Oleh: Nury Kadir
Ada orang kata Hari Raya Aidilfitri di negara Arab hanya sehari sahaja. Masuk 2 Syawal dan seterusnya hingga 30 Syawal adalah sama macam hari-hari biasa. Di Malaysia keadaannya lebih unik, selagi belum habis 30 Syawal maka hari raya terus diraikan. Kadang-kadang terbabas hingga masuk bulan Zulkaedah masih lagi sambut Hari raya Aidilfitri dan masih ada lagi rumah terbuka.
Apabila berlaku keadaan sedemikian ada yang membuat dakwaan bahawa menyambut Hari Raya Aidilfitiri selama sebulan seperti yang dilakukan oleh orang Melayu adalah bid’ah.
Sebenarnya apa maksud bid’ah hingga begitu ringan menyebutnya. Asal tidak mengikut seperti yang orang Arab buat terus dikatakan bid’ah. Semuanya bid’ah, hinggakan orang yang tidak begitu arif mengenai bid’ah menjadi takut.
Di sini, diberikan secara ringkas mengenai bid’ah yang dipetik dari www.muftiwp.gov.my, bahawa maksud bid’ah dari sudut bahasa iaitu apa yang dilakukan tanpa mempunyai misal sebelumnya. Antaranya firman Allah SWT: “Katakanlah aku bukanlah rasul yang pertama” (Surah al-Ahqaf: 9). Adapun dari segi istilah ia mempunyai pelbagai takrifan hasil daripada perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama yang mentakrifkannya.
Al-Suyuti menukilkan daripada Imam al-Syafie bahawa: “Perkara-perkara baru itu dua bentuk: Pertama; perkara baru yang menyalahi al-Quran dan al-Sunnah atau athar atau ijmak, maka ini merupakan kesesatan. Kedua; perkara baru yang baik, tiada khilaf di kalangan ulama dalam perkara ini, maka ini merupakan perkara baru yang tidak dicela.”
Al-Khattabi pula berkata, “Apa yang terbina di atas Qawa’id al-Usul, ia bukan bid‘ah dan tidak juga sesat. Terdapat dalam Lisan al-‘Arab pandangan Ibnu al-Athir iaitu: “Bid‘ah itu dua; bid‘ah huda (petunjuk) dan bid‘ah dhalalah (sesat) maka apa yang berlaku di bawah keumuman apa yang diharuskan oleh Allah atau Rasul-Nya dan ia tidak mempunyai misal sebelumnya maka ia terpuji. Dan ia berkata lagi: Dan antara jenis (bid‘ah huda) ini iaitu ucapan Umar r.a.: Senikmat-nikmat bid‘ah adalah ini (mengerjakan tarawih 20 raka’at secara berjamaah).”
Berdasarkan takrifan bid’ah yang dikemukakan, menunjukkan bukan semua perkara baharu itu dicela, bahkan jika perkara itu memiliki sandaran daripada syarak maka ia termasuk perkara baik yang dianjurkan. Ini bertepatan dengan amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Syawal seperti ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, mengadakan jamuan makan dan sebagainya yang sememangnya dituntut oleh syarak tanpa mengira masa dan ketika. Namun, ia dilakukan oleh masyarakat sebagai satu adat tradisi dalam mengambil keberkatan bulan yang mulia seperti Syawal.
Bersandarkan perbahasan di atas, dapat difahami apa yang dilakukan oleh masyarakat pada hari ini bukan termasuk perkara bid’ah yang tercela. Ini kerana, tiada suatupun ibadat khusus yang direka dalam sambutan hari raya selama sebulan yang diadakan. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya. Bahkan tiada sesiapa pun yang mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.
Mengadakan jamuan makan terutamanya kepada fakir miskin amat digalakkan bagi menyahut seruan al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Insan 8-10, maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih. “Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut dikenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut.”
Di dalam Islam, terdapat dua hari raya yang telah disyariatkan. Ini sebagaimana hadis ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, penduduk Madinah telah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda, maksudnya: ”Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Imam Ahmad)
Hadis tersebut memberi penjelasan bahawa hanya dua sahaja hari raya yang disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT. Manakala dalam hadis yang lain disebutkan sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Hari Arafah (untuk yang mengerjakan haji), hari korban dan hari-hari tasyriq adalah hari raya kita orang Islam, hari-hari tersebut hari makan dan minum.” (Riwayat Imam Ahmad)
Apa beza antara Hari Raya Aidilfitri dengan hari lain?
Di sni boleh dijelaskan yang membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain adalah beberapa ibadat yang diperintahkan bersempena dengannya. Secara khusus, pada Hari Raya Aidilfitri, umat Islam disyariatkan melakukan beberapa ibadah khusus.
