Siri Kedua

Catatan Pribadi Datuk Sri Rosz

SAMBIL duduk bersimpuh, Mak menyuap nasi panas ke dalam mulut saya. “Mak lepas ni nak cari buah getah. Ayah kata nak ajar lastik kera”, mulut saya yang penuh bercakap. Mata Mak bulat, tajam memandang saya, “Mulut penuh jangan bercakap. Habis makan dulu”.

Mak memang sangat menitikberatkan soal adab di depan makanan. Pantang bagi Mak kalau saya makan berlari, makan bercakap, makan ketawa, makan menyanyi atau bergaduh depan makanan. Tolak rezeki katanya bila bertelagah depan makanan.

Saya mencebik, melihat Ayah. Ayah dah janji nak lastik kera. Janji kena tepati. Ayah mengusap kepala saya, “Ya… lepas Asar kita cari”, luas senyuman saya sehingga lesung pipit di kanan pipi kelihatan. Sambil mengunyah nasi yang Mak suap, saya membayangkan kera akan melompat tak cukup dahan pokok getah kena lastik dengan Ayah. Kera di sini memang nakal, berani masuk dan mencuri makanan di dapur. Habis pisang yang Nenek Medan peram untuk saya dicurinya. Mak menunggu pisang Beringin ranum untuk buatkan saya jemput-jemput pisang. Hari-hari saya bertanya dan menunggu, alih-alih, kera yang makan semuanya.

“Abang dah bagi tahu Mbah Medan yang kita nak pindah ke Kuala Lumpur? Maktab Perguruan dah panggil untuk orientasi. Kita dah kena buat persiapan nak ke sana. Saya dah bagi tahu Pak Lang, Mak pun gembira menunggu kita. Abang kena pujuk Mbah baik-baik, supaya tidak teriris hatinya”. Mak bersuara. Huh? Kita mahu ke KL? Yey! Pergi rumah Tok Alang dan Nenek Lamah di Kuala Lumpur. Dalam hati saya seronok berbisik. Rindu dengan Nenek Lamah. Nenek Lamah manjakan saya seperti menatang minyak yang penuh. Nenek Lamah juga pandai sungguh bercerita kisah Si Tanggang, Batu Belah Batu Bertangkup dan Bawang Putih Bawang Merah. Hati melonjak keriangan, tapi tidak berani menyampuk takut lebam kena cubit dengan Mak.

“Ya, akan saya beritahu Mbah nanti. Awak jangan risau. Saya tahu awak nak sangat saya jadi cikgu. Terima kasih tolong saya buatkan permohonan masuk maktab. Awak tak risau ke saya masuk? Saya kena mengaku saya bujang. Ramai nanti anak dara beratur menunggu”, Ayah menyakat Mak.

“Eleh! Kalau boleh cari secomel saya, sepandai saya, sanggup pula tu pindah di ceruk yang kera aja duduk, carilah! Tak heran”, Mak menjawab bersahaja.

Ayah pegang tangan Mak sambil tersenyum, “Betul ke awak tak kisah? Maktab tak benarkan pelajar yang sudah berkahwin. Bila awak dan Ita melawat, saya kena kata awak adik saya dan anak saya intan payung ni saya kena kata anak saudara. Betul ke ni? Saya pun rasa tak selesa”.

“Abang, tak apa lah. Kita kan dah bincang. Saya sanggup untuk masa depan kita. Allah maha mengetahui, niat kita baik. Nak buat macamana? Kita kahwin muda. Nak belajar universiti, abang tiada peluang disebabkan kekangan kewangan. Maktab murah dan Pak Lang pun nak sangat bantu kita. Masa depan sebagai guru InsyaAllah berkat. Abang kata abang suka nak mengajar. Jadi Guru pun banyak pahala juga tu. Mendidik anak-anak bangsa, mana tahu anak kita juga akan menjadi anak yang hebat,” Mak tersenyum sambil mencium pipi saya.

Mak sambung bebelan, “We must have vision. Without vision nothing can be done. Tenguk Pak Lang tu, berjaya sehingga ke Canada, ada Doktorate, PHD in Agriculture.”.

“Ya lah. Ya lah. Saya ikut aja cakap awak. Eh? Mana Nyai ni? Anak Ayah, tolong pergi tenguk Nenek Medan sayang. Matahari dah tercegat atas kepala, Nenek masih di kebun lagi ke?”, Ayah menjenguk kepala ke laman mencari kelibat Nenek Medan.

