Oleh: Nury Kadir
Hal pemberian duit raya ini agak sensitif juga, ada suami isteri yang bercerai kerana duit raya. Isteri minta cerai kerana alasan suami tidak pernah memberikan duit raya sepanjang mereka hidup bersama. Adakah suami salah tidak pernah memberi isteri duit raya? Adakah duit raya itu termasuk dalam nafkah?.
Sebenarnya pemberian duit raya bukanlah suatu kewajipan dalam nafkah suami keatas isteri, sebaliknya ia adalah pemberian tambahan berdasarkan kemampuan dan ihsan suami. Maka jangan keliru untuk meletakkan duit raya sebagai nafkah.
Sedangkan nafkah itu adalah meliputi beberapa perkara penting untuk kesejahteraan isteri yang telah disenaraikan oleh ulama seperti makanan, lauk pauk, pakaian, alat mandian, perkakas rumah, tempat tinggal dan pembantu rumah bagi isteri yang biasa memiliki pembantu rumah. (seperti yang dibicarakan di dalam www.muftiwp.gov.my.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, konsep memberi duit raya kepada ibu bapa, kaum kerabat, serta kanak-kanak pada 1 Syawal adalah menepati perbuatan sedekah di dalam Islam. Bahkan perbuatan sedekah kepada ibu bapa termasuk di antara ibadah yang sangat menguntungkan kerana ia menghasilkan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada dua ibu bapa), mengeratkan silaturahim, serta pahala bersedekah itu sendiri.
Demikianlah juga jika ia diberikan kepada kaum kerabat, sanak saudara dan umpamanya. Ia turut mendapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan juga pahala menghubungkan silaturahim. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ
Maksudnya : Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu.” (HR Bukhari)
Adakah duit raya menyerupai amalan di dalam perayaan Tahun Baru Cina iaitu ang pow? Ini jawapan yang diberikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan dengan isu tasyabbuh (penyerupaan) di antara duit raya dengan ang pow yang diberikan semasa perayaan kaum Cina.
“Tidak terdapat sebarang unsur tasyabbuh di antara kedua-duanya. Ini kerana pemberian duit raya ada asasnya di sisi Islam iaitu termasuk dalam kategori sedekah yang sunat hukumnya. Justeru, tidak timbul isu tasyabbuh di sini.”
Adapun berkenaan penggunaan sampul raya, maka ia kembali kepada hukum asal sesuatu sebagaimana yang dinyatakan dalam kaedah fekah ;
الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَة
Maksudnya: Hukum asal bagi setiap sesuatu (yang bukan ibadah) adalah harus.
Dicadangkan beberapa dhawabit seperti berikut:
1. Pemberian duit raya yang diberikan tidaklah dilakukan secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar.
2.Golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar yang diterima dan tidak diungkit-ungkit. Sebaliknya bersyukur dan mendoakan kebaikan untuk pemberi.
3. Hendaklah diutamakan pemberian kepada golongan fakir, miskin, dan mereka yang memerlukan. Ini kerana, asnaf untuk sedekah yang wajib iaitu zakat, adalah merupakan asnaf yang sama untuk kita beri keutamaan semasa memberikan sedekah sunat.
Adab Pada Hari Raya
Sambutlah Hari Raya dengan adab-adab yang telah ditetapkan oleh Islam. Bergembira kerana menyambut Hari Raya tidak salah asalkan adab diutamakan. Antara adab-adab pada Hari Raya ialah:
Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru. Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu Ibn Umar dan Ali bin Abi Thalib dan lain-lain. Said bin al-Musayyib berkata: “Sunat-sunat Hari Raya ada tiga: “Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.”
Sunat bersegera ke masjid pada pagi Hari Raya. Bagi imam solat Hari Raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat Hari Raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidilfitri, manakala Aidiladha pula tidak disunatkan makan dan minum sehingga selesai solat.
Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada jabir R.A, katanya;
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيْدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada Hari Raya.” (HR Bukhari)
Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Hal ini berdasarkan hadis Wasilah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi Hari Raya, seraya mengucapkan kepada Baginda: تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), lalu Baginda menjawab: Ya, تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu).
