Iman Fandi mengajak seluruh ahli keluarganya untuk terlibat dalam pembikinan single "Hari Raya Raya Raya".

Oleh: Khadijah Ibrahim

BAGI peminat muzik di Malaysia, nama Iman Fandi mungkin baharu didengari. Lainlah kalau sebut nama bapanya, Fandi Ahmad, ramai yang mengenali legenda bola sepak Singapura itu dan kini jurulatih Sri Pahang pula.

Bidang yang diceburi Iman memang berbeza daripada Fandi, walaupun sebelum ini beliau adalah seorang atlet dan anak ketiga daripada lima beradik itu juga seorang peragawati dan juga pelakon.

Iman Fandi kini tampil dengan single “Hari Raya Raya Raya”

Pada 2024, Iman mencuba bakatnya sebagai penyanyi dan muncul dengan album sulung berbahasa Inggeris berjudul “That Girl”. Rentetan daripada sambutan menggalakkan untuk album tersebut, kini Iman mahu mencuba nasib mengeluarkan lagu berbahasa Melayu pula.

Sebagai permulaan, Iman, 25, memilih untuk tampil dengan single raya dan lagu ini menandakan titik penting dalam perjalanan seninya, mencerminkan warisan dan nilai kekeluargaan yang begitu dekat di hatinya.

Bagi Iman, lagu “Hari Raya Raya Raya” ciptaan Pique dan Eugene Lai itu disifatkan lebih daripada sekadar sebuah lagu perayaan, yang mana ia simbol kepulangan dan kebersamaan.

Bersama ibu dan adik, Iryan sewaktu proses rakaman lagu.

Menuurtnya, lagu ini memaparkan elemen tradisional seperti cantiknya baju baharu, keharuman masakan istimewa, serta kegembiraan berkumpul bersama keluarga. Pendek kata, lagu ini mencerminkan intipati sebenar Aidilfitri.

“Hari Raya bagi saya adalah mengenai keluarga, berkumpul, menjamu selera, dan mengeratkan hubungan dengan orang tersayang yang mungkin jarang kita temui sepanjang tahun.

“Ia adalah masa untuk menghargai detik-detik istimewa dan mencipta kenangan baru bersama keluarga serta sahabat. Jadi, semua rasa ini saya wujudkan dalam lagu ini,” katanya yang menjadikan lagu tersebut lebih istimewa, kerana proses rakamannya turut membabitkan ahli keluarga.

Iman Fandi juga seorang model terkenal.

Menurutnya, pengalaman merakam di studio bersama berjaya mencipta suasana yang penuh dengan gelak tawa dan kehangatan, menjadikan “Hari Raya Raya Raya” sebagai sesuatu yang lebih daripada sekadar sebuah lagu.

“Merakamkan lagu ini adalah pengalaman yang luar biasa apatah lagi dapat membabitkan keluarga dalam proses kreatif ini memberi satu dimensi peribadi yang sangat bermakna,” tambahnya yang merakam lagu ini di Homeground Studios, Genting Lane, Singapura bersama ibu, Wendy Jacobs dan adiknya, Iryan.

Berkongsi mengenai lagu itu, Iman berkata lagu raya ini dihasilkan dengan rentak yang ceria dan lirik yang menyentuh hati.

Iman Fandi pernah tampil dengan album “That Gitl” sebelum ini.

“Lirik lagu ini mengangkat pelbagai aspek tradisi hari raya, daripada keseronokan berbuka puasa, persiapan baju sedondon, hinggalah kepada kegembiraan kanak-kanak menerima duit raya.

“Saya mahu lagu ini menjadi sesuatu yang boleh dinikmati oleh semua peringkat umur, sama ada mereka yang menyambut Hari Raya Aidilfitri atau yang ingin merasai kehangatan dan kemeriahan perayaan ini.

“Selain itu, saya juga ingin memperkenalkan muzik saya kepada komuniti Melayu dan membawa sesuatu yang segar dan berbeza,” katanya yang menganggap lagu “Hari Raya Raya Raya” sebagai satu permulaan yang membuka jalan kepada lebih banyak projek yang mencerminkan identitinya.

Menurutnya lagi, dengan pengaruh muzik pop yang mudah diterima ramai, Iman berhasrat untuk terus mempersembahkan karya-karya yang tidak hanya menghiburkan tetapi juga mendekatkan dirinya dengan peminat dari pelbagai latar belakang.

Iman bersama keluarga tercinta.

Selain itu, Iman juga gembira kerana dapat mengajak seluruh keluarganya untuk memeriahkan lagi suasana lagu raya sulungnya itu.

“Sewaktu rakaman, saya bersama ibu dan Iryan. Seronok sebab saya dapat membimbing mereka ketika rakaman sedang dijalankan. Mereka juga ingin tahu ketahui dunia saya sebagai penyanyi.

“Oleh kerana ayah dan adik-beradik yang lain Irfan, Ikhsan dan Ilhan, berada di luar negara ketika rakaman, mereka menghantar rakaman suara masing-masing untuk dijadikan ‘adlib’ dalam lagu tersebut,” ceritanya dalam satu temu bual.

Previous articleSiti Nurhaliza tanya “Raya Nak Ke Mana?”
Next articleLailatulqadar malam yang dinanti-nanti (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here