Crop photo of woman holding a prayer beads and holy book
Photo by RDNE Stock project on Pexels

Oleh Nury Kadir

Setiap kali masuk bulan Rejab mesti kecoh apabila ramai yang mengaitkan amalan khusus dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Kebetulan baru-baru ini ada satu grup telegram yang berunsur keagamaan  mengundang sesiapa saja yang berminat untuk menyertainya. Betullah! grup itu memang bagus kerana admin sentiasa mengingatkan ahli grup tentang solat, mengaji dan banyak lagi amalan baik.

Apabila ada ahli grup yang menimbulkan persoalan solat sunat Rejab dan puasa sunat Rejab ada sedikit kekeliruan. Ramai yang bertanya bagaimana hendak niat puasa sunat dan solat sunat Rejab. Alamak! apa sudah jadi? Adakah solat sunat dan puasa sunat yang khusus untuk bulan Rejab.

Semakin keliru jadinya apabila banyak sangat pendapat, jika berlaku keadaan sedemikian pendapat paling tepat yang perlu diikut adalah pendapat mufti.

Hasil pencarian, boleh disimpulkan bahawa tidak ada amalan khusus untuk bulan Rejab. Namun digalakkan untuk meningkatkan amalan yang bersifat umum sperti berpuasa, memperbanyakkan sedekah,  membaca al-Quran, berzikir dan solat sunat bagi mempersiapkan diri menyambut Ramadhan.

Pada 2022, ada yang bertanya mengenai hadis yang berbunyi; “Sesiapa yang berpuasa satu hari di bulan Rejab dan solat empat rakaat pada bulan tersebut dengan membaca pada rakaat pertama 100 kali ayat al-kursi dan membaca 100 kali “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa”  pada rakaat kedua. Dia tidak akan mati sehingga dia melihat tempatnya daripada syurga atau dilihatkan kepadanya.”

Permasalahan itu telah pun dijawap di dalam www.muftiwp.gov.my, bahawa riwayat itu tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadis muktabar. Menurut Ibn al-Jauzi, hadis tersebut palsu ke atas Rasulullah SAW. Kebanyakan perawinya tidak dikenali dan merupakan perawi matruk(perawi yang ditinggalkan periwayatannya menurut ulama hadis).

Pun begitu, bulan Rejab merupakan salah satu bulan yang mulia dan termasuk dalam bulan haram yang empat iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Allah berfirman mengenai bulan haram tersebut di dalam surah at-Taubah ayat 36 yang bermaksud.
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.”

Ibn Kathir di dalam tafsirnya  menyebutkan pandangan Ibn Abbas, bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain.

Apa yang dimaksudkan dengan bulan haram? Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah bahawa Nabi SAW bersabda. Maksudnya, “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” (Riwayat al-Bukhari).

Antara makna hadis tersebut sebagaimana yang dijelaskan Ibn Hajar al-Asqalani, bahawa bulan-bulan ini kembali kepada asalnya serta menghapuskan al-Nasi’ (penangguhan). Telah berkata al-Khattabi bahawa mereka (orang jahiliyyah) berselisih di antara bulan-bulan dalam satu tahun pada menghalalkan, mengharamkan, menpercepatkan, melambatkan berdasarkan sebab-sebab yang datang kepada mereka. Antaranya, bagi mempercepatkan peperangan maka mereka menghalalkan bulan haram kemudian mereka mengharamkannya pada bulan yang lain iaitu selain daripada bulan haram.

Berikut adalah antara pendapat ulama berkaitan kelebihan bulan Rejab.

