Image by freepik

Oleh: Nury Kadir

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, sewaktu menjadi Mufti Wilayah Persekutuan pernah menukilkan di dalam www.muftiwp.gov.my, mengenai keistimewaan malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada 1000 bulan. Isikanlah dengan qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, munajat dan doa. Terutamanya doa keampunan dan kerahmatan daripada-Nya.

Allah SWT. Allah SWT berfirman:
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Lailatul Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.” (surah al-Qadr:3)
Ini adalah cara Rasulullah SAW dan salaf as-soleh beribadat apabila masuk 10 malam terakhir Ramadan.

Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya: Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya).” (HR Muslim)

Dan, perhatikan pula hadis berikut Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain.” (HR Ahmad)

Manakala Imam Sufyan al-Thauri Rahimahullah berkata di dalam kitab Lathaif al-Maarif: Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh akhir Ramadan, aku lebih suka untuk melakukan tahajjud pada waktu malam dan bersungguh-sungguh melakukannya. Sufyan al-Thauri Rahimahullah juga akan mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan solat seandainya mereka mampu melakukannya.”

Begitu juga Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan. Sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa:Maksudnya: “Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua.

Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.”

Image by jcomp on Freepik

Bila Lailatulqadar?

Bila berlakunya malam Lailatulqadar adalah rahsia Allah. Namun bagi yang mencarinya maka carilah pada malam 17, 21, 23, 24, 27 dan akhir Ramadan iaitu pada malam yang ganjil. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”
Ada banyak pendapat ulama mengenai malam Lailatulqadar seperti yang dicatatkan di dalam Bayan Linas (www.muftiwp.gov.my) antaranya:

Pertama:
Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam 27 Ramadan. Hujah mereka:
Mengikut Abu Ka’ab katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatulqadar jatuh dalam bulan Ramadan, manakala Lailatulqadar pula jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya.”

Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam ke-27.”
Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatulqadar.
Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari Lailatulqadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatulqadar pada malam yang ke-27.”

Kedua:
Pada malam 23 Ramadan. Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadan.”

Ketiga:
Pada malam 21 Ramadan. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Shafie. Dia berdalilkan pada riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda: maksudnya: “Tuntutlah malam 17,21 dan 23 Ramadan.”

Keempat:
Pada malam 24 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda SAW bersabda: Maksudnya: “Carilah malam Lailatulqadar pada malam 24 Ramadan.” (Riwayat Muhammad bin Nasr Ahmad daripada Bilal dan al-Tayalisi)

Kelima:
Pada malam akhir Ramadan. Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah RA bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadan.” (Riwayat Ibn Nasr)

# Ikuti sambungan akan datang apakah doa yang sebaik-baiknya diminta pada Allah pada malam Lailatulqadar.

Previous articleCubaan Iman Fandi nyanyi lagu Melayu, “Hari Raya Raya Raya”
Next articleMulianya Hati YM. Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Terus Beramal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here