Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Datuk Fizz Fairuz/Koleksi Syed Wafa
Selepas kejayaan filem sejarah pahlawan Mat Kilau, Datuk Fizz Fairuz, 45, anak kelahiran Raub, Pahang pula menyatakan hasratnya untuk mengangkat sejarah Melayu Pahang berkaitan kisah kepahlawanan dan perjuangan Bendahara Pahang iaitu Datuk Bahaman.
Keinginannya ini telah disuarakannya sejak Ogos 2022 lagi, dan nampaknya jika tiada aral filem Datuk Bahaman bakal menjalani penggambaran dalam tahun ini juga.
Pemilik Rain Makers Creation Sdn. Bhd, Fizz Fairuz atau nama sebenarnya, Mohd Fairuz Zainal Abidin yang pernah menerbitkan dan mengarahkan filem Mat Tudung Begins pada 2023 menyatakan bahawa tujuan dia ingin mengusahakan adaptasi Datuk Bahaman ialah untuk mengangkat martabat filem sejarah di Malaysia.

“Tak ada aral, Jun ini saya akan arah dan terbitkan filem Datuk Bahaman pula. Buat masa ini skripnya masih belum siap sepenuhnya. Filem ini nanti saya ingat nak ambik semua pelakon kelahiran Pahang seperti Amerul Affendi, Razak Ahmad dan Norman Hakim.
“Manakala watak Datuk Bahaman pada awalnya saya nak Amerul Affendi yang membawanya. Tapi menurut penulis skrip kami daripada Muzium Pahang, watak ini sesuai dibawakan lelaki usia 60-an. Mulanya saya tak tahu nak berikan watak tersebut pada siapa, melainkan yang saya nampak pelakon yang sesuai dan pandai bersilat adalah Eman Manan.”
Bercakap mengenai filem sejarah ini, Fizz Fairuz, anak keempat daripada sembilan beradik ini menambah, dia tidak risau atau takut untuk menerbitkan filem-filem sejarah sebegini yang dijangka menelan kos sebanyak 4 juta.

“Sebelum ini dah ada kisah Mat Kilau, kali ini kita buat kisah Datuk Bahaman pula. Untuk popularkan cerita begini, kita kena war-warkan dan ajak orang datang menonton nanti. Kita kena ketengahkan cerita pahlawan Melayu dan tak perlu nak risau-risau tentang sambutan penonton. Cerita begini pasti dapat sambutan sebab orang nak tahu apa kisah sebenarnya.
“Saya memang minat sejarah, itu sebabnya saya nak terbitkan filem sejarah ini kerana ia dekat dengan jiwa saya sebagai orang Melayu. Kita tak boleh lupa sebab benda ini yang mengangkat martabat kita sebagai orang Melayu…orang-orang Islam. Kalau kita tak buat dan bagitahu sejarah ini, generasi baru tak akan tahu.
“Filem ini turut mendapat kelulusan Sultan Pahang, restu Menteri Besar da kerjasama kerajaan Negeri Pahang serta Tourism yang turut membantu. Itu yang buat saya berani nak buat filem berbentuk sejarah ini. Mungkin kami mulakan penggambaran sekitar bulan Jun ini dan kalau kontrak saya bersama Suria Fm disambung lagi, mungkin saya akan atur semula jadual penggambaran.”

Fizz Fairuz merupakan seorang pelakon, ahli perniagaan, pengarah, penerbit dan penyampai radio memulakan kerjaya awalnya sebagai pelagak ngeri dalam beberapa produksi drama dan filem. Fizz memulakan karier pertamanya dalam drama Dua Hati dan semakin dikenali selepas drama bersiri Nur Kasih bergandingan dengan Tiz Zaqyah.
Sedar dengan langit tidak selalunya cerah, membuatkan Fizz Fairuz sentiasa bersedia akan segala kemungkinan yang datang. Fizz Fairuz kini meneroka bidang perniagaan sebagai persediaan masa depannya kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada tawaran lakonan semata-mata. Menerusi syarikat miliknya, Rain Maker Creation Sdn. Bhd., mereka juga menguruskan pelbagai acara hiburan selain terbabit dengan produksi filem.

Bercerita mengenai kerjayanya sebagai penyampai radio bagi program Morning –Morning Suria di Suria Fm sejak Januari 2024 sehingga kini, kata Fizz Fairuz lagi,“Seronok jadi penyampai radio ini kerana ia bukan bidang saya dan bila diberi mandat, rasanya tak salah untuk mencuba bidang baru.
“Saya cuba ‘lari’ sekejap dari kesibukan dunia lakonan…cuba-cuba dah setahun lebih saya jadi penyampai radio. Bezanya berlakon tunggu gaji dari lakonan tapi jadi penyampai radio saya dapat gaji bulan…itu saja bezanya. Kini masa dan apa yang nak buat, semuanya agak terhad.

