'Malam Silaturahim' bukan sekadar meraikan artis tetapi turut menjadi platform untuk membantu mereka yang memerlukan sumbangan dan perhatian.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SERAMAI 12 artis legenda tanah air bakal menghibur orang ramai sempena sebuah acara eksklusif anjuran HS Event & Entertainment Sdn. Bhd., yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL), pada 25 Disember ini.

Barisan penyanyi yang bakal beraksi di pentas sempena ‘Malam Silaturahim’ itu ialah Dwan Olan, Mel Wings, Joey BPR, Ali XPDC, Aris Ariwatan, Poey Sting, Ameng Spring, Asheed DEF GAP C, Bagiio, Amir Ukays, Wan Bossanova dan Noorshila Amin.

Majlis sidang media menjelaskan objektif penganjuran ‘Malam Silaturahim’.

Penganjur program, Datin Rosmariza Che Umar berkata, objektif utama ‘Malam Silaturahim’ adalah untuk merapatkan hubungan antara penggiat seni sambil menghargai jasa mereka.

Katanya lagi, acara ini juga bakal menjanjikan pengalaman istimewa dengan persembahan oleh artis-artis terkenal serta turut mempromosi inisiatif amal untuk membantu penggiat seni dan rakan media yang memerlukan.

Antara barisan artis yang bakal beraksi di pentas ‘Malam Silaturahim’.

“Selain meraikan artis legenda, acara ini juga mengiktiraf individu-individu penting seperti Ali Bakar, Dollah Bacha, dan Saari Amri, yang pernah menjadi tulang belakang kejayaan industri seni.

“Acara ini bukan semata-mata untuk meraikan artis-artis kita, tetapi turut menjadi platform untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Ia bakal menyatukan individu yang pernah menjadi tonggak industri seni tanah air,” katanya pada majlis sidang media ‘Malam Silaturahim’ yang berlangsung pada 26 November lalu di Restoran Saloma Kuala Lumpur, Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang.

Muhammad Yunus Abdul Rashid atau Ebby Yus, antara yang menerima sumbangan daripada HS Event & Entertainment .
Bekas wartawan, Mohd Rosli bin Manah antara yang menerima sumbangan.

Tambahnya, sumbangan khas berupa wang tunai turut diberikan kepada penggiat seni dan rakan-rakan media yang kurang bernasib baik melalui kerjasama dengan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Seramai 20 orang penerima sumbangan, antaranya adalah Syah Nizam Ahmad Shamsi (Along Jinbara), Salim Ibrahim (Dr. Sam) dan Muhammad Yunus Abdul Rashid (Ebby Yus), selain beberapa nama besar lain dalam industri seni.

Anak-anak seni yang pernah berjasa kepada industri seni tanah air.

Jelas Rosmariza, Dewan Merdeka dipilih sebagai lokasi kerana ia mampu menampung sehingga 1,500 penonton manakala majlis makan malam akan diadakan di aras bawah sebelum konsert bermula.

Penganjuran program tersebut turut menunjukkan komitmen HS Event & Entertainment untuk terus menyokong industri seni sambil memberikan impak positif kepada komuniti seni tanah air.

Bagi yang ingin menonton sambil beramal persembahan artis legenda, tiket sudah mula dijual.

Bagi yang ingin menonton persembahan tersebut bolehlah dapatkan tiket konsert Malam Silaturahim bermula serendah RM150 dan untuk tempahan sila hubungi Ain (012-9721125), Wani (018-2404367) atau Syafik (014-9402091).

Previous article“Perayaan Patah Hati” bersama for Revenge, 6 Disember ini
Next articleNai Dinamik bersemangat kerana sokongan orang ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here