Seniwati Salmah Ahmad yang sentiasa dirindui

Oleh Syed Wafa
Foto Ehsan Salmah Ahmad

WALAUPUN pengalaman ngeri di set penggambaran filem “Pontianak” itu telah 66 tahun berlalu tetapi ia tetap segar dalam ingatan bagaikan baru semalam beliau melihatnya.

“Saya masih ingat melihat ‘Kak Maria’ (panggilan untuk Datuk Sri Maria Menado) meniarap di dahan pokok dan apabila saya baru memanggil ‘Kak’, tiba-tiba dia berubah putih bermula dari rambut kemudian pakaiannya dan mengilai… terus terbang. Melihatkan itu saya terkejut dan badan saya menjadi seram sejuk,” cerita Seniwati Salmah Ahmad.

Wajah jelita Salmah Ahmad

Menurut Salmah Ahmad, selepas melihat kejadian itu beliau ternampak ‘Kak Maria’ yang duduk tidak jauh dari busut jirat cina lalu bertanya adakah babak beliau tadi sudah selesai.

“Apa yang buat saya terkejut apabila Kak Maria kata beliau duduk di situ sejak petang tadi. Mendengarkan itu badan saya menggigil kembali dan seram sejuk. Seminggu saya cuti tidak masuk set kerana demam,” kata Salmah Ahmad yang selalunya sampai di lokasi selepas matahari terbenam!

Kenangan Salmah Ahmad menyertai pertandingan Ratu Kebaya
Kenangan indah memenangi pertandingan Ratu Cantik

Bagaimanapun kata Salmah Ahmad sampai saat ini beliau masih teringat dan tertanya-tanya siapakah ‘Pakcik’ berbadan besar tinggi berseluar tiga suku dan berkemeja-T dengan kain pelikat berselimpang di bahunya.

“Saya masih terbayang wajah ‘Pakcik’ itu yang menyuruh saya alihkan barang-barang saya kerana tanpa sedar waktu itu saya duduk di busut jirat cina. Selepas teguran ‘Pakcik’ itulah saya ternampak ‘Pontianak’ yang saya sangkakan Kak Maria,” kata Salmah Ahmad.

Salmah Ahmad bersama Datuk Sri Maria Menado dalam filem ‘ Pontianak’ 1957

Penggambaran filem “Pontianak” dan “Dendam Pontianak” selalunya bermula dari pukul 6.00 petang sehingga 6.00 pagi selama tiga bulan.

Sepanjang penggambaran di jirat cina di hutan berhampiran kolam air (kini dikenali Tempines) pelbagai kejadian seram yang Salmah Ahmad alami tanpa diketahui pengarahnya, B.N Rao dan kru kecuali Maria Menado.

Bagaimanapun katanya, beliau sentiasa ingat akan pesanan Seniman Dollah Sarawak yang dipanggil ‘Pak Dollah’ iaitu sebelum masuk kawasan hutan agar membaca apa-apa surah yang beliau ingat.

Wajahnya yang jelita serta lakonannya yang hebat menjadikan beliau antara artis wanita yang begitu diminati di era 60an

“Alhamdulillah kerana ingat pesanan Pak Dollah saya tidak alami kejadian buruk sekadar ternampak pontianak di atas pokok, kemudian terbang sambil mengilai…kalau tidak mungkin saya ditarik pontianak sebenar dan terus dibawa terbang,” cerita Salmah Ahmad lagi sambil memberitahu pada mulanya sejak peristiwa itu, beliau berhasrat tidak mahu berlakon tetapi masih terikat dengan dua lagi siri filem tersebut “Dendam Pontianak” (1957) dan “Sumpahan Pontianak” (1958).

Salmah Ahmad mula ditawarkan menjadi pelakon setelah dimahkotakan sebagai ‘Ratu Kebaya’ dan ‘Ratu Cantik’ pada usia 18 tahun. Ketika usianya 19 tahun beliau mula dikenali dan menjadi ‘Ratu Filem’ kerana mendapat tawaran berlakon tidak henti-henti walaupun telah mempunyai seorang anak.