Antaranya menunaikan zakat fitrah, solat sunat hari raya, memperbanyakkan takbir bermula daripada malam hari raya sehingga imam memulakan solat dan beberapa amalan sunat lain yang disyariatkan. Bahkan pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa. Semua ini hanya berlaku pada 1 Syawal dan bukan pada hari-hari lain dalam bulan Syawal.
Di dalam satu riwayat yang ada menyebut tentang Abu Bakar masuk ke dalam rumah Nabi SAW dan ketika itu terdapat dua orang hamba perempuan di kalangan Ansar sedang menyanyikan lagu berkenaan peristiwa Bu’as. Lalu Abu Bakar berkata, “Adakah seruling Syaitan ada di dalam rumah Rasulullah?” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu memiliki hari raya dan hari ini merupakan hari raya kita.” (Riwayat al-Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani ketika menjelaskan berkenaan hadis ini berkata, “Antara faedah yang boleh diambil dari hadis ini ialah disyariatkan memperluaskan memberi keluarga sesuatu yang boleh menggembirakan ahli keluarga pada hari raya di samping merehatkan badan dari kepenatan ibadat. Menzahirkan kegembiraan pada hari raya adalah termasuk dalam syiar agama.”
Menyentuh mengenai amalan ziarah- menziarahi bukan sengaja diada-adakan oleh orang Melayu. Sebaliknya, ia difahami bersumberkan daripada amalan ziarah yang dilakukan oleh Abu Bakar ke rumah baginda Nabi SAW. Itulah yang dilakukan oleh umat Islam di Malaysia, meneruskan aktiviti ziarah -menziarahi saudara- mara dan handai taulan sehingga berakhirnya Syawal dengan tujuan menyambung silaturahim.
Terdapat banyak hadis yang menyebut berkenaan anjuran Islam untuk menyambung hubungan silaturahim, ukhuwah dan memuliakan tetamu. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Siapa yang suka untuk diluaskan rezkinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari)
Manakala berkenaan kelebihan memuliakan tetamu pula Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka berkatalah benar atau diam, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat janganlah menyakiti jiran, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamu.” (Riwayat al-Bukhari)
Sememangnya hari raya yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal namun ia tidak menghalang umat Islam untuk meneruskan amalan saling menziarahi dan menyambung silaturahim sama ada pada bulan Syawal mahupun pada bulan-bulan yang lain. Adat tersebut merupakan amalan yang baik dan tidak bertentangan dengan nas-nas syarak maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah fiqh disebutkan, “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”
Diharapkan apa yang dijelaskan di sini menghilangkan rasa takut dilabelkan sebagai pengamal bid’ah. Asalkan kita faham bahawa ziarah-menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh Nabi SAW. Selagi ada kesempatan lakukanlah namun jangan lupa puasa sunat enam Syawal kerana ia banyak kebaikannya.
Disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansari , sabda Nabi SAW, maksudnya: “Sesiapa yang puasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.” (Riwayat Muslim)
Jumhur Fuqaha’ berpendapat puasa enam selepas Ramadan merupakan perkara sunat yang dituntut. Imam al-Son’ani, menyatakan bahawa kelebihan setahun itu bermaksud digandakan 10 kebaikan dalam sehari di bulan Ramadan. Ini bermaksud, bersamaan dengan setahun iaitu sepuluh bulan pada bulan Ramadan dan dua bulan pada bulan Syawal.
Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyatakan bahawa: “Di sisi Mazhab Syafie, hukum puasa enam di bulan Syawal adalah sunat kerana sangat jelas perintah untuk melakukannya. Selain itu, yang paling afdhal ialah puasa enam hari secara berturut-turut, namun bagi mereka yang berpuasa berasingan dan melewatkan sehingga ke akhir Syawal, tetap mendapat pahala kerana meneruskan puasa di dalam bulan Syawal sebagai kesinambungan daripada Ramadan.
Ibnu Rajab al-Hanbali menyatakan di dalam kitabnya, bahawa puasa di dalam bulan Syawal dan Syaaban seperti sembahyang sunat rawatib sebelum solat fardhu dan selepasnya. Ianya bertujuan bagi menyempurnakan kekurangan dan kecacatan pada solat fardhu itu. Sesungguhnya setiap amalan fardhu itu akan diperelokkan dan disempurnakan dengan amalan sunat. Ini seperti yang terdapat di dalam hadis Nabi SAW. “Dan, kebanyakan manusia yang melakukan puasa wajib tidak dapat lari daripada kekurangan dan kecacatan, oleh itu puasa sunatlah yang akan memperbaiki dan menyempurnakannya.”
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.