Oleh Wawa Najwa
Foto Ehsan Umie Aida/Koleksi Syed Wafa
Lakonan Datin Seri Umie Aida tidak perlu dipertikai kerana sejak membabitkan diri sebagai anak seni pada 1991, beliau telah berjaya meletak namanya di tangga teratas dunia lakonan.
Umie Aida atau nama sebenarnya, Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, sudah dua kali merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) yang ke-16 (2003) dan ke-30 (2019) menerusi filem Embun serta Dukun.
Manakala, pada FFM26 (2014) Umie diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita menerusi filem Sembunyi : Amukan Azazil.
Namun sejak kebelakangan ini penampilannya di layar lebar atau layar kaca boleh dikira berapa kali sahaja. Umie sewaktu ditemu bual memberitahu yang beliau tidak pernah meninggalkan dunia lakonan kerana bidang itu sudah sebati dengan jiwanya.
“Saya tak pernah tinggalkan bidang seni kerana saya sayangkan bidang tersebut terutamanya, lakonan. Ini kerana lakonan banyak mengajar saya dalam pelbagai aspek.
“Orang mungkin jarang nampak saya berlakon sekarang ini kerana saya hanya akan berlakon kalau watak yang ditawarkan itu boleh buat saya jatuh cinta.
“Setiap watak yang ditawarkan kepada saya tak spesifik, apa yang penting kalau sekali saya baca skrip itu menyentuh hati, terus saya terima.
“Saya tak ada nak demand watak begini atau begitu. Kalau orang tawar berlakon, saya akan minta hantar sinopsis atau skrip. Bila saya baca kalau ia buat saya jatuh cinta, saya akan buat,” itu kata Umie yang melakonkan watak Mariam menerusi drama Terlanjur Cinta, arahan Izuan Mokhtar dan skrip Erma Fatima itu setiap Khamis hingga Sabtu di VIU mulai 14 Mac 2024.
Umie yang merupakan ibu kepada Mohd Daniel Firdaus, 31, dan Mohd Dzulhelmy, 30, itu berkata, sebagai anak seni beliau ada impian untuk mempunyai syarikat produksi sendiri seperti kakaknya, Erma Fatima yang mengurus Rumah Karya Cinta.
“Dulu memang ada impian nak buka produksi sendiri sebab nak mengarah tapi mungkin disebabkan saya tak pandai nak mengatur, jadi perkara itu tak berlaku. Cuma sekarang saya buka bisnes sikit-sikit, ada kolaborasi dengan Datuk Alha Alfa untuk perfume.
“Walaupun impian itu tak terlaksana, saya tetap gembira dengan apa yang saya perolehi sepanjang bergelar anak seni. Saya bersyukur dengan perjalanan seni ini, pencapaian yang dicapai setakat ini pun alhamdulillah,” katanya terus terang.
Umie yang rapat sejak dulu hingga kini dengan rakan artis seperti Zahida Rafik, Zarina Zainuddin, Kuza, Kuna, Heliza, Hazwani, Zizi Kirana dan Norkhiriah berkata, setiap rakan-rakannya itu mempunyai keistimewaan dan kelemahan masing-masing.
“Alhamdulillah, masing-masing ada keistimewaan dan kelemahan mereka yang mana mereka boleh menerima kelemahan saya dan saya pun boleh terima kelemahan mereka.
“Kami boleh menjadi akrab kerana mereka sama-sama mencintai majlis ilmu, jadi kita banyak spend time kat majlis ilmu dan memperbaiki diri. Itu keistimewaan kawan-kawan yang sering ajak saya ke majlis ilmu,” katanya.
Musollah Aisya tempat kongsi ilmu
Semuanya bermula apabila Umie Aida suka berkongsi ilmu yang dipelajarinya di media sosial. Katanya, idea penubuhan Musollah Aisya memang 100 peratus daripadanya.
“Penubuhan Musollah Aisya bermula apabila saya sentiasa belajar untuk memperbaiki diri terutamanya tentang ilmu ain. Setiap kali belajar ilmu baharu, saya akan berkongsi di media sosial dan ada beberapa sahabat, peminat dan orang luar tag saya menyatakan macam mana kalau ada masalah begini dan begitu. Selalunya tentang hukum fardu ain dan solat.
“Bila sering mendapat pertanyaan begitu, saya tekad untuk kongsi ilmu itu dengan orang lain juga. Mula-mula ada sikit-sikit buat majlis ilmu di rumah dan sahabat-sahabat yang datang.
“Tak cukup dengan kawan-kawan, saya nak ajak orang lain datang tak kira siapa pun. Saya nak orang luar sana boleh sertai kelas fardu ain dengan buka kitab melalui online sebab awal penubuhan Musollah Aisya adalah waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
“Alhamdulillah, sekarang ini usia Musollah Aisya pun sudah mencecah tiga tahun setengah. Daripada grup Telegram Musollah Aisya sudah ada 20,000 lebih pelayar sebab kita selalu buat majlis atas talian.
“Kalau di WhatsApp pula ada kira-kira 1,000 lebih dan kalau ada majlis, saya akan post di situ. Siapa yang berkelapangan akan datanglah. Selalunya dalam 200 lebih hingga 300 orang yang datang.
“Kalau ada guru agama yang diundang, mereka suka boleh mencecah sampai 500 orang yang datang, itu yang kena pasang khemah kadang-kadang. Semuanya bergantung kerana mengikut masa kelapangan masing-masing,” katanya yang tidak mengenakan sebarang bayaran untuk menyertai program Musollah Aisya.
Umie lebih senang mengambil pendekatan, mahu berkongsi ilmu dan berharap setiap yang hadir pada majlis tersebut bersungguh-sungguh untuk menuntut ilmu.
“Terbaharu kita buat Tadabur Al-Quran dan kalau ada guru-guru yang datang ke Malaysia ini kita jemput ke program Musollah Aisya, jika mereka sudi.
“Selain kita buat program bulanan Musollah Aisya, dalam setahun kita akan buat satu atau dua program besar. Kita akan pergi ke negeri-negeri yang kita pilih, kita ajak artis, ustaz dan ustazah untuk menjayakan program tersebut.
“Tahun lepas, alhamdulillah Musollah Aisya buat program di Kota Kinabalu dan Tawau, Sabah. Kalau ada program besar saya akan bekerjasama dengan Datuk Alha yang sentiasa bersedia untuk membantu Musollah Aisya,” katanya yang baru kembali daripada mengerjakan umrah baru-baru ini dan bakal ke sana lagi pada 2 Mei akan datang.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.