Oleh Syed Wafa
Foto: Syed Wafa / Ehsan Seniwati Noor Azizah

RAMAI peminat tertanya-tanya ke mana menghilangnya seniwati hebat ini. Wajahnya yang jelita serta lakonan manjanya amat dirindukan oleh peminat filem Melayu.

Dialah seniwati legenda Datin Noor Azizah Datuk Seri Azizul Hassan, 76 tahun yang amat sukar untuk dijejaki perkembangan terkini beliau.

Saya meminta jasa baik seorang sahabat, iaitu wartawan tersohor tanah air Hajjah Muzlina Abu Bakar atau mesra dengan panggilan Kak Lin yang merupakan mantan editor hiburan Pancaindera Mingguan Malaysia untuk memujuk dan membuat temu janji dengan seniwati Datin Noor Azizah.

Akhirnya atas usaha Kak Lin saya berjaya mendapatkan seniwati Datin Noor Azizah untuk ditemu bual untuk ruangan Legenda Ladybosz. Terima kasih Kak Lin, kami amat menghargai jasa baik bagi memenuhi permintaan pembaca setia Ladybosz.

PERNAH berlakon dengan produksi dari Australia sebagai Doktor Susan Lee dalam drama bersiri terkenal ‘ Bailey Bird’ pada tahun 1977.

Temu janji kami untuk bertemu dengan seniwati legenda ini diadakan di sebuah restoran mewah di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala lumpur.

Agak berdebar untuk bertemu dengan seniwati yang saya kagumi ini.

Sebenarnya saya banyak pengalaman bersama dengan beliau. Saya pernah mengajar anak lelaki beliau iaitu Khairy Azri Datuk Nik Hussein.

Ketika itu saya mengajar anaknya muzik di Sekolah Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Dari situ saya dapat melihat bahawa beliau bukan sahaja seorang seniwati hebat, tetapi juga seorang ibu penyayang, apabila nampak beliau menemani anaknya ke sekolah setiap hari  pada waktu rehat ketika makan.

“Apa khabar cikgu?…lamanya Kak Noor tak jumpa cikgu”, sapa beliau yang mesra dengan panggilan Kak Noor.

“Wafa sihat,Wafa pun rindu sangat Kak Noor dan syukur pada Allah kerana dapat bertemu lagi,” jawab saya gembira.

bersama suami tercinta Datuk Nik Hussein, Khairena anak sulung (berdiri paling kiri),anak kedua, Khairy Azri (berdiri paling kanan) dan isteri Nur Zulaikha serta cucu, Khaiza.

Kak Noor terlibat dalam dunia lakonan hanya secara kebetulan. Ketika melawat Studio Jalan Ampas di Singapura, Allahyarham seniman Ahmad Mahmud begitu tertarik melihat kejelitaan Kak Noor dan terus menawarkannya untuk berlakon dalam filem ‘Dayang Senandong ‘ pada tahun 1965 sebagai pelakon tambahan. Dari situlah Kak Noor terus aktif dalam dunia perfileman Melayu.

Pada pertemuan ini saya ambil kesempatan untuk bertanyakan perkembangan terkini Kak Noor.

“Kak Noor sekarang kerap melakukan rawatan di hospital untuk terus kekal sihat”, cerita Kak Noor sayu.

Buat masa ini Kak Noor merahsiakan sakit beliau dan biarlah hanya keluarga serta rakan rapat sahaja yang tahu mengenai penyakit yang dihidapinya. Saya menghormati permintaan Kak Noor itu.

“Kak Noor cuma harap peminat dapat mendoakan semoga Kak Noor sentiasa diberi kesihatan yang baik,” itulah harapan Kak Noor.

Adakah Kak Noor rindu dengan dunia lakonan yang pernah menjadikan beliau seorang bintang ?

Adakah Kak Noor akan berlakon lagi jika ada tawaran ?

“Kak Noor sebenarnya amat merindui dunia lakonan, kenangan berlakon dengan seniman hebat ‘ Uncle Remy ‘ (panggilan yang beliau gunakan bagi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee).

DALAM filem ‘ Enam Jahanam ‘ pada tahun 1969 bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Bagi Kak Noor, kenangan paling istimewa ialah apabila dipeluk oleh beliau dalam filem

‘ Enam Jahanam’ pada tahun 1969,” cerita Kak Noor sambil tersenyum.

“Uncle Remy banyak menjadi guru dalam kerjaya Kak Noor sebagai pelakon, terlalu banyak kenangan bersama beliau dan tak cukup masa untuk Kak Noor ceritakan,” cerita Kak Noor bersungguh-sungguh.

“Kalau dengan pelakon lain Uncle Remy begitu tegas dan marah jika ada kesilapan, tapi dengan Kak Noor beliau tak berani menaikkan suara, beliau tegur Kak Noor dengan nada yang lembut,” cerita Kak Noor sambil ketawa.

KAK Noor tidak dapat lupakan pelukan P. Ramlee dalam filem ‘ Enam Jahanam.”

“Pada usia begini Kak Noor dah bersara dan tidak minat lagi untuk berlakon, biarlah menjadi kenangan indah dalam hidup Kak Noor,” kata Kak Noor lagi.

Apa yang paling Kak Noor banggakan dalam pencapaian sebagai pelakon?

“Kak Noor bangga sebab pernah ditawar berlakon dalam produksi Indonesia sebagai pelakon utama dalam filem ‘Malin Kundang’ pada tahun 1971 bersama Rano Karno dan sebagai pelakon tambahan memegang watak Doktor Susan Lim dalam produksi Australia drama bersiri terkenal, iaitu ”Bailey Bird’ pada tahun 1977,” cerita Kak Noor bangga.

DALAM filem ‘Malin Kundang’ pada tahun 1971.

Kak Noor juga merupakan seorang pencinta kucing. Beliau kini banyak meluangkan masa bersama anak sulungnya, Khairena memelihara tujuh ekor.

Selain itu, Kak Noor juga banyak membantu NGO kebajikan kucing di pusat penjagaan kucing sekitar Kuala Lumpur.

WAJAH terkini seniwati Datin Noor Azizah – masih jelita.

 

KAK Noor sentiasa mengukir senyuman sepanjang pertemuan.

 

ANTARA kucing kesayangan Kak Noor.

Di akhir pertemuan ini Kak Noor sempat sampaikan salam buat peminat setia beliau dan amat berharap peminat sentiasa mendoakan kesihatannya pulih seperti biasa…Amin.

PENULIS bergambar kenangan bersama seniwati legenda Datin Noor Azizah serta Kak Lin yang bantu mengatur pertemuan bersejarah ini.
Previous articlePasar Seburuk-Buruk Tempat Di Dunia (Kita dengar Nasihat Rasulullah…) [BHGN 2]
Next articleSelebriti Meniaga Di Uptown Lorong Ampang Mampan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here