Datin Rogayah bersama Faizal (tengah) dan Fauzan ketika mengalu-alukan kedatangan anak-anak yatim dan keluarga asnaf di majlis berbuka puasa.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin

Seramai 70 anak yatim serta beberapa keluarga asnaf diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Sky Kingdom dengan kerjasama Restoran Lepak Pekan, Subang Bestari bagi menyantuni golongan yang kurang berkemampuan.

Majlis yang berlangsung dengan penuh kemeriahan ini bukan sahaja memberi peluang kepada anak-anak yatim dan keluarga asnaf menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana yang mesra, malah turut menjadi platform untuk masyarakat berkongsi rezeki. Program ini turut mendapat sokongan daripada usahawan, rakan-rakan serta Tiktokers yang bersama-sama menjayakan misi kebajikan ini.

(Dari kiri)Pengasas Lepak Pekan, Fauzan, Tuan Al Jefry dan Faizal (kanan sekali) ketika hadir meraikan anak yatim dan keluarga asnaf.

Menurut pengasas Sky Kingdom, Ahmad Faizal Sulaiman, ini merupakan program berbuka puasa pertama mereka selepas setahun beroperasi, berikutan sebelum ini bantuan diberikan secara terus ke rumah penerima.

“Kami mahu lebih ramai anak yatim dan keluarga asnaf merasai kemeriahan Ramadan ini. Sebelum ini, kami hanya menghantar bantuan ke rumah, tetapi kali ini kami ingin mereka menikmati suasana berbuka puasa bersama dalam komuniti yang lebih besar.

Antara Anak- anak yatim yang memerima sumbangan duit raya.

“Dua keluarga asnaf yang dipilih berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang benar-benar dalam kesempitan hidup dan memerlukan bantuan. Bantuan yang diberikan termasuklah barangan keperluan serta duit raya bagi meringankan beban mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Dalam majlis tersebut anak-anak yatim yang menerima sumbangan ialah Rumah Anak Yatim Syifa, Setapak dan Pusat Perjagaan Pertubuhan Anak Yatim dan Asnaf An Nahfi Selangor.

Fauzan ( kiri sekali) menyampaikan sumbangan pada anak-anak yatim

Majlis berbuka puasa ini diadakan di Lepak Pekan, sebuah restoran baharu yang turut aktif dalam kerja kebajikan. Pengasas Lepak Pekan, Mohd Fauzan Mohd Fadzil, yang juga rakan kongsi Ahmad Faizal, menjelaskan bahawa restoran ini bukan sekadar tempat makan, tetapi turut menjadi platform untuk aktiviti kebajikan.

“Sebagai pemilik Lepak Pekan, kami bukan hanya mahu berniaga, tetapi juga memberi kembali kepada masyarakat. Sebab itu, kami bekerjasama dengan Sky Kingdom kerana mereka sebuah NGO yang berpengalaman dalam menyantuni golongan yang memerlukan,” katanya.

Pengasas Sky Kingdom, Faizal menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak- anak yatim.

Beliau turut berkongsi bahawa sebanyak 50% keuntungan restoran ini diperuntukkan untuk memberi makanan kepada gelandangan sebagai sebahagian daripada misinya membantu golongan memerlukan.

“Saya sendiri berasal dari keluarga susah dan hanya belajar sampai tingkatan dua. Jadi, bila Allah berikan rezeki sekarang, saya mahu berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Saya juga turun sendiri untuk menyantuni gelandangan sekurang-kurangnya sebulan sekali,” tambahnya.

Lepak Pekan yang terkenal dengan menu seperti bubur berlauk, asam pedas, sup gearbox, nasi ayam golek dan banyak lagi turut membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang melalui hasil jualan makanan mereka.

Keluarga asnaf yang menerima sumbangan.

Sky Kingdom pula bermula sebagai usaha peribadi Ahmad Faizal yang menggunakan sumber sendiri sebagai seorang kontraktor untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Dalam tempoh tiga bulan pertama, beliau bergerak sendiri sebelum mula aktif di TikTok. Sokongan yang diterima daripada pengikut serta rakan-rakan di platform itu telah membuka ruang lebih luas untuk mereka membantu lebih ramai individu yang memerlukan. Kini, Sky Kingdom mempunyai lebih 180 ahli yang bersama-sama menyumbang dan menjayakan program kebajikan ini.

“Ramai yang mula mengenali usaha saya di TikTok dan mahu turut serta dalam kerja kebajikan ini. Dari situ, kami semakin berkembang dan mampu membantu lebih ramai orang,” katanya.

Wajah ceria anak-anak yatim sementara menunggu waktu berbuka puasa.

Selain bergantung kepada sumbangan, Sky Kingdom turut menjana dana bantuan melalui jualan produk seperti pakaian dan makanan, di mana sebahagian daripada keuntungan itu diperuntukkan untuk penerima yang layak.

“Kami mahu setiap hasil jualan bukan sahaja memberi manfaat kepada pembeli, tetapi juga kepada mereka yang dalam kesusahan. Dengan cara ini, lebih ramai dapat merasai keberkatan rezeki yang dikongsi bersama,” katanya lagi.

Ahmad Faizal berkata, majlis berbuka puasa ini adalah program kebajikan terbesar yang pernah dianjurkan Sky Kingdom setakat ini, dan mereka berharap dapat meneruskan usaha ini dalam skala lebih besar pada masa hadapan.

Ahli-ahli sukarelawan Sky Kingdom yang sama-sama menyumbang bagi menjayakan majlis berbuka puasa.

“Saya percaya rezeki perlu dikongsi. Sejak kecil, saya melihat kepayahan hidup orang lain, dan itu mendorong saya untuk membantu mereka yang memerlukan. Kami berharap agar lebih ramai individu dan syarikat tampil untuk bersama-sama menjayakan misi kebajikan ini,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menyumbang atau menyertai inisiatif kebajikan ini, orang ramai boleh mengikuti Ahmad Faizal @Anarchy 7 Sky di TikTok (@pengasas Sky Kingdom Enterprise) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program bantuan yang akan datang.

Previous articleFahmi Fadzil Berjiwa Rakyat Beramah Mesra Bersama Pengunjung Starvendors 2025
Next articleRahsia Lailatulqadar dan sebaik-baik doa yang perlu diamalkan pada malam tersebut (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here