Zalifah Ibrahim mula menyanyi sejak remaja kerana minatnya dalam bidang seni suara.

Oleh: Khadijah Ibrahim

Foto: Ehsan Zalifah Ibrahim/Koleksi Syed Wafa

BAGI generasi muda mungkin tidak mengenali penyanyi Zalifah Ibrahim yang mula menyanyi pada 1969 dan pernah menyertai pertandingan Bintang RTM pada 1970.

Namun lagu dendangan beliau yang berjudul “Berbaju Merah Jambu” duet bersama Allahyarham M.Shariff dan “Manakah Impian Hatiku” duet dengan Allahyarham Datuk M.Daud terus malar segar hingga kini.

Antara album awal Zalifah Ibrahim.
Lagu-lagu Zalifah Ibrahim sering mendapat sambutan peminat.

Zalifah, 71, yang merupakan penyanyi seangkatan dengan Salamiah Hassan, Datuk Andre Goh, Fatimah Razak dan Suhaily Samsuddin itu hingga kini masih aktif dalam bidang seni suara walaupun publisiti mengenainya kurang berbanding artis semasa.

Pengalaman dan bakat semula jadi yang dimiliki oleh ibu kepada 10 orang anak itu tidak boleh dijual beli kerana baginya selagi terdaya dia akan cuba memenuhi undangan menjayakan apa sahaja persembahan.

Lagu “Manakah Impian Hatiku” duet dengan M.Daud hingga kini masih diminati.
Zalifah Ibrahim antara barisan penyanyi legenda tanah air.

“Selain menyanyi, saya adalah suri rumah tangga sepenuh masa. Menyanyi pun bukanlah selalu, jadi untuk menghabiskan masa lapang saya sertai persatuan artis yang dianjurkan untuk menghabiskan sisa-sisa hidup dengan melakukan perkara manfaat.

“Saya sertai kumpulan marhaban dan menjadi ahli untuk pelbagai persatuan artis kerana dengan cara itu saya boleh sertai pelbagai aktiviti. Untuk meneruskan kehidupan, kita kena fikirkan sesuatu untuk dibuat yang elok untuk diri kita yang sudah berusia ini.

Antara album Zalifah Ibrahim yang mendapat sambutan peminat.
Lagu raya dendangan Zalifah yang hingga kini masih diputar tiap kali menjelang raya, “Berbaju Merah Jambu”.

“Selagi kita mampu, buatlah sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada kita. Sekarang ini saya sedang mengusahakan projek ladang maman seluas dua setengah ekar di Lenggeng, Negeri Sembilan dengan anak sulung sejak 2023,” katanya.

Tambahnya lagi, penanaman maman menjadi pilihan kerana secara peribadi dia sendiri gemar memakan maman sebagai ulam dan bagi mengisi masa lapang yang mendatangkan faedah.

Bersama teman baik Allahyarham Seniwati Fetty Dzul.

“Apa yang kita boleh buat berdekatan dengan rumah jadi kita buatlah projek penanaman maman yang popular di Negeri Sembilan. Maman ini adalah kegemaran orang luar yang datang ke sini. Benda yang rare ni susah dapat.

“Di kawasan Lenggeng memang banyak kawasan perladangan dan sesuai untuk tanaman maman. Alhamdulillah, ada perkembangan yang baik dari masa ke semasa. Bila kita memulakan sesuatu yang baharu, kenalah belajar cara-cara untuk memulakan penanaman.

Zalifah dan anak mengusahakan ladang tanaman maman yang mendapat permintaan ramai.

“Kita kenalah ikuti kursus sebab ini benda baharu, kalau tanam satu dua pasu itu lain cerita. Kita cari benda yang cepat penghasilannya, kerana maman ni dalam masa sebulan sudah boleh tuai. Cara penjualannya pun banyak. Bila sudah dituai, kalau ada yang berminat boleh dapat terus daripada ladang.

