Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
JIKA disebut nama Seniwati Habibah Harun pelakon dari Studio Jalan Ampas, pasti ada diantara anda yang ingat-ingat lupa siapakah beliau sebenarnya.
Walaupun beliau adalah pelakon kanak-kanak yang hebat dan cukup popular dan diminati kerana lakonannya yang meninggalkan kesan di hati para peminat filem era 1950-an sehingga akhir 1960-an tetapi disebabkan kurangnya media cetak ketika itu namanya terus senyap setelah membintangi 10 filem dengan yang terakhir, “Keris Emas.”


Bagaimanapun jika ditanya apakah anda cukup terkesan melihat lakonan beliau sebagai Lela dalam filem “Lela Manja” arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong terbitan Malay Film Productions pada tahun 1960, pasti hati anda digayut rasa sedih dan pilu.
Betapa tidak dalam filem berkenaan Habibah Harun yang melakonkan watak Lela kakak kepada Manja lakonan Allahyarham Bad Latiff, teruk dipukul dan diseksa oleh ibu tiri mereka, Dang Suri lakonan hebat Allahyarham Seniwati Normadiah.


Melihat babak-babak di mana Lela dan adiknya, Manja dipukul oleh Dang Suri yang suka mendera anak tiri nya, pasti terdetik di minda anda babak tersebut digambarkan dalam teknik ‘camera trick’ yang mana Lela dan Manja langsung tidak ‘dipukul’ oleh Dang Suri!
Tetapi realitinya babak tersebut bukan sekadar lakonan sebaliknya Lela dan Manja memang teruk dibelasah Dang Suri tanpa teknik ‘camera trick.’
“Babak-babak yang melibatkan Lela dan Manja dipukul oleh ibu tiri kami itu betul-betul bukan olok-olok.


“Mengenali Seniwati Normadiah, beliau memang pelakon hebat dan babak Dang Suri lakonannya itu memang betul-betul pukul kami sekuat hati hingga saya (Lela) dan Bad (Manja) betul-betul menangis. Kami menangis bukan lakonan semata-mata tetapi sememang sakit kerana aunty Norma bedal kami betul-betul!
“Sampai hari ini saya masih ingat betapa sakitnya hingga saya dan Arwah Bad menangis betul-betul. Selepas babak itu, Arwah Bat Latiff gigit tangan Arwah Aunty Normadiah betul-betul sebab Aunty Normadiah buat dia sakit. Sementara Aunty Normadiah menangis-nangis sapukan ubat ke badan Bat Latiff.
“Selepas babak itu, saya dan Bad tak mahu pergi shooting keesokan harinya sebab sakit kena pukul dan dibelasah dengan Dang Suri!


“Tetapi pengarahnya, Pak Jamil Sulong datang ke rumah kami dan memujuk kami agar datang keesokan harinya untuk babak seterusnya dengan janji esok tiada babak kena pukul,” cerita Habibah Harun ketika ditemui tidak lama dahulu.
Habibah Harun bercerita kepada saya, ketika ditemui dalam satu majlis di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) tidak lama dahulu.
Menurut beliau, keesokan harinya apabila sampai ke studio, kru penerbitan membelikan saya dan Bad coklat sebagai ‘memujuk’ dan ‘mengumpan’ agar kami akan teruskan penggambaran.


“Sebabnya penggambaran pada hari tersebut babak Lela dan Manja akan terus dipukul oleh Dang Suri. Kalau nak tahu betapa berkesannya babak tersebut sampai sekarang saya masih ‘rasa betapa sakitnya’ kena pukul dengan mak tiri bernama Dang Suria,” cerita Habibah Harun tanpa berselindung.
Menurut Habibah Harun, beliau terpaksa meneruskan penggambaran itu kerana telah bersetuju untuk berlakon.
“Bukan itu sahaja tetapi demi tanggungjawab kepada diri saya dan adik beradik yang masih bersekolah kerana kami 13 beradik anak yatim. Ayah kami, Seniman Haron Omar adalah pelakon pada awal tahun 1950-an telah meninggal dunia dan ibu, Kiah Abdullah adalah primadona bangsawan bersama Dean dan Tijah Opera. Emak kata kita harus hidup dan pergi sekolah dan berlakon adalah punca rezeki yang baik untuk meneruskan kehidupan,” cerita Habibah Harun tanpa berselindung.

Menurut Habibah Harun apabila ditawarkan berlakon dan mendapat skrip karya
Pengarahnya, Jamil Sulong, ia benar-benar meruntun hatinya.
“Saya menangis apabila pertama kali membaca skirp Pak Jamil dan setiap kali sampai di set penggambaran saya bukan lagi Habibah Harun sebaliknya adalah Lela, anak tiri yang menjadi mangsa kekejaman ibu tiri!

“Babak-babak Lela yang menjadi mangsa kekejaman ibu tiri membuatkan saya menangis tanpa dipaksa. Kesedihan meruntun jiwa saya membuatkan saya boleh menangis dalam babak demi babak apabila menjadi mangsa kekejaman,” cerita Habibah Harun yang mana beliau dan keluarganya menjalani hidup di kuarters Studio Jalan Ampas, di Boon Teck Road yang menghimpunkan para seniman dan seniwati Malay Film Productions.
“Lela Manja” membawa kisah dua beradik yang kematian ibu menjadi mangsa dera ibu tiri, Dang Suri setelah ayahnya, Sang Naka (Salleh Kamil) dibunuh hasil perancangan Dang Suri dan kekasihnya, Megat Sura (Allahyarham Seniman Shariff Dol).
Selain itu turut membintangi filem berkenaan ialah Seniwati Zaiton (Lela dewasa) dan Aziz Jaafar (Manja dewasa), Ahmad Mahmud, Rosnani Jamil dan Jins Shamsuddin.

Setelah filem “Lela Manja,”(1960), Habibah yang mula berlakon dalam filem terbitan Studio Jalan Ampas dengan “Anakku Sazali” (1956) sebagai Rokiah (ketika remaja), “Bujang Lapok” (1957), “Sarjan Hassan, Doktor dan Gergasi” (1958) akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Studio Jalan Ampas.
Pada tahun 1960, Habibah Harun berhijrah ke Cathay-Keris dengan membintangi filem “Tunang Pak Dukun” (1960), “Yatim Mustapha” (1961), “Laila Majnun”(1962) dengan filem terakhir “Keris Emas” (1969).

Setelah “Keris Emas” yang merupakan filem ke-10 lakonannya, akhirnya Habibah Harun mengucapkan selamat tinggal kepada dunia filem setelah berkahwin dengan jejaka pilihannya pada tahun 1971.
Kini, Habibah Harun aktif dengan grup beliau yang dikenali Lela Manja. Grup ini menggabungkan beberapa orang dramatis Singapura untuk membuat persembahan nyanyian dan tarian di majlis-majlis yang mengundang mereka.

SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.