  1. Ibn Hajar berkata:
    . “Tidak ada disebut di dalam hadis yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus”.
  2. Imam Ibn al-Qayyim mengatakan: “Setiap hadis yang menyebut berkaitan puasa di bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu di dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka.”
  3. Imam al-Syaukani pula berkata: “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif.”
  4. Imam Ibn Rejab berkata: “Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi SAW dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda SAW.”
  5. Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah  mengatakan bahawa jumhur ulama’ daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Syafieyyah mengatakan sunat berpuasa pada bulan-bulan Haram. Ini kerana, mereka berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Imam Muslim:

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik solat selepas daripada solat fardhu adalah solat malam dan sebaik-baik puasa selepas daripada Ramadhan adalah puasa pada  bulan Allah al-Muharram.” (Riwayat Muslim)

    Akan tetapi, mereka mengatakan berpuasa pada bulan Rejab sahaja adalah makruh berdalilkan dengan sebuah hadis di dalam Sunan Ibn Majah. Daripada Abdullah bin Abbas RA berkata, maksudnya: “Bahawa Nabi SAW melarang berpuasa pada bulan Rejab.” (Riwayat Ibn Majah)

    Imam al-Syaukani mengatakan hadis ini terdapat dua orang perawi yang da’if iaitu Zaid bin Abd al-Hamid dan Daud bin Atha’. Hadis ini adalah da’if jiddan (teramat lemah).

    Ini kerana, jika seseorang itu berpuasa pada bulan Rejab sahaja maka ia menunjukkan seakan-akan mereka ini menghidupkan syiar (lambang) golongan Jahiliyyah pada masa lalu yang memuliakan bulan ini. Walaupun begitu, larangan atau pemakruhan ini akan hilang jika seseorang itu berbuka pada salah satu hari daripada bulan tersebut (tidak berpuasa penuh) atau berpuasa pada bulan yang lain daripada tahun tersebut dan tidak semestinya terus selepas daripada Rejab.

  6. Imam al-Nawawi menyebut bahawa antara puas sunat adalah pada bulan-bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah Muharram dan Rejab. Paling afdal antaranya adalah pada bulan Muharram. Meskipun, hadis yang berkait dengan amalan bulan Rejab adalah da’if namun menurut Imam Al-Nawawi ia boleh diamalkan dengan syarat:
    *Hadis da’if tersebut tidak palsu. Dalam al-Taib al-Nawawi menyebutkan bahawa boleh beramal dengan hadis da’if selagi mana tidak berkaitan dengan hal akidah.
    *tidak berkaitan hukum hakam
    *Boleh diamalkan dalam hal fada’il (kelebihan), targhib (galakan) dan tarhib (ancaman).
Person in praying with his hands raised
Photo by Alena Darmel on Pexels

Penuh tiga bulan

Di kalangan orang tua-tua dahulu ramai yang mengamalkan puasa tiga bulan berturut-turut Rejab, Sya’ban dan Ramadhan walaupun dikatakan bukan amalan Rasulullah SAW dan para sahabat. Syeikh Athiyyah Shaqar berpendapat bahawa berpuasa penuh pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan tidak ada dalil yang menghalangnya. Tambahan pula, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi juga mengatakan bahawa perbuatan tidak dilakukan oleh Nabi SAW, para sahabat RA dan juga para tabi’in.

Walau bagaimanapun,  al-Syeikh al-Allamah Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan, bahawa puasa tiga bulan berturut-turut iaitu berpuasa penuh pada bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan diamalkan oleh para solihin dan ia tidak bercanggah selama mana dia mampu untuk melakukannya dengan tidak beri’tiqad (menganggap) bahawa ia adalah sunnah. Dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh mengatakan bahawa orang yang tidak berpuasa itu tidak beramal dengan sunnah.

Pendapat dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tidak ada dalil mahu pun pandangan yang mengharamkan melakukan ibadat puasa bulan Rejab. Malah majoriti ulama berpandangan ia adalah sunat meskipun tidak terdapat hadis sahih berkenaan kelebihan amalan di dalam bulan Rejab. Tidak ada halangan untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedekah dan lain-lain dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu.

BERSAMBUNG
*Ada lagi bicara bulan Rejab yang menyentuh mengenai doa memohon rahmat Allah pada bulan tersebut.

Previous articleTawaran Tiket Serendah RM50 & RM40 Di Konsert Estranged Apa Khabar Teman?
Next articlePentingnya ujian pap smear (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here