. No problem kalau ada komen negatif kerana kita ada Allah, jadi kita buat yang betul,” katanya penuh semangat.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.