“Last saya berlakon buat filem Mat Tudung Begins dan ada juga berlakon tapi telemovie biasa-biasa je yang tak ambil masa lama di lokasi. Tawaran berlakon pun makin kurang mungkin disebabkan kekangan masa. Waktu kerja saya di radio pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 6 hingga 10 pagi.
“Jam 5 pagi saya dah bersedia nak pergi kerja. Bila balik kerja,tak best pula nak sambung berlakon dengan keadaan saya mengantuk dan tak fresh. Perkara-perkara macam ini yang buat saya fikir lebih baik rehat dulu dan tumpukan pada kerjaya sebagai penyampai radio sahaja.”

Fizz Fairuz menambah, sebenarnya dia memang rindu hendak berlakon sebab kerana namanya naik melalui dunia lakonan.
“InsyaAllah saya akan comeback dalam bidang lakonan, mungkin dalam tahun ini ataupun pada tahun depan. Semua tengok pada kontrak…kalau sambung kontrak saya pada bulan Jun ini. Bidang ini ibarat periuk nasi saya dan memang saya tak boleh nak tinggalkan dunia lakonan.
“Sekarang ini bila cuti Sabtu dan Ahad, saya banyak habiskan masa dengan anak-anak dan isteri. Saya juga bersyukur kerana isteri saya, Almy Nadia, 39, sanggup korbankan karier lakonannya kerana nak besarkan anak-anak. Saya rasa bertuah dapat Almy Nadia sebagai isteri.

“Bila dah jadi penyampai radio, saya ada juga cuba shooting pada waktu malam dan esoknya bila nak bangun pagi memang bermasalah. Saya hanya hadkan waktu berlakon hingga jam 12 malam sedangkan penggambaran hingga jam 3 pagi dan itu antara faktor yang buat orang berfikir banyak kali kalau nak tawarkan saya berlakon.
“Rindu tu jangan cakaplah. Sudah 22 tahun saya berlakon dan rasa lain sangat bila dah tak berlakon lagi. Tapi nak buat macam mana, bila nak buat rasa penat dan mengantuk. Mata macam dah set jam 8 atau 9 malam dah nak masuk tidur…memang sudah tak boleh buat apa-apa dah dengan mata ni.”

Fizz Fairuz mendirikan rumah tangga bersama pelakon Almy Nadia pada 26 April 2014 dan dikurniakan lima anak perempuan iaitu Nor Afrina Arianna, 10, Nor Afrina Aurora, 9, dan Nor Afrina Ayra, 7, Nor Afrina Darwisyah,4, dan Nor Afrina Alisa 6 bulan.
“Saya dah ada lima anak perempuan, kalau Allah izinkan memang saya nak seorang anak lelaki. Kadang-kadang bila kita terlalu mengharap, kita akan hampa. Jadi saya hanya reda dengan apa yang ada. Anak perempuan tu anak juga. Saya kesian dengan isteri saya yang seorang diri menjaga anak-anak disebabkan saya sibuk bekerja.
“Sekarang masa nak besarkan anak-anak. Zaman saya berlakon tak habis lagi… tapi dah semakin slow. Tak salah rasanya bagi peluang pada budak-budak baru untuk berlakon. Tapi pada saya sebagai pelakon lama, tanpa kami, cerita itu tak akan mewarnai apa-apa,’’ kata Fizz Fairuz lagi sambil ketawa.

Selain puluhan drama yang dibintanginya, Fizz Fairuz juga turut menjadi pilihan pengarah untuk membintangi filem pertamanya pada 2006 iaitu Castello, diikuti Anak Halal, Orang Minyak, Syurga Cinta, Niyang Rapik, Nur Kasih The Movie, Cinta Kura-Kura, Jiwa Taiko, 29 Februari, Hantu Kapcai, Pontianak vs Orang Minyak, Kahwin 5, Bisikan Syaitan, Gila-Gila Remaja 2, Munafik, Munafik 2 dan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan, Fizz Fairuz juga pernah memenangi dua anugerah pada 2011 iaitu Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 25) bagi kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan 2019 dalam Anugerah Skrin ke-24, Fizz sekali lagi memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantai melalui drama Kamar Kamariah.

Manakala pada 2009, Fizz juga tercalon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik-Drama (Tak Serupa Tapi Sama) dalam Anugerah Skrin ke-13, pada 2024 tercalon bagi kategori Aktor Filem Popular (ABPBH 36) dan juga kategori Pelakon TV Lelaki Popular (ABPBH 23 dan ABPBH 24). Pada 2015 tercalon bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi filem Dollah Superstar dalam Festival Filem Malaysia ke-27.
Fizz Fairuz menerima darjah kebesaran dan dikurniakan pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena istiadat Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang di Istana Abu Bakar pada 27 Januari 2018.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.