Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Ismail Izzani
SETIAP hari ada sahaja bakat baharu yang mahu mencuba nasib sebagai penyanyi. Pada zaman sekarang ramai yang menjadikan media sosial sebagai platform untuk tonjolkan bakat masing-masing dengan menyanyikan lagu-lagu popular mengikut versi tersendiri.
Jika dendangan bakat-bakat baharu itu mendapat banyak tontonan, nanti adalah pihak yang tampil untuk menawarkan mereka membuat rakaman lagu khas untuk mereka.
Namun berbeza dengan penglibatan Ismail Izzani dalam bidang seni suara tanah air yang bermula pada 2016 itu. Anak kepada penyanyi Suliza Salam itu bukan saya boleh menyanyi, malah beliau juga berkebolehan mencipta lagu dan menulis lirik.
Ismail Izzani Zainal Nazeri yang lahir pada 13 April 2000 membuktikan kelebihannya berbanding bakat baharu yang lain apabila muncul dengan single pertama berjudul “Sabar” pada Februari 2017. Single ciptaannya bersama Omar K, Adib Hamdi dan Zyn yang dikeluarkan ketika usianya 17 tahun mendapat sambutan hangat termasuklah di Indonesia.
Rentetan daripada sambutan memberangsangkan terhadap lagu berentak pop R & B itu, Ismail diberi peluang berduet dengan Siti Nordiana dan dua artis Indonesia, Rizky Febian serta Fatin Shidqia menerusi lagu “Raya Nusantara” sempena Aidilfitri yang dikeluarkan pada Jun 2017.
Seterusnya, nama Ismail Izzani mencanak naik apabila anak bongsu daripada tiga beradik itu bergandingan dengan Alyph menerusi lagu “Luar Biasa” selepas tampil dengan single “Demi Kita”.
Ismail Izzani yang selesa membahasakan dirinya sebagai Mail sehingga kini telah berkolaborasi dengan beberapa penyanyi lain seperti Andi Bernadee untuk lagu “Hello”, Zizan Razak (“Berserah”) dan Naim Daniel (“Sedih”).
Terkini beliau tampil dengan single “Iman” ciptaan dan lirik oleh Joe Flizzow yang mengisahkan percintaan seorang lelaki kepada wanita idamannya bernama Iman.
“Selepas dua tahun berehat, saya gembira mendapat lagu “Iman” daripada Joe untuk dirakamkan sebagai single terbaharu. Ini kerana, nuansa muziknya belum pernah saya bawakan.
“Malah, saya juga anggap lagu “Iman” sebagai hadiah daripada Joe. Apatah lagi, saya kini bernaung di bawah syarikat rakaman, Def Jam Malaysia. Lagu Iman ini adalah sesuatu yang baharu untuk industri sebab bagi saya kita tak boleh duduk dalam satu kotak yang kita selesa.
“Saya pun tahu, saya boleh saja buat lagu pop bila orang boleh sokong. Dengan team yang ada sekarang, alhamdulillah saya dapat jumpa team dari Thailand, Filipina dan Indonesia. Banyak sudah lagu yang kita buat dan bila tiba masanya, saya akan kongsi,” katanya yang mahu kembali aktif sebagai penyanyi selepas berehat selama dua tahun sebelum ini.
Sejujurnya, kata Ismail Izzani, beliau gembira kerana lagu “Iman” yang berentak afro beats itu diterima oleh orang ramai dan lagu-lagu lama dendangannya juga masih lagi dicari di Sportify.
“Melihat kepada sokongan orang ramai, saya yakin ini adalah satu permulaan yang bagus untuk saya memulakan tahun 2025. Tahun lalu walaupun orang kata perjalanan karier saya agak slow selepas dua tahun tidak keluarkan produk baharu dan jarang berlakon tapi saya rasa inilah masanya untuk saya kembali aktif seperti dulu.
“Tahun ini usia saya baru 25 tahun ini, ada banyak benda lagi yang perlu saya belajar, banyak yang perlu digilap antara vokal dan persembahan saya. Saya rasa 2025 adalah tahun bagus untuk saya memulakan semula kerjaya seni saya,” katanya bersemangat.
Tanpa berselindung Mail mengakui dalam tempoh dua tahun beliau ‘berehat’ daripada bidang seni tanpa ada karya baharu sebelum “Iman” banyak membantunya dari segi mental, fizikal dan sebagainya selepas banyak perkara berlaku.
“Selepas banyak perkara yang berlaku, saya rasa inilah masanya untuk saya berehat seketika kerana saya bermula dari usia muda iaitu 17 tahun. Secara jujurnya bukan mudah untuk berada di tempat sekarang. Dalam usia muda saya terdedah dengan persekitaran yang tidak biasa dilalui dan banyak lagi perkara yang saya kena belajar dan sebagainya.
