Oleh Nafsiah Jani

Setelah sebulan berpuasa, kini tibalah kita meraikan hari kemenangan dan hari kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kehadiran 1 Syawal adalah anugerah dan kemenangan kerana kejayaan umat Islam melaksanakan tuntutan agama yang juga antara lima Rukun Islam.

Bagaimanapun, harus diingatkan umat Islam perlu meneruskan disiplin dan adab seperti sepanjang bulan Ramadan supaya bulan Syawal tidak dicemari dengan amalan atau perbuatan yang tidak sepatutnya.

Bagi mendapat keberkatan dalam menyambut perayaan ini, umat Islam hendaklah menghayati sunnah-sunnah Rasulullah SAW. Dalam bulan Syawal ini juga terdapat berbagai keutamaan serta amalan yang boleh dilaksanakan semata-mata kerana Allah SWT dan sudah tentu kita akan mendapat pahala yang berlipat kali ganda.

Antara amalan Aidilfitri yang boleh kita lakukan adalah seperti yang berikut:

1.Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah s.w.t, seperti melakukan solat, berzikir, membaca al Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya.

2.Mandi sunat Hari Raya biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri. Diharuskan mandi bermula dari tengah malam manakala waktu yang disunatkan pula adalah selepas terbitnya fajar hingga terbenam matahari.

3.Mengemas diri dengan mencukur bulu-bulu, mengetip/memotong kuku dan merapikan janggut.

4.Memperbanyakkan takbir pada malam raya dan pagi raya di mana sahaja mereka berada (selain dalam tandas). Takbir Aidilfitri boleh dibacakan bermula dari terbenam matahari akhir Ramadan hingga sebelum menunaikan solat Hari Raya.

4. Di pagi Syawal juga semua umat Islam digalakkan untuk memakai pakaian yang bersih dan memakai wangi-wangian. Berpakaian cantik bukan bermaksud pakaian yang baru, mahal atau mewah. Sebaliknya pilihlah pakaian yang paling indah mengikut kemampuan dan tidak membazir.

5.Menjadi amalan sunah sebelum ke masjid hendaklah kita makan terlebih dahulu sebelum mendirikan solat sunat Aidilfitri.Tujuan disunatkan makan sedikit sebelum bersolat adalah untuk menunjukkan bahawa umat Islam tidak dibenarkan berpuasa pada 1 Syawal. Sebaiknya, hendaklah makan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum keluar rumah untuk menunaikan solat.

6.Berziarah sesama saudara- mara, rakan taulan dan jiran tetangga merupakan satu amalan yang amat digalakkan dilakukan pada bulan Syawal. Ia diharapkan dapat mengukuhkan kembali silaturahim yang mungkin pernah terputus sebelum ini atau merapatkan jurang sesama insan yang mungkin agak renggang sebelum ini disebabkan kesibukan kerja.

7. Puasa sunat atau lebih dikenali sebagai ‘puasa 6’ mempunyai banyak kelebihannya dan memiliki ganjaran hebat buat mereka yang melaksanakannya. Puasa enam hari ini boleh dilakukan secara berselang-seli, berturut-turut atau mana-mana hari dalam bulan tersebut selain hari pertama Hari Raya Aidilfitri. Menurut sebuah hadis: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” – (Riwayat Muslim Ahmad Abu Daud Al Tarmizi Ibnu Majah

8.Hendaklah kita bersedekah seperti memberi kepada jiran tetangga atau saudara-mara yang selama ini jarang kita bertemu agar ada keberkatan dalam rezeki yang kita miliki.
Asma’ binti Abi Bakr berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda padaku:
أنفقي أَوِ انْفَحِي ، أَوْ انْضَحِي ، وَلاَ تُحصي فَيُحْصِي اللهُ عَلَيْكِ ، وَلاَ تُوعي فَيُوعي اللهُ عَلَيْكِ
“Infaqkanlah hartamu. Janganlah engkau menghitung-hitungnya (menyimpan tanpa mau mensedekahkan). Jika tidak, maka Allah akan menghilangkan barokah rizki tersebut. Janganlah menghalangi anugerah Allah untukmu. Jika tidak, maka Allah akan menahan anugerah dan kemurahan untukmu.”

9.Bagi orang bujang pula digalakkan mendirikan rumahtangga pada bulan yang mulia ini. Dikatakan bahawa jika kita melangsungkan acara pernikahan pada bulan Syawal akan mendatangkan kebaikan. Rasulullah SAW pun menikah dengan Aisyah RA pada bulan Syawal.

10. Disaat menziarahi saudara-mara dan keluarga kita juga akan bersalam-salaman di waktu datang dan sewaktu hendak balik. Perbuatan mulia ini akan menghapuskan segala dosa-dosa di antara sesama saudara muslim kerana adanya kegiatan saling maaf-memaafkan.

Previous articleKunci Kebahagiaan Yang Hilang (Bahagian 2)
Next articleManfaat buah delima

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here