RUBIAH Suparman sebagai Dayang Suhana dalam filem pertama lakonannya yang diterbitkan pada tahun 1977.

Oleh SYED WAFA

APABILA sebut nama Rubiah Suparman bukan sahaja membuatkan anda mengingatinya malah pasti anda tertanya-tanya ke manakah beliau menghilang?

Siapa tidak kenal dengan pelakon yang cukup sinonim dengan watak wanita
malang yang telah mencuri hati ribuan peminat filem kerana lakonannya dalam ‘Dayang Suhana’ arahan Aziz Abas terbitan Filem Negara Malaysia pada tahun 1977.

KECANTIKAN dan keayuan wajah Rubiah Suparman sebagai wanita Melayu jelas terserlah dalam kebaya pendek.

Filem yang mula menemui para peminat di seluruh pawagam di Malaysia pada Mei 1978, bukan sahaja telah membuatkan nama beliau melekat di hati para peminat malah filem itu juga telah mencatatkan sejarah tersendiri buatnya.

Sebabnya penghayatan Rubiah Suparman sebagai Dayang Suhana, janda yang hampir menemui kebahagiaan kedua musnah apabila sebelum majlis akad nikah dijalankan baru diketahui bakal suaminya, Azman (Datuk Rahim Razali) adalah saudara sesusuan.

Lakonannya yang berkesan telah melayakkan beliau menerima Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-2 (FFM2) pada tahun 1981.

RUBIAH Suparman dan Allahyarham Ismail Din dalam satu babak filem “Bila Hati Telah Retak” yang diterbitkan pada tahun 1983.

Sementara “Bila Hati Telah Retak” filem ketiga lakonannya telah melayakkan Rubiah Suparman menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-4 (FFM4) pada tahun 1983.

Bagaimanapun dua kali merangkul anugerah pada FFM tidak mampu mengikat beliau yang telah berlakon ratusan drama seperti ‘Tiga Dara’, ‘Mencari Restu’ dan ‘Naik Tangga Turun Tangga’ dan sembilan filem antaranya ‘Di Ambang Kasih'(1984), ‘Potret Maria'(1980) dan ‘Black Widow Wajah Ayu’ (1994) untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang lakonan.

BERPASANGAN dengan Datuk Rahim Razali sebagai Azman dan Rubiah Suparman sebagai Dayang Suhana (yang juga tajuk filem pertama lakonannya) Filem ini diterbitkan pada tahun 1977.

Baginya semua itu hanya kisah dan kejayaan yang dicapainya 42 tahun dahulu. Kini ‘Dayang Suhana’ berwajah sayu tidak sama dengan Seniwati Rubiah Suparman hari ini.

Sebabnya pada usianya 76 tahun, Rubiah Suparman lebih selesa dan tenang menjalani hidup sebagai pemilik Restoran Puteri yang terletak di No: 12, Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

“Di Ambang Kasih” membawa dilema cinta yang penuh konflik antara Datuk Rosdi dengan adik iparnya, Hidayu (Rosnah Mohd. Nor) dan Hayati (Rubiah Suparman) yang disangka mati lemas.

Sebagai pemilik restoran berkenaan sejak sekian lama, sepatutnya beliau boleh duduk goyang kaki tetapi tidak bagi Rubiah Suparman.

Sebaliknya setiap hari selepas Subuh beliau akan memandu kereta dari Subang Jaya ke Taman Tun Dr. Ismail untuk sama-sama memastikan agar semua menu untuk sarapan pagi sudah tersedia untuk para pelanggan tetapnya menjamu selera sebelum ke pejabat atau menjalankan tugas harian masing- masing.

RUBIAH Suparman (dua dari kanan) bersama Datin Maria Arshad, Fauziah Ahmad Daud dan Datuk Nancie Foo ketika mewakili Malaysi di Festival Filem Asean ke-10 yang berlangsung pada November 1980, di Singapura.

Apabila ditanya apakah beliau tidak berhasrat berlakon kembali, Rubiah yang sering membawa watak wanita malang berkata;

“Sudah 29 tahun saya tinggalkan bidang lakonan dengan filem terakhir ‘Black Widow Wajah Ayu’ hati saya memang sudah tertutup untuk berlakon kembali.

“Cukuplah selama ini saya berlakon di depan kamera. Kini realiti hidup saya sibuk di restoran dan menyantuni para pelanggan tetap yang menjamu selera setiap sarapan pagi dan makan tengahari di Restoran Puteri ini.

SENIWATI Dayang Sulu menyampaikan Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik kepada Rubiah Suparman pada Festival Filem Malaysia ke-2 (FFM2) pada tahun 1981 kerana lakonannya dalam filem “Dayang Suhana.”
DATUK Yusof Haslam menerima Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik kerana lakonannya dalam filem “Mekanik.”
Sementara, Rubiah Suparman pula menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik kerana lakonannya dalam filem “Bila Hati Telah Retak.”
Kedua-duanya menerima anugerah tersebut pada Festival Filem Malaysia ke-4 (FFM4) yang berlangsung pada tahun 1983.

