Oleh Nafsiah Jani
Bukan senang seseorang yang telah lama berada dalam industri dunia lawak mengakui secara terbuka tentang kehebatan seorang pendatang baru. Begitulah pelakon, pelawak dan pengacara tersohor, Harith Iskander,57, tanpa berselindung mengatakan pelawak kegemarannya masa kini adalah pelawak Mad Sabah atau nama sebenarnya Achmad Rusli, 34.
“Buat masa ini pelawak kesukaan saya ialah pelawak Mad Sabah dari Kunak, Sabah. Itu bakat yang saya nampak sekarang. Saya suka sebab lawaknya jujur. Dia tidak berpura-pura. Kalau nak jadi pelawak, jadilah macam Mad Sabah. Dalam lawaknya dia gunakan persekitaran tempat tinggalnya sebagai bahan dan itulah yang sepatutnya kalau seseorang itu nak berjaya membuat lawak.
“Dah beberapa kali saya tengok persembahannya. Pada saya, dia cukup original dan inilah pelapis pelawak yang akan gantikan orang macam saya. Walaupun berlawak dengan `broken English’ namun dia berjaya buat orang luar juga turut tertawa dengan lawaknya.
“Sebagai pelawak, jadi diri anda sendiri dan bukannya cuba meniru menjadi orang lain. Seseorang yang tulen dalam berlawak dan kalau nak berlawak guna suara dalam…kalau awak tu orang kampung ceritalah mengenai yang dekat dengan anda dan bukannya cerita yang jauh daripada diri anda. Kononnya asal Kunak tapi nak cerita tentang Switzerland…kan jauh tu,’’ kata Harith sambil ketawa.
Harith yang pernah merangkul Asia Best Stand-Up Comedian Award 2014 menambah, Dalam lawak ini kita tak boleh katakan siapa yang terbaik atau tidak kerana bukan senang nak jadi `stand -up comedy’.
“Lawak ni macam makanan. Lain orang lain citarasanya dan lawak ini ada pelbagai dan begitu juga pelawak di Malaysia. Sebagai pelawak stand up ada juga masanya saya kekeringan idea untuk buat jenaka
“Lawak solo bukan semudah naik ke pentas dan buat persembahan depan penonton dengan lawak secara spontan. Sebaliknya seseorang pelawak perlu habiskan masa berjam-jam atau berbulan-bulan untuk dapatkan kemahiran selain membaca bagi menambah pengetahuan.
“Selalunya sebelum buat persembahan, saya akan kaji dulu penonton dan setelah itu barulah saya rangka lawak apa yang sesuai untuk dibawa. Kadang tu lawak yang kita sediakan berbulan-bulan namun ada masanya penonton tidak ketawa dengan lawak yang disampaikan…ianya ibarat satu kegagalan. Namun kegagalan itu tidak akan patahkan semangat saya sebaliknya saya akan belajar untuk cari idea-idea baru.”
Demi menjadi pelawak yang berilmu, Harith sanggup berhenti kerja dan melanjutkan pelajaran selama tiga tahun di Curtin Universiti Western Audstralia, Perth demi menimba ilmu.
Sepanjang 33 tahun penglibatannya dalam dunia `stand-up comedy’, Harith juga pernah mendapat gelaran ‘Malaysia God father of Stand Up Comedy’. Kebolehannya berlawak tanpa menyentuh isu-isu sensitif juga telah melayakkan Harith Iskander meraih gelaran ‘Funniest Person in The World’ anjuran Laugh Factory di Finland 2016.
Harith seorang bapa yang pendiam di rumah
Melihat pada penampilannya, mungkin ramai yang tidak tahu, Harith Iskander adalah seorang yang pendiam dan introvert ketika berada di rumah dan bersama anak-anaknya.
“Dekat rumah, memang saya tak banyak cakap berbanding isteri saya. Namun ketika bersama-anak-anak, macam biasa saya macam bapa-bapa yang lain…bercakap bila perlu.
“Saya pun tak tahu nak cakap bagaimana. Tapi itulah karakter saya. Saya bersyukur kerana mendapat isteri, Jezamine Lim yang berlainan karakter dengan saya. Kini segala urusan saya dijaga oleh isteri yang sentiasa ada bersama-sama saya sebagai pengurus,’’ ujar Harith lagi.
Selain berlawak, Harith juga sibuk menguruskan The Joke Factory yang terletak Kompleks Beli Belah, Publika ini. Tempat ini merupakan hab untuk pelawak-pelawak dan peminat lawak tunggal berkumpul.
Harith kini bahagia bersama isterinya seorang doktor iaitu Jezamine Lim, 40, serta tiga orang anak iaitu Zander Xayne, 11, Alessandra Jayne,10, dan Zydane Zayne, 9.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.