Oleh Nury Kadir
Bulan Disember sinonim dengan sambutan Krismas. Setiap tahun, soalan yang sama tetap diulang, bolehkah orang Islam mengucapkan ‘Merry Christmas’ atau ‘Selamat Hari Krismas’ kepada penganut agama Kristian?
Satu lagi pertanyaan yang popular, apakah orang Islam boleh memakai pakaian serta perhiasan Santa Claus dan menghias rumah dengan pokok krismas? Bila Krismas ada sahaja selebriti yang muat naik gambar dengan pakaian Santa Claus. Kemudian tunjukkan sudut rumah yang dihiasi dengan pokok krismas. Media sosial menjadikan perkara yang tidak biasa dilakukan oleh orang Islam pada suatu masa dahulu, kini menjadi kebiasaan.
Orang Kristian sibuk hias pokok krismas dengan lampu dan pelbagai hadiah, orang Islam pun terikut-ikut menghias pokok krismas. Seolah-olah perkara itu tidak ada apa-apa atau alasannya suka-suka sebab cantik. Ada juga yang meluahkan pendapat sendiri, perbuatan itu adalah sekadar menggembirakan anak-anak untuk menyambut perayaan datuk dan nenek mereka yang bukan beragama Islam.
Melihatkan keadaan semakin haru biru, ulama tidak pernah jemu mengeluarkan fatwa hukum mengenai orang Islam yang menyambut perayaan agama lain. Kali ini, kita juga akan membincangkan hal yang sama seperti dua persoalan yang dikemukakan di awal-awal artikel.
Pertama, bolehkah orang Islam mengucapkan ‘Merry Christmas’ kepada penganut agama Kristian? Jawapan bagi persoalan ini di petik dari ruangan Tahqiq al Masali (www.muftiwp.gov.my) yang diterangkan panjang lebar pendapat daripada empat mazhab iaitu Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali.
Kemudian perbahasan tersebut digabungkan dengan fatwa dari ulama kontemporari terkemuka seperti Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Dr. Sayrif Hatim ‘Arif al-‘Auni, Syeikh Muhammad Rasyid Redha, Syeikh Musthafa Zarqa’, Syeikh Muhammas Sa’id Ramadhan al-Buthi, Syeih Ali Jumu’ah dan Syeikh Abdullah bin Bayyah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, setelah mengambil kira situasi di Malaysia dan merujuk pandangan ulama, hukum mengucapkan ‘Merry Christmas’ dan ucapan-ucapan lain yang bermaksud tahniah dan selamat, adalah harus dengan syarat-syarat serta garis panduan khusus.
Ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.”
Hujah tersebut dikuatkan lagi dengan pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya ‘al-Halal wa al-Haram fil Islam’ antara lain menyebut: “Jika kita hendak menyimpulkan ajaran-ajaran Islam dalam tindakannya terhadap orang-orang yang menyalahinya dalam lingkungan apa yang halal dan apa yang haram, maka memadailah kita berpegang kepada dua ayat daripada al-Quran al-Karim yang boleh dianggap sebagai prinsip yang menyeluruh, sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah SWT hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah ayat 8-9).
Ayat yang pertama di atas tidak hanya menggalakkan seseorang berlaku adil dan saksama kepada orang-orang yang bukan Muslim, yang tidak memerangi, iaitu tidak menunjukkan permusuhan kepada kaum Muslimin dalam agamanya. Dengan erti kata lain, mereka itu tidak menaruh niat permusuhan atau peperangan terhadap kaum Muslimin, malah ayat itu juga menggalakkan supaya berbuat baik dan memberikan layanan yang sempurna kepada mereka.
