Image by prostooleh on Freepik

Oleh: Nury Kadir

Rahsia Lailatulqadar

Tarikh-tarikh yang disebut ulama hanyalah sebagai panduan sahaja untuk kita beramal lebih kuat. Rahsia sebenar hanya Allah sahaja yang tahu dan ada sebab kenapa kedatangan malam tersebut dirahsiakan?

Seperti pendapat yang dilontarkan oleh Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, rahsia menyembunyikan Lailatulqadar ialah supaya menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Juga supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari Lailatulqadar, seperti disembunyikan masa yang diperkenankan doa pada hari Lailatulqadar, disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan namanya yang agung daripada segala nama serta keredhaan-Nya.

Tanda-tanda malam Qadar

Ulama yang telah menyebut mengenai tanda-tanda yang diihat dan alami oleh sebahagian hamba Allah yang diizinkan Allah menyedari akan berlakunya malam Qadar. Malah banyak juga hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan tanda-tanda tersebut.

1. Tenang dan nyaman

Dimulai dengan pengalaman yang dilalui oleh Ubadah bin al-Somit R.A. yang dicatatkan di dalam Umdah al-Qari. Ubadah bin al-Somit berkata secara marfu’: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut.”

2. Matahari terbit tidak terang dan tidak panas

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ubai bin Kaab, Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Sesungguhnya ia (Lailatulqadar) pada bulan Ramadan, dan demi Allah aku tahu pada bilakah malam itu akan muncul. Ia adalah malam di mana Rasulullah SAW mengingatkan kita agar membangunkannya (dengan ibadah), ia adalah malam yang mendatangi siang ke-27 dalam bulan Ramadan, dan tandanya adalah matahari terbit keputih-putihan pada waktu pagi tersebut tanpa sinaran cahaya.” (HR Muslim)

Manakala dalam satu lagi hadis yang diriwayatkan oleh Zirr bin Hubaish ketika perbualan bersama Ubai bin Kaab, ada disebutkan berkenaan tanda-tanda lailatulqadar pada 27 Ramadan: Maksudnya: “Demi Allah sesungguhnya ia (Lailatul Qadar) pada malam Ramadan yang ke-27 tanpa tertinggal sekalipun. Aku berkata: “Bagaimanakah engkau tahu mengenainya wahai Abu Munzir?” Dia berkata: “Dengan tanda-tanda yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW”. Aku bertanya kepada Zirr: “Apakah tanda-tandanya?” Dia membalas: “Matahari terbit pada keesokan paginya seperti bekas bejana yang tidak bersinar sehinggalah ia (matahari) tegak memancar.”

Mengikut riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.”

3. Air masin (laut) bertukar menjadi tawar

Imam Ibnu Hajar menukilkan riwayat al-Baihaqi daripada Abdah bin Abi Lubabah: Maksudnya: “Sesungguhnya air masin (laut) menjadi tawar pada malam itu.”

Selain itu, menurut riwayat daripada Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa: Maksudnya: “Aku telah merasa air laut pada malam ke 27 Ramadan maka rasanya tawar.”

Image by PixelArtisan1101 from Pixabay

Biasanya kita jumpa tanda-tanda yang disebut ulama itu tetapi jarang yang perasan bahawa itulah malam Qadar. Setelah malam berlalu barulah kita tahu bahawa Lailatulqadar telah berlalu tanpa sempat berbuat apa-apa. Tiba-tiba malam itu, mata mengantuk sangat hingga tidak sempat berzikir, berdoa dan ibadat yang lain seperti malam-malam sebelumnya. Kita terlepas nikmat Lailatulqadar.

Bagaimana pula seandainya kita dipilih Allah mendapat nikmat malam Lailatulqadar dan pasti terdapatnya tanda-tanda seperti yang disebutkan? Adakah perlu disimpan rapat-rapat di dalam hati atau perlu diviralkan satu dunia? Sekarang ini, dunia media sosial, sesiapa sahaja boleh mengaku dan merakamkan bahawa dirinya mendapat Lailatulqadar. Katanya bukan untuk riak tetapi sebagai tanda syukur dan menjadi galakan kepada orang lain berusaha mendapatkan Lailatulqadar pada tahun hadapan.

Itu yang kita kata, tetapi apa pula pendapat ulama. Di dalam Fath al-Bari sudah dibincangkan hal tersebut, jumhur ulama bersepakat bahawa sunat bagi siapa yang melihat pada malam qadar untuk menyembunyikannya.

Antara hikmah disembunyikan malam Lailatulqadar adalah seperti yang disebut oleh Ibn Hajar. Beliau menukilkannya daripada Kitab al-Hawi: “Bahawa ia merupakan Karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (malam Lailatulqadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui Lailatulqadar) dari memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat, lebih besar daripada itu akan berlaku riak kepada ahli Tariq. Mengikut adabnya pula, janganlah ia sibuk menceritakan nikmat Allah iaitu pertemuan malam Lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki.”

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Diambil hak tersebut berdasarkan ucapan Yaaqub kepada anaknya Yusuf, tatkala bermimpi melihat bintang matahari dan bulan sujud kepadanya.” Firman Allah SWT: maksudnya: “Bapanya berkata: “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (Surah Yusuf:5)

Doa ketika berjumpa Lailatulqadar

Terdapat hadis yang menceritakan tentang doa yang dianjurkan untuk dibaca pada Lailatulqadar seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha:

عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّهَا قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو؟ قَالَ: تَقُولِينَ: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: Aisyah RA meriwayatkan, beliau bertanya Nabi SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Nabi SAW bersabda: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku” (HR Ibn Majah)

Imam al-Nawawi menukilkan pendapat para ulama kami (mazhab Syafi’i) mengatakan bahawa sunat memperbanyakkan membaca doa ini pada Lailatulqadar. Begitu juga, disunatkan membaca al-Qur’an, zikir-zikir dan doa-doa yang disunatkan pada tempat-tempat yang mulia.

Semoga kita sama-sama mendapat nikmat Lailatulqadar. Seandainya bertemu dengannya jangan minta kaya tetapi mintalah diampunkan segala dosa sebelum dan selepas, yang sedar dan tidak sedar. Kerana makhluk tanpa dosa akan dikabulkan oleh Allah segala permintaannya dan ditambah nikmat.

Previous articleSky Kingdom & Lepak Pekan, rai anak yatim dan keluarga asnaf berbuka puasa
Next articleTanda-tanda Hipotiroidisme (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here