Oleh : Nafsiah Jani
Puasa memberikan banyak manfaat bagi kesihatan, mendekatkan diri kepada Allah dan membantu membersihkan dosa. Rasulullah SAW bersabda, “Puasa tiga hari setiap bulan adalah seperti puasa sepanjang tahun.”
Selain puasa di bulan Ramadan, puasa sunat pada isnin dan khamis ini juga bagus untuk merehatkan perut yang selama ini bekerja sepanjang masa. Ada puasa sunat yang berbentuk mingguan (Isnin dan Khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan dan puasa tahunan (Hari Arafah, A’syura dan enam hari di bulan Syawal). Fadhilat ibadah puasa adalah sangat besar kerana Allah menjanjikan ganjaran kepada hambaNya yang berpuasa.
Banyak kajian telah menunjukkan kebaikan berpuasa sunat dari segi kesihatan dan kecantikan. Selain manfaat dan ganjaran yang diterima banyak manfaat dan kebaikan berpuasa dari segi kesihatan mengikut sains.
- Puasa terbukti mampu menurunkan berat badan.Berat badan bukan sekadar penting bagi tujuan penampilan, tetapi juga untuk mengekalkan kesihatan badan. Berat badan berlebihan boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah pernafasan.
- Terdapatnya pelbagai jenis makanan kurang berkhasiat serta pengamalan gaya hidup kurang aktif banyak menyumbang kepada penyakit diabetes. Puasa sebenarnya mampu membantu mengawal penyakit diabetes dengan membantu menurunkan kolesterol, tekanan darah dan glukosa darah dalam kalangan pesakit diabetes.
- Puasa juga dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit arteri koronari (CAD), biasanya dikatakan sama dengan serangan jantung, penyakit serebrovaskular (CVD) termasuk strok dan penyakit arteri periferal (PAD).
- Dalam satu kajian menunjukkan bahawa puasa boleh melanjutkan usia dan mencegah penyakit yang terkait dengan penuaan.
- Puasa juga mampu mengurangkan simptom Gastroesophageal Reflux Disease (GERD). GERD disebabkan asid dan makanan di dalam perut tertolak semula ke saluran esofagus (tiub yang menghubungkan antara mulut dan perut) menyebabkan beberapa simptom seperti mual, pedih ulu hati, nafas berbau, muntah dan kembung perut.
- Telah dibuktikan oleh banyak kajian bahawa kebaikan berpuasa dari segi kesihatan adalah bagus untuk otak juga kerana ia mampu meningkatkan daya tumpuan. Fokus sebenarnya lebih baik semasa perut kosong berbanding dalam keadaan kenyang.
- Puasa juga mampu mengurangkan risiko penyakit neurodegeneratif seperti penyakit Alzheimer, Parkinson dan Huntington. Begitu juga penyakit mudah lupa atau demensia. Puasa sunat juga membuatkan otak kita kekal segar dan lambat nyanyuk.
![](https://i0.wp.com/ladybosz.com/wp-content/uploads/2023/10/Nafsiah-Jani-e1697265621171.jpg?resize=100%2C100&ssl=1)
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.