Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
WALAUPUN saya sering terpandang beliau setiap kali menghantar dua orang anaknya yang belajar di sekolah Bukit Damansara, Kuala Lumpur tempat saya mengajar pada sekitar 1990-an tetapi kami tidak pernah bertegur sapa.
Ketika itu saya melihat beliau keluar dari kereta mewah yang dipandu dan memimpin kedua anaknya sehingga sampai ke dalam kawasan sekolah. Wajahnya tetap nampak cantik menawan walaupun sekadar dengan mekap yang nipis.

Melihat sikapnya yang lembut dan penuh kasih seorang ibu, sebagai seorang yang meminati seniwati yang murah dengan senyuman itu rasa hormat saya terhadapnya semakin tebal!
Itulah Seniwati jelita, Allahyarham Datin Noor Azizah Azizul Hassan yang sentiasa tersenyum apabila ada ibu kepada anak-anak sekolah berkenaan menyapanya.
Bagaimanapun setelah saya meninggalkan ‘dunia pendidikan’ demi menjadi seorang wartawan dan dalam masa yang sama saya menjaga bonda yang tidak sihat sehingga akhir hayat, saya tidak dapat lagi ‘melihat’ seniwati legenda yang seorang ini.

‘Cover Girl’ majalah antara Majalah Filem.
Tetapi apabila saya terbaca artikel mengenai Noor Azizah yang tersiar di Portal BebasNews pada 10 September 2020 dengan tajuk “Berlakon ni susah…”Datin Noor Azizah, tulisan wartawan tersohor tanah air yang saya kenal rapat dan merupakan bekas Penolong Pengarang URTV, Pengarang Hiburan Utusan Malaysia dan Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Muzlina Abu Bakar, yang saya panggil Kak Lin, saya cuba mendapatkan bantuannya untuk ‘mendekati dan menyingkap’ kisah Noor Azizah setelah meninggalkan dunia lakonan sekian lama.
Pada mulanya apabila saya menerima panggilan telefon daripada ‘Kak Lin’ saya terkesima seketika kerana bagaikan mimpi di siang hari.

Tetapi jika sudah itu ketentuan-Nya, akhirnya saya bersyukur apabila Kak Lin beritahu ‘appointment’ yang telah dipersetujui oleh Noor Azizah untuk kami ke rumahnya.
Menurut Kak Lin, pada mulanya Noor Azizah menolaknya kerana hak keisitimewaan untuk diinterbiu dan bergambar, serta ke rumahnya hanya diberikan kepada Kak Lin yang begitu rapat dengan beliau.
Tetapi akhirnya saya bersyukur apabila Kak Lin beritahu ‘Kak Noor’ setuju setelah beliau beritahu saya adalah cikgu kepada anak-anaknya!

Filem yang diterbitkan Malay Film Productions dalam bentuk warna (Eastman Color) ini dibintangi Ahmad Mahmud, Sarimah, Aziz Jaafar, Haji Mahadi, Normadiah, Rahmah Rahmat, Salleh Kamil dan Noor Azizah.
Akhirnya bersama Kak Lin, Wafa diundang ke Penthousenya, di Mont Kiara untuk sesi menemuramah Kak Noor bersama jurugambar Ladybosz.com, Afih.
Sejak dari itu kami menjadi agak rapat dan beberapa kali Wafa bersama Kak Lin berpeluang bertemu dan interbiu Kak Noor.
Disamping itu, Wafa sampaikan hasrat seniwati legenda Dayang Sulu untuk bertemu dengan Kak Noor. Silaturrahim yang terpisah lama akhirnya terpaut semula dengan Seniwati Dayang Sulu yang merupakan kawan baik Kak Noor.

Sesi interbiu itu diatur oleh Muzlina Abu Bakar.
Bukan itu sahaja, malah pada Disember 2023, Kak Noor mengundang Wafa dan Kak Lin lunch dan ‘berchit-chat’ di sebuah Restoran Arab di Petaling Jaya. Lebih sejam kami menghabiskan masa bersama.
Menyingkap hubungan kami yang terjalin sejak dua tahun lalu, saya dapat rasakan ia bukan sebagai wartawan dengan artis sebaliknya kami bagaikan ‘bersaudara…antara kakak dan adik.’

Disebabkan itu, apabila Kak Noor mengundang saya beraya ke rumahnya pada Hari Raya Aidilfitri pertama pada 1 April yang lalu, saya tidak mampu menolak.
Walaupun pada pertemuan itu, Kak Lin tidak dapat turut serta tetapi melalui perbualan mereka di telefon, Kak Noor dengan penuh mesra mengajak Kak Lin beraya bersamanya sekembalinya dari kampung halamannya, Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh, Perak.
Pada hari raya itu, buat pertama kali Wafa datang bersama bekas pembaca berita Bernama TV, Hilmy Ashley (Hill) yang merupakan cucu saudara Kak Noor terpisah selama 22 tahun untuk beraya bersama Kak Noor dan ahli keluarganya terdiri daripada anak-anaknya, Khairena, Khairy Azri dan isteri, Nur Zulaikha dan anak mereka, Khaiza.


Pada pertemuan Hari Raya itu, Wafa melihat Kak Noor begitu happy dapat berkumpul sambil bercerita pengalamannya ketika menjalani penggambaran filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berkata;
“Sepanjang menceburi bidang lakonan, Kak Noor berpeluang berlakon tiga filem arahan P. Ramlee yang Kak Noor panggil Uncle Remy.
“Filem-filem tersebut ialah ‘Enam Jahanam’ (1969), ‘Dr. Rushdi’ (1970) dan ‘Jangan Tinggal Daku’ (1971). Disebabkan ayah Kak Noor kenal P. Ramlee, semasa shooting, bukan sahaja Kak Noor boleh panggil beliau Uncle Remy malah ‘director’s chair’ beliau hanya Kak Noor dibenarkan duduk. Pernah ada orang lain duduk, Uncle Remy mengamuk terus berhenti shooting!”


Noor Azizah yang begitu seronok bercerita dan dapat berjumpa cucu saudaranya, Hilmy Ashley tiba-tiba berkata;
“Alhamdulillah…Wafa kita dapat beraya sama. Dalam keadaan sekarang Kak Noor selesa beraya di sini.
“Kak Noor takut nak bercuti ke luar negara kerana Kak Noor tak mahu meninggal di luar negara. Dengan izin-Nya, Kak Noor mahu meninggal di negara kita.”

Berdiri: Helmi (dua dari kiri) dan suami Nur Zulaikha, Khairy Azri.
Disamping itu, Kak Noor juga menitipkan pesan buat Wafa dan Kak Lin;
“Wafa dalam menjalankan tugas sebagai wartawan, Kak Noor harap Wafa dan Lin terus kekal ikhlas dan jujur.
“Disebabkan prinsip kerja Wafa dan Lin amalkan ketika menulis, Kak Noor rasa selesa apabila diinterbiu.”

Setelah enam hari beraya dengan Kak Noor, pagi Isnin – 7 April Wafa dikejutkan dengan ‘whatsApp’ kiriman anak Kak Noor, Khairena memberitahu Mamanya menghembuskan nafas terakhir kerana sesak nafas kira-kira pada pukul 4.15 pagi.
Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Paloh, Ipoh, Perak.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Seniwati Noor Azizah sentiasa dicucuri rahmat…Al-fatihah…Amin.


SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.