Catatan Pribadi Datuk Sri Rosz
Siri Pertama
SUARA burung bersiul, menyanyi di pagi hari. Embun sejuk menitik di daunan. Matahari memancarkan sinar pelangi di sebalik dahan-dahan pohon getah dan atap rumbia. Suara monyet dan lotong sahut-menyahut bermain dan mencari sarapan. Saya yang berumur empat tahun menongkat dagu, leka melihat keindahan alam sambil berteleku di atas tangga menunggu Ayah pulang dari menoreh getah.
“Ita, sarapan dulu. Lepas ni kita mandi dan kemudian boleh kutip kopi,” Mak memanggil.
Saya tak mahu bergerak dari tangga. Sayup pemandangan mencari kelibat Ayah. Dalam hati berkata, “Bencinya nak mandi, air sejuk, dahlah kena gosok gigi dengan air payau!”Setiap kali Mak gosokkan gigi, saya meraung menangis. Di rumah Nenek Sri Medan ini tiada air, tiada elektrik, dan tiada gas. Sumber kolam air dari tanah gambut, maka airnya payau dan sangat pedih apabila masuk mata. Ketika itu, masih kecil tidak memahami bahawasanya tanah gambut memiliki sumber tenaga yang unik.
Selepas mandi saya tolong Mak kutip ranting kayu untuk dijadikan kayu api. Masa untuk masak tengah hari. Dapur kecil dibina daripada buluh. Dari belakang saya perhatikan Mak terbongkok-bongkok meniup api menanak nasi. Pucuk ubi masak lemak dengan ikan kering lauk hari ini. Kehidupan di kampung sangat jerih. Mak yang dibesarkan di Kuala Lumpur, dalam keadaan yang mewah oleh Tok Alang dan Nenek Lamah, sanggup bersabar menetap di Sri Medan selepas berkahwin kerana cintanya pada Ayah.
“Assalamualaikum! Mana anak Ayah?”
“Yey! Ayah dah balik,” Saya berlari ke pintu memeluk erat Ayah. Saya dipeluk, didukung dan dicium bertalu-talu. Hati terasa bahagia. Makan tengah hari siap di hidang oleh Mak. Bau ikan kering Ayah pancing harum semerbak.
Duduk bersila di atas tikar mengkuang, perut dah berkeroncong. “Ita! Ita!”, pergi panggil Nenek Medan. Tunggu Nenek, baru kita boleh makan,” Mak memang menjaga hati orang tua. Bagi Mak, hormat orang tua dan mengambil hati adalah perkara wajib dalam menjaga silaturahim. Saya berları ke belakang rumah mencari Nenek Medan. Pasti Nenek sedang sibuk mengerjakan tanam-tanamannya.
Nenek Medan badannya tegap, tinggi lampai dan sawo matang kulitnya. Jari-jemarinya bengkang-bengkok, mungkin kerana mengerjakan tanah dan bekerja kuat. Ayah dibela oleh Nenek Medan. Sama seperti Mak. Mak dibela oleh Nenek Lamah. Mereka tidak dibesarkan dengan kasih sayang kedua ibu bapa. Nenek Medan berbeza dengan Nenek Lamah. Nenek Medan garang karakternya. Hanya mengutarakan bahasa Jawa. Mak belajar bahasa Jawa untuk berkomunikasi dengan Nenek. Suaranya halus dan sepi. Tidak pernah saya mendengar Nenek meninggi suara. Tapi Nenek Medan sangat tegas orangnya, dingin karakternya dan pemikirannya hanya memikirkan tanah-tanahnya.
Mak bercerita, Nenek Medan adalah peneroka awal di Sri Medan, Batu Pahat. Tanah berhektar-hektar, dipenuhi pokok getah dan durian. Kebanyakan tanah Nenek bagi pada anak-anak dan cucu yang disayangi untuk diduduki. Walaupun mempunyai harta yang banyak, Nenek Medan hidupnya sangat ringkas.
Rumah kami duduki adalah rumah Nenek Medan. Dibina di hujung ladang getah. Tiada kereta boleh memasuki kawasan ini. Biasanya dari tepi jalan raya, kami berjalan kaki. Terasa seperti sangat jauh, tapi mungkin kerana saya kecil lagi.
“Mbah, ayo mangan,” jerit saya apabila melihat kelibat Nenek yang sedang mencabut ubi kayu.
“Ibumu masak apa? Bapakmu mulih? Kowe lunguo dhisik, aku enggal bali,” Nenek bertanya Ayah dah balik, disuruhnya saya balik dulu, Nenek menyusul kemudian.
Mak bercerita Nenek Medan dari Ponorogo, wanita yang sangat gigih dan kuat. Rajin bekerja. Mengelolakan rumah dan tanah sebesar- besar ini seorang diri. Mungkin kerana itu Ayah tidak digalakkan sambung belajar walaupun ada peluang biasiswa. Nenek mungkin mahu Ayah membantunya di sini. Kampung ini adalah syurga dunia Nenek.
Nantikan sambungan berikutnya…