Image by freepik

Oleh Nury Kadir

Perhatikan pula bagaimana adab ulama silam dalam memberi makan orang berpuasa antaranya:

-Hasan al-Basri memberi makan saudaranya sedangkan dia berpuasa sunat dan duduk melayan mereka ketika mereka makan.
-Abdullah bin al-Mubarak memberi makan kepada saudaranya ketika bermusafir dengan makanan yang lazat, sedangkan dia berpuasa.
-Hammad menjamu setiap malam kepada orang ramai pada bulan puasa seramai 500 orang.
-Abdullah bin Umar R.Anhuma berpuasa dan tidak berbuka kecuali bersama dengan fakir miskin.

Apa ganjaran untuk Ibu yang memasak untuk keluarga?

Kemampuan setiap orang berbeza, ada yang mampu dari segi kewangan dan boleh menyediakan makanan untuk orang berpuasa setiap hari tanpa gagal. Ada juga orang yang memiliki kemampuan dari segi tenaga dan kepakaran memasak tetapi tidak ada kemampuan kewangan. Dengan kelebihan yang dimiliki dia dipertanggungjawabkan menyediakan juadah berbuka puasa.

Bagaimana pula dengan seorang ibu yang hanya mampu menyediakan makanan berbuka puasa hanya untuk keluarganya? Adakah mereka mendapat pahala seperti yang disebut di dalam hadis?

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, seseorang ibu yang menyediakan makanan dan hidangan berbuka kepada keluarganya yang berpuasa turut termasuk dalam perbuatan memberi makan kepada orang berbuka. Demikian juga semua ahli keluarga baik suami dan anak-anak yang turut membantu ke arah menyiapkan juadah berbuka turut memperoleh ganjaran seperti yang disebutkan di dalam hadis. Ganjaran ini pula mengikut kadar usaha yang dilakukan dalam erti kata, lebih besar usaha makanya lebih besarlah juga ganjaran pahala.

Berikut adalah perincian kepada jawapan di atas. Perkataan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa datang dalam bentuk yang umum. Dalam erti kata lain, ia meliputi perbuatan membelanja makan, memasak makanan lalu diberikan kepada orang yang berbuka puasa, juga turut meliputi perbuatan membantu penyediaan makanan serta mengagihkan makanan. Setiap individu yang terlibat dalam usaha memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, akan diganjarkan pahala mengikut kadar usaha sama ada banyak ataupun sedikit.

Kerana itu dalam isu perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha’ sama ada makanan yang diberikan adalah makanan yang mengenyangkan atau apa sahaja makanan termasuk makanan yang ringan seperti buah tamar, segelas air, kuih muih, dan seumpamanya, kami berpendapat bahawa makanan yang afdhal adalah makanan yang mengenyangkan. Manakala seseorang yang memberi makanan seperti kurma dan segelas air, turut mendapat pahala perbuatan memberi makan tersebut.

Ini adalah jelas seperti yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ قَالَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ أَوْ تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ
Maksudnya : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya’’. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah SAW : ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah SAW menjawab : ‘’Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’’. (HR Ibn Khuzaimah)

Image by rawpixel.com on Freepik

Daripada hadis di atas, bahawa pahala dan ganjaran itu diberikan mengikut kadar usaha masing-masing dalam memberikan makanan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini juga seperti yang ditunjukkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Khalid Al-Juhani R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.W bersabda :
‏ مَنَ جَهَّزَ غَازِيًا فَقَدْ غَزَا وَمَنْ خَلَفَ غَازِيًا فِي أَهْلِهِ فَقَدْ غَزَا
Maksudnya : “Sesiapa yang mempersiapkan (peralatan) bagi mereka yang pergi berperang, dia juga (dianggap) telah pergi berperang. Dan sesiapa yang menjaga (kebajikan) keluarga seseorang yang pergi berperang, dia juga dianggap telah pergi berperang.” (HR Muslim)

Imam Al-Nawawi dalam syarahan ke atas hadis ini berkata :
وَهَذَا الْأَجْرُ يَحْصُلُ بِكُلِّ جِهَادٍ وَسَوَاءٌ قَلِيلُهُ وَكَثِيرُهُ وَلِكُلِّ خَالِفٍ لَهُ فِي أَهْلِهِ بِخَيْرٍ مِنْ قَضَاءِ حَاجَةٍ لَهُمْ وَإِنْفَاقٍ عَلَيْهِمْ أَوْ مُسَاعَدَتِهِمْ فِي أَمْرِهِمْ وَيَخْتَلِفُ قَدْرُ الثَّوَابِ بِقِلَّةِ ذَلِكَ وَكَثْرَتِهِ وَفِي هَذَا الْحَدِيثِ الْحَثُّ عَلَى الْإِحْسَانِ إِلَى مَنْ فَعَلَ مَصْلَحَةً لِلْمُسْلِمِينَ أَوْ قَامَ بِأَمْرٍ مِنْ مُهِمَّاتِهِمْ
Maksudnya: “Pahala ini terhasil dengan setiap usaha sama ada sedikit mahupun banyak, serta (pahala ini turut diperolehi) setiap individu yang menjaga kebajikan keluarga mereka yang keluar berperang dari sudut menunaikan hajat mereka, bersedekah ke atas mereka, membantu mereka dalam urusan, dan ia (ganjaran pahala) berbeza mengikut kadar sama ada sedikit atau banyak. Pada hadis ini juga terdapat galakan untuk berbuat ihsan (kebajikan) kepada mereka yang berkerja untuk kemaslahatan umat Islam atau mengambil tempat mereka dalam menjaga tanggungjawab dan kepentingan mereka.” (Syarah Al Nawawi ‘ala Sahih Muslim)

Diharapkan perbahasan mengenai memberi makan kepada orang berpuasa membuatkan kita lebih faham untuk beramal. Daripada cerita ‘munjung’ bangsa Johor, para dermawan berebut-rebut peluang menjamu anak yatim dan fakir miskin berbuka puasa hinggalah cerita para ibu menyediakan juadah berbuka untuk keluarga tujuannya adalah sama iaitu ganjaran pahala yang Allah janjikan. Jika tidak mampu berbagi juadah dalam skala yang besar jangan pernah rasa bersalah kerana kita boleh buat untuk ahli keluarga dan jiran-jiran.

Nikmatnya berbuka bukan pada banyaknya hidangan yang tersaji di atas meja. Rasa nikmat itu Allah yang beri, jadi jangan lupa minta kepada Allah walaupun sekadar untuk menjamah hidangan. Agar kita merasa nikmat walaupun berbuka dengan seteguk air dan sebiji kurma. Allah yang beri kita rasa nikmatnya dan Allah yang beri rasa kenyang.

Makanan yang banyak dan lazat belum tentu memberi nikmat kenyang kalau Allah tidak izinkan. Ambil kesempatan bulan Ramadan ini untuk kita berbicara, berbisik dan merayu pada Allah. Jangan sibuk memikir hendak berbuka apa hari ini kerana sampai masanya Allah akan beri ilham untuk kita menjamah makanan yang baik lagi mengenyangkan. Terima Kasih Allah atas segala nikmat-Mu.

 

Previous articleCintanya Mazita Mahmood Pada Kecantikan
Next articleSiti Saleha berjaya hidupkan watak Chempaka Humairah, hingga dibenci

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here