Selepas matahari terbit, makruh bagi imam bersolat sunat sebelum solat Hari Raya, manakala tidak makruh bagi orang lain melakukannya. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:
أَنَّ النَّبِىَّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهُمَا وَلَا بَعْدَهُمَا
Maksudnya: “Nabi SAW keluar pada hari Aidilfitri, lalu Baginda bersolat Hari Raya sebanyak dua rakaat dan tidak melakukan solat yang lain sama ada sebelum atau selepasnya.” (HR Bukhari)

Bergembira Pada Hari Raya
Menjadi kelaziman umat Islam seluruh dunia akan bergembira dengan kedatangan Aidilfitri setelah sebulan bermujahadah melaksanakan amalan wajib dan sunat. Sejauhmana kita boleh bergembira dan apakah kayu ukurnya untuk membezakan antara yang halal dan haram?
Inilah jawapan yang diberikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, ulama telah membahaskan dengan panjang lebar berkenaan dengan hiburan dan permainan yang diharuskan oleh syarak. Bermain dan berhibur dengan hiburan yang disyarakkan adalah diharuskan bahkan digalakkan khasnya pada Hari Raya.
Selagi mana sesuatu permainan itu tidak melalaikan dari kewajipan tugas yang perlu dilaksanakan ianya diharuskan. Ini adalah syarat umum yang mesti dipatuhi ketika bermain sesuatu permainan atau berhibur.
Selain itu, permainan tersebut hendaklah tidak menjurus kepada maksiat atau bercampur aduk dengan perkara mungkar seperti minum arak, perjudian, percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan bermain sehingga berlaku perkelahian dan pergaduhan.
Jikalau permainan atau hiburan itu tidak menepati syarat-syarat yang dikemukakan, maka hukumnya menjadi haram walaupun asal permainan atau hiburan tersebut hukumnya harus. Pada zaman Nabi SAW, masyarakat pada ketika itu bermain, memukul gendang, menyanyi serta menyambut sesuatu perayaan.
Saidatina Aisyah R.Anha menyatakan: “Orang Habsyah bermain di sisi Nabi SAW ketika Hari Raya. Maka aku pun muncul dari atas bahunya dan melihat mereka sedang bermain sehingga aku merasa puas dan kemudian beredar (dari situ).” (HR Ahmad)
Dalam riwayat yang lain Saidatina Aisyah R.Anha berkata: “Abu Bakar telah masuk kepada kami pada Hari Raya dan ketika itu kami bersama dengan dua orang hamba perempuan yang menyebut tentang hari Bu’ath iaitu hari berlakunya peperangan antara kaum Aus dan Khazraj.” Lantas Abu Bakar berkata: “Wahai hamba Allah! Mengapakah ada Mizmar Syaitan ini (iaitu alat muzik yang menyerupai seruling)”. Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali. Kemudian Nabi SAW bersabda: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum ada Hari Raya masing-masing dan hari ini Hari Raya kita.” (HR Ibn Hibban).
Dalam riwayat al-Bukhari juga ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW masuk kepada kami dan berbaring dengan memalingkan wajahnya, sedangkan di sana ada dua orang hamba perempuan sedang menyanyi sempena hari Bu’ath. Maka ketika itu Abu Bakar masuk dan berkata: “Mengapakah ada mizmar syaitan di sisi Rasulullah?”Sabda Nabi SAW: “Tinggalkanlah (biarkan) mereka wahai Abu Bakar.” (HR Bukhari)
Pada suatu ketika orang Sudan sedang bermain-main dan Rasulullah SAW berkata kepada Aisyah: “Kamu ingin tengok?” Aku (Aisyah) berkata: “Ya.” Lalu Baginda mengangkatku ke belakangnya dengan pipiku bersentuh dengan pipinya, sehinggalah Baginda bersabda: “Sudah cukup.” Maka Aku berkata: “Ya.” Sabda Nabi SAW: “(Kalau begitu) Beredarlah.” Pada Hari Raya itu, Rasulullah SAW bersabda: “Ini supaya golongan Yahudi mengetahui bahawa agama kita ada kelulusan (keringanan) dan sesungguhnya aku diutuskan dengan penuh toleransi dan keringanan.” (HR Bukhari)
Oleh itu, marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan mematuhi adab-adab yang diperintahkan oleh Islam. Janganlah Hari Raya dipenuhi dengan pembaziran dan hiburan yang melampau. Sebenarnya sebarang hiburan adalah dibolehkan tetapi mestilah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Islam.
Ibn Rajab al-Hanbali menyebut di dalam kitabnya Lataif al-Minan: “Bukanlah Hari Raya itu kamu (hanya) memakai baju baru tetapi Hari Raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah.”
Selamat Hari Raya, setelah puas beraya jangan lupa puasa enam.

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.