“Lan… Wis mangan? “ Nenek dah sampai, membasuh kaki, tangan dan muka dari air tempayan di kaki tangga. Mak berlari mengambil kain bersih untuk diberi pada Nenek. “Wis Mbah. Ngenteni Mbah. Kok suwe? Ngalakoni apa? “ Ayah bertanya Nenek. Kenapa begitu lama sangat? Apa yang di buat ke kebun?.

“Akeh gawean neng kebon. Ora ono kopi sing digiling”,
Nenek menjawab kerja banyak di kebun, kopi pun tak bergiling lagi”.

“Ya, mengko aku nulungi. mangan dhisik Mbah”, Ayah kata nanti dia akan tolong, Ayah suruh nenek makan dulu.

Nenek Medan bersila depan makanan, laju kucing kesayangan Nenek Medan berlari duduk di sebelahnya. Saya menjauhkan diri takut dengan kucing Nenek Medan. Kucing Nenek Medan hanya mahu dengan Nenek, baru kelmarin dicakarnya saya. Saya nak belai aja, dicakarnya.

Dengan sopan Nenek menyuap nasi dan ikan kering ke mulutnya. Nenek Medan makan tak banyak. Ayah pun makan tak banyak. Keluarga Jawa Ayah makan memang seadanya. Lauk juga sentiasa bening-bening, masak air. Sayur wajib ada. Tempe yang dibuat sendiri juga wajib ada. Nasinya sebesar telapak tangannya. Selesai makan, nenek menghirup teh o panas tanpa gula.

“Mbah… Aku entuk tawaran sinau dadi guru. Di Kuala Lumpur. suwene rong taun. ndhaftar wulan ngarep. Nuwun sewu mbah. Aku kudu mikir masa depan anakku. Aku ora bisa nulungi mbah ing kene. Kula nyuwun ijin lan donga mbah”, bergenang air mata Ayah menyusun ayat. Ayah dapat tawaran jadi guru, di Kuala Lumpur, selama dua tahun. Daftar bulan depan. Ayah fikirkan masa depan saya, dan tidak dapat membantu Nenek Medan di kampung lagi. Ayah minta izin Nenek Medan dan doa Nenek untuk izinkan Ayah pergi.

Nenek melepaskan nafas beratnya. Kepala saya di usap seperti membelai kucing kesayangannya. Suasana jadi muram dan sepi. Nenek ambil masa lama untuk menjawab. Ayah menunggu dengan sabar.

“Aku ora ngerti. Tanah kita bisa diolah kanthi akeh. kok pengen dadi guru? …” Suasana hening. Ayah tak membalas.

Nenek sambung dengan nada hiba, “Sing apik kanggo sampeyan, Lan. Aku bisa lungguh dhewe. Akeh wong bisa ndeleng aku”, Nenek menjawab sambil menggetap bibir.

Nenek tak mengerti kenapa Ayah nak jadi Guru biarpun tanah banyak boleh diusahakan. Tapi Nenek beri kebenaran. Mana yang Ayah fikir baik untuk masa depannya. Nenek kata jangan risau, dia dah biasa duduk sendiri dan ramai lagi anak-anak dia boleh membantu.

Ayah diam membisu, tidak menjawab. Berat hati Ayah meninggalkan Nenek seorang diri. Tangan Nenek disalam dan dicium.

Ayah tahu hati Nenek Medan tak mahu melepaskan, akan tetapi Nenek tak tunjuk emosinya. Ayah kata tanah ini semua bukan Ayah punya, dan Ayah juga tidak mahu berada di dalam kemelut pergaduhan untuk berebut harta. Biarlah kita cari rezeki kita sendiri, dari mengharap harta Nenek.

Petang itu Ayah bahagia dapat izin Nenek Medan untuk sambung belajar. Dan saya bahagia kerana dapat lastik kera.

Pulang ke rumah saya minta didukung. Penat jalan jauh. Lama Ayah menatap pokok getah. Air mata jatuh di pipinya. “Jangan lupa anak Ayah. Penoreh getah kerjanya sukar. Pagi buta keluar dan pendapatan tidak tetap. Ayah dapat sikit sahaja duit upahan dari Nenek. Sekarang kita nak ke bandar besar. Ayah buat semua ini untuk Ita dan Mak”, saya mengangguk dan memeluk Ayah erat. Saya cium pipi Ayah.

Hati bahagia. Ayah buat semua ini untuk saya.

Previous articleTips Sebelum Tidur
Next articleProgram anjuran Pertubuhan Nur Muaqobah dan MAIS tarik minat LGBT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here