“Saya cuba untuk mempelbagaikan. Kita tanam, jual daripada hasil itu kita boleh pelbagaikan untuk tambah produk seperti jeruk maman, makanan jajan (krup krap maman) kita buat rendang dengan ayam kampung atau kita gunakan daging salai yang memang terkenal di Negeri Sembilan.

Masih memenuhi undangan nyanyian jika diundang.

“Sebenarnya, kita boleh pelbagaikan maman. Rendang tu kita buat dan retort boleh tahan lama. Kalau nak makan panaskan dan terus boleh makan. Sesuai untuk dibawa ke mana sahaja, terutamanya kalau bercuti di luar negara,” katanya yang seronok dengan aktiviti yang dilakukan itu.

Tambahnya, sebelum menuai maman, anaknya akan terlebih dahulu menuar-uarkan di media sosial untuk mendapatkan pembeli kerana mereka hanya akan menjual mengikut permintaan sahaja.

Selain sibuk di ladang, Zalifah juga aktif dalam pelbagai persatuan artis antaranya
“Kumpulan Marhaban Artis Wanita Malaysia”.

“Setakat ini, kita jual secara online dulu sebab belum ada kedai jualan. Alhamdulillah, kami sudah ada pelanggan tetap terutamanya daripada pemilik restoran sebab daun maman ini tidak boleh dapat selalu. Apabila kita mula tuai dan iklankan di media sosial, itu yang pelanggan datang. Banyak restoran termasuk dari Selangor yang sering membeli daripada kami.

“Nama produk kami adalah Cowboy Maman. Saya jadi duta sebab untuk memudahkan promosi. Maman ini mudah ditanam, ia seperti bayam pasir. Banyak tumbuh melata, dulu orang tak tahu kelebihan maman dan dibiarkan semak, sebenarnya boleh mendatangkan hasil yang lumayan.

Bersama suami tercinta.

“Maman ni mudah untuk ditanam dan kita ada 800 batas untuk tanaman maman ini yang dikendalikan oleh tiga orang pekerja. Saya pun turun padang juga. Maman ini semuanya berguna daripada daun sampai ke akar,” jelasnya tentang kelebihan maman.

Tak galak anak-anak jadi artis

Meskipun ada di antara anak-anak Zalifah yang berbakat dalam bidang nyanyian, namun dia tidak menggalakkan zuriatnya mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

“Kebanyakan anak saya memang boleh menyanyi tapi saya tak berapa menggalakkan sangat sebab cara kehidupan sebagai orang seni ini memang banyak cabaran. Biarlah mereka menyanyi begitu saja sebab minat dan bukan terlibat sepenuhnya.

Keluarga bahagia Zalifah Ibrahim.

“Saya lebih suka kalau mereka lebih kepada akademik atau bisnes. Bukanlah mencari pendapatan daripada bidang nyanyian macam maknya. Saya ni mula menyanyi sejak usia 16 tahun lagi sebab minat menyanyi dari kecil dan memang berusaha daripada bawah.

“Apapun saya tetap bersyukur kerana sehingga kini saya masih lagi mendapat undangan walaupun tak banyak seperti dulu. Bagi saya, cukupkah dapat maintain dari dulu sampai sekarang walaupun tanpa lagu baharu,” katanya yang sentiasa mendapat sokongan penuh daripada suami tercinta, Abdul Wahid Rahim.

Zalifah Ibrahim akan terus menghibur orang ramai selagi terdaya.

Sepanjang bergelar anak seni, selain menyanyi Zalifah juga pernah mencubta bakatnya dalam bidang lakonan menerusi karya arahan Allahyarham Raja Ismail.

“Saya tak berapa sangat dengan lakonan kerana orang yang berlakon ini perlu ada karisma sendiri, saya tak fotogenik dan ada perasaan malu. Orang berlakon ni tak boleh malu tapi bagi saya, bab berlakon ni tak berasa sesuai dengan jiwa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here