“Tidak dinafikan sepanjang tempoh ‘berehat’ itu banyak membantu saya untuk merancang semula karier dan apa yang perlu saya buat. Sebelum ini ramai orang keliru kerana saya ini penyanyi atau pelakon. Sebab ada dalam tempoh satu tahun tu saya banyak dapat tawaran berlakon jadi orang kalau jumpa pun akan tanya, bila nak berlakon lagi.
“Saya bermula dengan muzik, jadi saya nak orang ingat saya sebagai penyanyi. Bagi saya sasaran tahun ini adalah untuk tampil dengan lebih banyak karya. Salah satu Impian saya adalah untuk melebarkan muzik saya di luar negara.
“Saya memang cuba juga untuk bawa industri muzik Malaysia ini ke luar sebab industri kita ini besar. Apa yang kita perlukan adalah sokongan daripada orang kita sendiri,” katanya yang pernah menghasilkan album penuh berjudul “Ismail Izzani” pada 2022.
Beliau yang berazam untuk menjadi insan yang lebih baik dan sempurna pada diri sendiri serta keluarga juga mahu pastikan karyanya itu turut dikongsi dengan penggemar muzik di luar negara juga.
“Insya-Allah pada tahun ini akan lebih banyak karya, tapi apa pun bergantung kepada team. Kita akan berbincang apa yang terbaik untuk karier saya. Saya percaya kepada team baharu saya dan insya-Allah akan ada beberapa projek selepas ini.
“Meskipun sekarang ini ramai saja bakat baharu dalam industri, saya tak ada masalah, sebaliknya rasa gembira kerana Malaysia ada ramai orang berbakat.
“Bagi saya pembabitan dalam industri ini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, apa yang saya idamkan adalah untuk kongsi muzk saya dan apa yang saya boleh lakukan di luar sana dan saya suka dengan apa yang saya lakukan. This is my passion and I really love music dan saya suka menghiburkan orang dan saya rasa benda itu dah terlalu kuat untuk saya rasa bersaing dengan orang lain,” akuinya.
Sering terpalit dengan kontroversi
DI antara ramai penyanyi lapisan baharu, nama Ismail Izzani tidak lepas daripada terkait dengan kontroversi. Antara kontroversi yang membabitkan beliau adalah gosip telah berkahwin dan namanya juga terheret dengan kontroversi berpelukan di kelab malam.
Menerusi sebuah video berdurasi tujuh saat menyaksikan lelaki bermirip penyanyi itu dipercayai dalam keadaan mabuk merangkul gadis seksi sambil mengucup pada bahagian pipi dan leher dalam keadaan ghairah. Malah lelaki terbabit juga sempat memandang ke arah kamera merakamkan wajahnya dipercayai dalam keadaan ‘lalok’.
Meskipun namanya ‘tercemar’, beliau tidak mudah melatah kerana sedar setiap pergerakan anak seni pasti menjadi perhatian dan bahan untuk dimuat naik di media sosial.
“Bagi saya perbezaan antara orang dahulu dan sekarang adalah sosial media dan kamera di mana saja, itu saja yang beza. Bagi saya semua perkara yang saya lalui itu adalah pengalaman untuk diri saya sebagai manusia untuk membesar dan untuk saya faham diri saya lebih mendalam.
“Memang akan ramai orang di luar sana yang akan benci dan buat pelbagai cerita tapi at the end of the day saya akan hidup bersama keluarga dan orang yang saya sayangi. Apa yang saya akan fokuskan adalah be a better man dan jadi diri sendiri,” katanya yang sebelum ini mengadakan The IMANpiano Experience 2.0 di Aquaria, KLCC untuk berjumpa dan berinteraksi dengan peminatnya.
Selain menyanyi dan mencipta lagu serta menulis lirik, Ismail juga pernah mendapat perhatian ramai kerana lakonannya dalam beberapa drama termasuk ‘Kebaya Kasut Kanvas’, ‘Lelaki Lingkungan Cinta’, ‘Keluarga Epik’ dan ‘Bukan Hanya Sekadar Cinta’.
Sementara telefilem lakonannya adalah ‘Batang Buruk Lesung Batu’, ‘Lelaki Kelas Sebelah’, ‘Cerita Raya Luar Biasa’, ‘Gangguan Psiko Stalker’, ‘Impak Maksima Underground’ dan ‘Dendam Penunggu’ merupakan filem pertama lakonannya pada 2021.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.