Perkataan ‘al-birr’ dalam ayat tersebut iaitu ‘baik’ merupakan kalimah yang meliputi segala pengertian dan maksud yang baik umumnya dalam sebarang maksud, dan ianya adalah suatu perkara yang melebihi ‘keadilan.’ Kalimah ‘al-birr’ tersebut pernah digunakan oleh kaum Muslimin untuk menunjukkan kewajipan yang utama tentang hak-hak kemanusiaan ke atas diri mereka, ketika menggunakan perkataan itu untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa (birr al-walidain).
Sambung Mufti, ayat itu menjadi sandaran kerana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang berlaku adil.” Seseorang Mukmin itu mestilah berusaha dengan sepenuh daya upaya untuk merealisasikan apa yang disukai oleh Allah SWT, dengan tidak sama sekali menafikan atau menolak pengertian ‘menggalakkan dan menuntut’ yang terdapat di dalam ayat ini, kerana ianya berbunyi dengan ungkapan “Allah SWT tidak melarang kamu…” Ini kerana ungkapan seumpama ini adalah untuk menolak apa yang terlekat di dalam pemikiran Muslim, yang mana masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.
Sesiapa sahaja yang memusuhi ajaran Islam tidak berhak baginya mendapat kebaikan, keadilan dan pergaulan yang baik. Lantaran itu, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia tidak melarang orang Islam untuk melakukan sedemikian, meskipun orang-orang itu menyalahi agama mereka, bahkan sekalipun mereka memeranginya dan bermusuhan terhadapnya.
Sudah sampai masanya bagi para ulama menginterpretasikan apa yang terdapat daripada teks-teks klasik ulama silam supaya meraikan kerangka cabaran masa kini tanpa meninggalkan batasan syarak. Tidak cukup hanya sekadar menukilankan apa yang dicatatkan pada lembaran kertas daripada kitab-kitab silam (fiqh al-awraq), bahkan para ulama perlu turun padang bagi memahami kitab al-waqi’ (‘membaca’ realiti semasa).
Kemampuan untuk berinteraksi dengan teks-teks klasik inilah yang akan membawa umat Islam ke satu paradigma yang jauh ke hadapan dan lebih berpijak kepada realiti sebenar pada zaman sekarang serta tidak ketinggalan dalam arus perdana. Dengan itu, akan terzahirlah Islam sebagai agama yang bersifat rahmatan li al-‘alamin (memberi rahmat ke seluruh alam jagat).
Keputusan Institusi Fatwa Dan Pendapat Ulama
Berikut adalah beberapa pendapat dari institusi fatwa di seluruh dunia yang menyokong tarjih Mufti Wilayah Persekutuan.
- Dar al-Ifta’ al-Misriyyah
Harus mengucapkan tahniah kepada orang bukan Muslim merayakan perayaan mereka itu dengan lafaz yang tidak bertentangan dengan akidah Islamiyyah dan perbuatan ini termasuk di bawah bab Ihsan.
- Dar al-Ifta’
Menjelaskan bahawa ucapan ‘Merry Christmas’ ini tidak termasuk di bawah penyerupaan dengan bukan Islam yang dilarang, kerana larangan tasyabbuh itu meliputi perbuatan dan iktiqad yang bercanggah dengan perkara-perkara thawabit (prinsip-prinsip tetap yang qath’ie) dalam Islam.
- Majlis Fatwa Eropah
Mereka juga mengharuskannya sesuai dengan Fiqh al-Aqaliyyat, dan ia boleh diucapkan oleh individu Muslim atau organisasi Islam kepada saudara mereka yang bukan Islam. Ucapan ini bertujuan memelihara masyarakat minoriti Muslim itu sendiri (Minoriti Muslim di negara bukan Muslim).
- Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim yang tidak memerangi dan memusuhi orang Islam. Menurut beliau, Nabi SAW sendiri sentiasa melazimi perbuatan baik dan akhlak mulia bersama non-Muslim dan ini termasuk di bawah perintah ayat kelapan surah al-Mumtahanah.
Pun begitu, keharusannya adalah dengan syarat tidak ada sebarang bentuk mengagungkan syiar agama lain seperti salib atau meredhainya. Ianya diucapkan semata-mata menyantuni mereka sahaja.