Salmah Ahmad berkahwin dengan Ahmad Shahlan, pengusaha perabot jati pada usia 17 tahun dan semenjak suaminya meninggal pada 1981, beliau tinggal di Ampang.

SALMAH Ahmad bersama suami, Ahmad Shahlan (Allahyarham) dan enam orang anak mereka.

Sejak tiga bulan lalu, ibu kepada enam orang anak iaitu Trisnandingsih, 68, Setiawarti, 65, Satria, Muliaprawira, Edy Santosa dan Bambang Irawan yang juga nenek kepada sembilan cucu tinggal bersama anak sulungnya di Kelana Jaya.

Mengimbau kembali di zaman kegemilangannya sebagai seniwati di Cathay Keris, Salmah Ahmad memberitahu pada tahun 1960, lima bulan sebelum kontraknya tamat pemilik Cathay Keris, Ho Ah Loke meminta beliau bersama Allahyarham Seniman Mustapha Maarof dan Allahyarham Seniman Abdullah Chik untuk menandantangani kontrak selama empat tahun lagi untuk berlakon dengan filem-filem terbitan syarikat miliknya, Merdeka Studio, di Kuala Lumpur dan beliau bersetuju untuk meneruskan kontrak tersebut.

Salmah Ahmad bersama S.Roomai Noor dalam filem ‘ Orang Minyak’ 1958
Salmah Ahmad bersama Abdullah Chik dalam filem ‘ Selendang Merah’ 1962

Sepanjang penglibatannya sebagai pelakon, Salmah Ahmad telah membintangi 13 filem dengan tujuh daripadanya terbitan Merdeka Studio bermula dengan “Tun Tijah” (1960) dan sebelum kontraknya tamat beliau berlakon tiga filem arahan Salleh Ghani (Allahyarham) iaitu “Ibu Ayam, Anak Manja” (1963) dan yang terakhir “Tun Mandan” pada tahun 1964.

“Saya mengambil keputusan meninggalkan dunia filem kerana Bos di Merdeka Studio tidak sama seperti Ho Ah Loke yang sentiasa menjaga kebajikan saya. Sejak itu, saya rasa lebih bahagia menjalani hidup sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak saya disamping membantu perniagaan perabut kayu jati milik suami, di Kampung Baharu.

Bersama Mustapha Maarof dan Mak Dara dalam filem ‘Ibu Ayam’ 1963
Salamah Ahmad dalam filem ‘Ibu Ayam’ 1963

“Tetapi setelah suami saya, Ahmad Shahlan meninggal dunia pada tahun 1981, saya dan anak-anak mengambil keputusan menutup kedai perabot itu,” kata Salmah Ahmad yang mendapat gaji bulanan lumayan daripada Cathay Keris disamping mendapat 1,000 bonus bagi setiap filem yang dilakonkannya.

Filem “Pontianak” bukan sahaja telah mengangkat Salmah Ahmad sebagai seniwati popular sejak tahun 1950-an sehingga 1970-an malah lakonannya dalam filem itu telah menarik minat seorang pengarah dari Hong Kong.

Salmah Ahmad sering menghiasi cover majalah terkenal ketika itu

“Pengarah berkenaan berjumpa Ho Ah Loke kerana mahu saya berlakon dalam filem arahannya setelah beliau menonton filem ‘Pontianak’ lakonan saya dan Kak Maria yang telah dialih bahasa cina dan mendapat sambutan.

“Sayangnya tawaran beliau terpaksa saya tolak dengan baik kerana saya terikat kontrak dengan Merdeka Studio. Tetapi saya tidak pernah menyesal kerana setelah kontrak dengan Merdeka Studio tamat, saya rasa bahagia lalui hidup sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak saya,” cerita Salmah Ahmad sambil tersenyum manis.

Salmah Ahmad bersama Datuk Yusof Haslam

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan seniwati legenda Salmah Ahmad sentiasa dirahmati Allah SWT…Amin

Syed Wafa (Penulis) bergambar kenangan bersama seniwati Salmah Ahmad dan Allahyarham seniwati Latifah Omar
Previous articleZaiton Sameon buang rasa malu demi kelangsungan hidup
Next articlePes Sup Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Bihun Taucu !

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here