“Walaupun kadangkala ada pengunjung yang pertama kali datang ke restoran ini bertanya mengapa saya tinggalkan dunia glamor sebaliknya bertungkus lumus di restoran ini, jawapan saya mudah…inilah dunia saya hari ini.

“Cukuplah lebih 40 tahun hidup saya berdepan dengan kamera bukan sahaja melakonkan watak orang lain malah saya penat melihat ragam segelintir pelakon baru yang tidak tahu menghormati waktu dan para pelakon senior yang terpaksa menunggu mereka berjam-jam di set.

“Saya perhatikan mereka bersikap begitu kerana penerbit adalah ‘BFF’ (Best Friend Forever) mereka,” kata Rubiah Suparman yang tetap dengan pendiriannya tidak akan berlakon lagi.

HARI bahagia buat Rubiah Suparman dan Zahari Mohd. Noh apabila sah sebagai suami isteri pada 1 Januari 1984. Zahari Mohd. Noh meninggal dunia kerana kanser pada 7 Mac 2020.

Menurut Rubiah Suparman lagi, kini beliau rasa lebih tenang pada usia begini beliau menyantuni para pelanggannya yang begitu berselera menikmati menu popular di Restoran Puteri yang mula beroperasi dari pukul 6.30 pagi sehingga 4.00 petang setiap hari.

“Saya merasakan begitu dihargai bila para pelanggan tetap dan pelanggan baharu mengucapkan terima kasih kerana berbaloi bil yang mereka bayar dengan menu hidangan yang menepati selera mereka.

“Berlakon kita merasakan kerja keras kita amat dihargai apabila menerima anugerah tetapi mengusahakan restoran setiap hari apabila pelanggan mengucapkan terima kasih kerana masakan kita menepati selera mereka, itulah saat yang paling membahagiakan,” cerita Rubiah Suparman mengenai perasaannya yang telah mengendalikan Restoran Puteri TTDI sejak 22 tahun lalu.

RUBIAH Suparman menyantuni pelanggan VViP, Pengasas Portal BebasNews, Datuk Zaini Hassan bersama kakitangannya, Marlia Abdul Ghani dan Afiza Aziz yang menjamu selera di Restoran Puteri, di Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur .

Menu popular Restoran Puteri sejak di Brickfields ialah sarapan pagi dengan Laksa Johor, Soto Ayam, Lontong, Mi Rebus dan Roti Canai.

Sementara makan tengahari menu istimewa antaranya Siput Sedut Masak Lemak, Daging Salai Masak Lemak Cili Padi dan Ikan Kembung Bakar.

RUBIAH Suparman bersama rakan kongsinya, Datuk Habsah Hassan ketika bersama mengusahakan Restoran Puteri di Brickfields yang mula beroperasi pada tahun 1984. Tetapi restoran ini ditutup pada 10 Ogos 2021 akibat pandemik Covid-19.

“Saya bersyukur setiap kali melihat para pelanggan menikmati dengan penuh selera menu hidangan kami.

“Walaupun semua menu itu dimasak oleh para petugas di restoran ini tetapi saya akan pastikan kelazatannya dan kualitinya tetap sama. Para pelanggan datang menjamu selera di sesebuah restoran kegemaran mereka kerana masakannya yang sedap dan memenuhi selera mereka,” kata Rubiah Suparman dan berharap Restoran Puteri di TTDI akan terus kekal.

DALAM kenangan…Rubiah Suparman bersama Allahyarham suami, Zahari Mohd. Noh dan anak-anak mereka.

Bila bercakap mengenai Restoran Puteri di Brickfields yang terpaksa ditutup pada 10 Ogos 2021 kerana pandemik Covid-19, Rubiah berkata;

“Saya memang sayang kerana Restoran Puteri di Brickfields sudah beroperasi selama 37 tahun, tetapi saya reda kerana sudah setakat itu rezeki kami di sana.

“Semoga dengan izin-Nya Restoran Puteri di TTDI akan terus kekal,” kata beliau penuh harapan.

BERDIRI dari kiri: Syed Wafa (penulis) bergambar kenangan bersama Rubiah Suparman, Datuk Habsah Hassan dan suami, Mohamed Wan Hamzah Jusoh.
DUDUK: Wartawan, Muzlina Abu Bakar.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga seniwati legenda ini sentiasa dirahmati Allah… Amin

Previous articleYuna semakin `bersinar’ di Amerika Syarikat
Next articleArdini Angelina Tan sah bergelar isteri Sabri Yunus

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here