- Syeikh Muhammad Rasyid Redha
Maka hendaklah kaum Muslimin menziarahi orang Kristian sewaktu perayaan mereka dan bergaul dengan mereka dengan akhlak yang baik. Daripada fatwa ini kita fahami, jika beliau mengharuskan menziarahi mereka sewaktu perayaan mereka, maka sekadar mengucapkan tahniah pastinya lebih ringan hukumnya.
- Syeikh Musthafa Zarqa’
Mengharuskannya atas dasar mujamalah dan pergaulan baik sesama manusia dan Islam tidak pernah melarang hal ini.
- Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthi
Harus untuk mengucapkan tahniah kepada ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) atas kegembiraan mereka dan ucapan takziah atas kedukaan mereka, bahkan disunatkan demikian itu sebagaimana dinaskan oleh para fuqaha’. Harus masuk ke tempat ibadat mereka atas tujuan tertentu dengan syarat tidak menyertai aktiviti keagamaan mereka.
- Syeikh Ali Jumu’ah
Mengharuskannya atas dasar berbuat baik kepada jiran, dan ini menepati saranan Nabi SAW: Maksudnya, “Jibril tidak henti-henti berpesan kepadaku agar berbuat baik kepada jiran, hingga aku menyangka dia akan memberi hak kepada jiran sebagai ahli waris.” (Riawayat al-Bukhari dan Muslim)
Ucapan tahniah ini juga hendaklah disertai dengan penghormatan kepada Nabi Isa AS sebagai seorang Nabi, dan hendaklah juga dijelaskan kepada mereka pegangan kita ini yang tidak menganggap Baginda sebagai anak Tuhan seperti yang diyakini oleh orang Kristian. [10]
- Syeikh Abdullah bin Bayyah
Diharuskan untuk mengucapkan tahniah kepada non-Muslim sempena perayaan mereka sama ada melalui lisan ataupun bertulis, selagimana tidak mengandungi syiar-syiar keagamaan mereka yang bercanggah dengan Islam seperti salib.
- Syeikh Dr. Syarif Hatim ‘Arif al-‘Auni
Ucapan tahniah yang diucapkan bukanlah ditujukan kepada ritual-ritual keagamaan dan i’tiqad orang Kristian tapi tahniah ke atas kegembiraan sempena hari perayaan mereka.
Apa Garis Panduan Untuk Mengucapkannya?
Berikut adalah garis panduan yang diaturkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang mengharuskan isu tersebut:
Menyuburkan Semangat Muhibbah Masyarakat Majmuk
Diharuskan untuk mengucapkan ‘Merry Christmas’ apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja. Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Hanya Apabila Perlu
Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai
semasa sambutan Krismas, kami melihat tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan.
Menjaga Hubungan Baik
Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.
Boleh Terima dan Beri Hadiah
Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang bukan beragama Islam. Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim. Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan, “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang Musyrik pakaian dan selainnya.”
Diharamkan untuk memberi hadiah berupa arak dan perkara yang tidak diizinkan syarak. Namun tidak boleh diniatkan pemberian itu sempena perayaan mereka, untuk mengeluarkan diri daripada larangan memberi hadiah kepada orang kafir semasa perayaan mereka. Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.
Hadir Bukan Di Rumah Ibadat
Dibolehkan untuk hadir ke majilis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang
ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal. Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah
ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri.
Diriwayatkan bahawa Umar RA berkata, maksudnya: “Janganlah kalian menemui orang-orang musyrik di gereja-gereja (tempat ibadah) mereka pada hari raya mereka, kerana kemurkaan (Allah) turun kepada mereka.” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan dan Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf). Tegahan ini menurut Ibn Muflih bersifat makruh dan bukannya haram.
BERSAMBUNG
*Artikel seterusnya akan melihat jawapan bagi persoalan ke-dua di atas.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.