Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
MENJADI seorang bintang atau seniwati bukanlah semudah memetik jari. Tanpa bakat walaupun memiliki wajah yang cantik menawan jangan mimpi akan berjaya sebagai seniwati pujaan ramai!
Berbekalkan bakat dan kecantikan anugerah-Nya, mereka bukan sekadar meraih populariti dan menjadi pujaan ramai dalam dunia yang penuh glamour malah ia juga berjaya menarik minat produk terkenal melantik mereka sebagai duta produk.


Itulah realiti yang dilalui beberapa Seniwati legenda yang diminati dan menjadi pujaan ramai sama ada Seniwati dari Studio Jalan Ampas (Shaw Brothers) atau Seniwati dari Cathay Keris yang akhirnya menjadi pilihan produk terkenal untuk menjadi ‘duta’ mereka!
Memang tidak dinafikan Seniwati pada era 1950-an dan 1960-an ramai yang berbakat dan cantik menawan tetapi tidak semuanya bertuah.

Sebabnya diantara puluhan Seniwati yang ada hanya beberapa orang sahaja dan boleh dibilang dengan jari mereka yang dipuja ramai yang mana akhirnya dipilih menjadi duta produk terkenal.
Diantara Seniwati jelita yang menjadi Duta produk terkenal adalah Seniwati Datuk Dr. Hajjah Sarimah Ahmad, Datuk Sri Maria Menado, Allahyarham Puan Sri Saloma, Allahyarham Seniwati Siput Sarawak, Allahyarham Seniwati Latifah Omar, Allahyarham Seniwati Datin Saadiah, Allahyarham Seniwati Datin Noor Azizah dan Seniwati Zaiton.


Seniwati Sarimah yang mula diperkenalkan pada tahun 1961 melalui filem “Ali Baba Bujang Lapok” arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dikatakan ‘bintang’ baru yang paling bertuah.
Sebabnya dengan wataknya sebagai Marjina dalam filem berkenaan, ‘bintang’ Sarimah dikatakan terus bersinar.


Bermula dari itu, satu demi satu filem arahan P. Ramlee, Sarimah menjadi pilihan antaranya “Ibu Mertuaku,” “Madu Tiga,” “Tiga Abdul,””Kanchan Tirana” dan “Dr. Rushdi dan Gelora.”
Mengikuti perjalanan seninya yang cemerlang dengan watak-watak yang ditangani dengan baik dan cemerlang, Sarimah yang memiliki kecantikan semulajadi dipilih menjadi duta Sabun mandi LUX.


Bukan itu sahaja, sebagai anak gadis orang kaya, Nyonya Mansoor (Seniwati Mak Dara) bernama Sabariah, beliau bukan sahaja berjaya membuat peminat menyayanginya apabila mengahwini Kassim Selamat (P. Ramlee) tetapi terus membencinya kerana meninggalkan suaminya. Populariti Sarimah memang tidak mudah digugat dan beliau sekali lagi menjadi pilihan produk terkenal Max Factor.
Allahyarham Biduanita Negara, Puan Sri Saloma yang dikenali sebagai ‘Marilyn Monroe Asia’ dan pernah berlakon dalam filem “Seniman Bujang Lapok” (1961) dipilih menjadi Duta minuman Red Lion.

Seniwati Datuk Sri Maria Menado yang mula diperkenalkan dalam filem “Penghidupan” filem terbitan tahun 1951 dan berlakon disamping P. Ramlee terus melangkah dalam dunia filem.
Satu demi satu filem beliau lakonkan dan realitinya lakonannya dalam siri filem “Pontianak” telah meletakkan nama beliau di tempat istimewa di hati para peminat filem Melayu era 1950-an dan 1960-an apalagi bila beliau berlakon dalam filem Hindi “Singapore” (1960) berpasangan dengan Shammi Kapoor.



Realitinya lakonan beliau dalam “Penghidupan” telah melayakkan beliau dinobatkan sebagai Aktres Terbaik pada Festival Filem Malaya 1951/1952 dan pada Festival Filem Malaya (1957) sekali lagi Maria Menado dianugerahkan Aktres Terbaik kerana lakonannya dalam filem “Pontianak.”
Menjejaki kejayaannya itu, Maria Menado telah dilantik sebagai Duta Produk minuman Red Lion dan Margarie Lam Soon.


Sementara itu, Seniwati Siput Sarawak yang memulakan kerjayanya sebagai seniwati dalam filem “Singapura Di Waktu Malam” (1947) dan dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Pesta Filem Malaya (1947 – 1950) melalui filem “Rachun Dunia” dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Pesta Filem Malaya (1964) kerana lakonannya dalam filem Wan Perkasa dipilih menjadi Duta Sabun LUX dan Duta Minyak Rambut ZamZam.
Seniwati Zaiton yang terkenal dengan watak Chombi dalam filem “Ibu Mertuaku” juga dipilih menjadi Duta Sabun LUX.


Begitu juga dengan Seniwati Saadiah yang memiliki seraut wajah manis dan tidak jemu mata memandang yang terkenal dengan wataknya sebagai Dara dalam filem “Semerah Padi” (1956) dan wanita bijak bernama Puspawangi dalam filem “Musang Berjanggut” (1959) turut dipilih menjadi Duta Sabun LUX.
Sementara bintang kesayangan ramai dari Cathay Keris, Allahyarham Seniwati Latifah Omar yang cukup diminati kerana lakonannya dalam filem “Bawang Puteh Bawang Merah” (1959) dan “Gurindam Jiwa” (1965) mungkin ada keistimewaan tersendiri apabila dipilih menjadi Duta produk mesin jahit Singer.



Allahyarham Seniwati Noor Azizah yang diminati ramai kerana lakonannya sebagai Puteri Mawarni dalam filem “Dayang Senandong” (1965) dan pernah berlakon drama terbitan TV Australia “The Bailey’s Bird” dipilih menjadi Duta gula-gula melegakan batuk ‘KISS ME.’
Pemilihan beliau sebagai Duta gula-gula berkenaan dianggap istimewa kerana pembalut gula-gula berkenaan mengabadikan wajah Seniwati Noor Azizah!


Disamping seniwati, Seniman Studio Jalan Ampas turut dipilih menjadi duta antaranya, Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang terkenal dengan imejnya berambut ikal dipilih menjadi Duta Minyak Rambut Zam Zam.
Seniman hebat dan Pengarah dari Cathay Keris, Allahyarham Nordin Ahmad pula menjadi pilihan Minyak Rambut Vaseline sebagai Duta mereka.


Sementara Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin yang pernah membintangi filem “Gerak Kilat” dipilih menjadi Duta jam tangan Citizen.
Seniman Omar Rojik pula menjadi pilihan Minyak Rambut AMLA sebagai Duta mereka.


Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Seniwati dan seniman yang telah pergi sentiasa dicucuri rahmat…Amin.

SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.