Ezad Lazim penyanyi solo yang masih bertahan sehingga hari ini.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Ezad Lazim/Koleksi Syed Wafa

Sejak kemunculan Ezad Lazim menggantikan Mamat selaku vokalis kumpulan Exists pada tahun 1995, kumpulan ini terus mengukuhkan jenama mereka dalam industri muzik tanah air.

Suara Ezad Lazim, 45, yang ibaratnya `tertelan kaset’ menyanyikan lagu membuatkan kumpulan ini terus bersinar di persada seni. Album pertama Exists bersama Ezad, Diam mu Gunung Berapi mencatatkan jualan yang membanggakan. Malah album yang hits dengan lagu Alasanmu ini turut `meletup’ di Indonesia dengan jualan sebanyak 600,000 unit.

Ezad bersama kumpulan Exists ketikq kemunculan album ADA.

Namun 2007, setelah 12 tahun bersama kumpulan Exists, Ezad Lazim atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohd Lazim meninggalkan kumpulan tersebut untuk bergerak solo. Ezad bertuah kerana kemunculannya sebagai artis solo terus bertahan sehingga ke hari ini. Ditambah pula lagu Mengintai Dari Tirai Kamar yang ditukar tajuknya Buih Jadi Permaidani `meletup’ di Indonesia melalui tik tok.

Populariti lagu ini membuatkan nama Ezad Lazim kembali menyerlah dan banyak undangan menyanyi mereka di sana sini termasuk Indonesia. Populariti lagu tersebut membuatkan nama kumpulan Exists turut popular kembali dan barulah peminat di Indonesia mengenali Ezad Lazim selaku penyanyi asal lagu tersebut.

Gambar reunion kumpulan Exists sempena konsert mereka.

Kini Ezad Lazim mencipta lagi fenomena baru apabila single terbarunya Luahan Rindu berkonsep balada ciptaan Harry Khalifah dan lirik oleh Lukman Rassa terus menjadi trending. Baru empat hari disiarkan lagu ini terus menjadi trending dan berada di kedudukan nombor lapan.

“Kuasa tik tok, bila anak muda menyanyikan semula lagu Mengintai Dari Tirai Kamar (Buih Jadi Permaidani) dan lagu ini menjadi viral di Indonesia. Populariti lagu tersebut membuatkan Ezad Lazim mendapat banyak undangan menyanyi di Indonesia. Sebenarnya bukan mudah nak masuki pasaran Indonesia dan kuasa viral ini kami berjaya.

“Trend ini macam berjangkit, kini lagu lama kami Alasanmu pun sudah mula dipopularkan kembali dan mendapat tempat di Indonesia. Impak positifnya, kini kami semakin dikenali. Peminat di sana juga baru tahu Exists ada dua penyanyi yang lama, Mamat dan sekarang saya sebelum saya bergerak solo,’’ kata Ezad Lazim yang bakal tampil dengan lagu Siti Khadijah bersama penyanyi Indonesia, Charly dari kumpulan Setia Band.

Zeana isteri yang banyak membantu dan merupakan tulang belakang kejayaan Ezad Lazim.

Ezad Lazim yang juga popular dengan lagu Jesnita dan Masih Terserlah Ayumu juga cukup dikatakan bertuah kerana dapat bertahan lama dalam industri muzik berbanding penyanyi solo lelaki yang lain. Bercakap mengenainya, kata Ezad Lazim,“Alhamdulillah kerana saya masih diterima peminat dan dapat bertahan hingga ke hari ini. Sebenarnya sebelum ini saya pernah` give up’ kerana waktu itu hidup dan karier saya terumbang –ambing, buat lagu pun susah nak dapat sambutan, pengurusan syarikat rakaman yang kelam-kabut, masalah yang saya cipta sendiri dan macam-macam lagi.

“Saya diduga dengan dugaan yang begitu berat sekali. Mula-mula bapa saya meninggal dunia pada 2019. Tahun berikutnya ibu saya pula meninggal dunia dan diikuti adik lelaki saya pada tahun 2021. Kematian yang bertimpa-timpa ini membuatkan saya dilanda kemurungan seketika. Namun semangat yang kuat kerana isteri dan anak-anak membuatkan saya bangkit kembali.

“Sokongan padu dari peminat dan isteri yang sanggup berhenti kerja demi menjaga kerjaya seni saya. Jika isteri saya sanggup korbankan kerjayanya kerana saya mengapa tidak saya berusaha dan bersemangat kembali untuk karier seni saya.”

Keluarga bahagia… Ezad Lazim bersama isteri dan anak- anaknya.

Walaupun tidak lagi bersama kumpulan Exists, namun Ezad tidak pernah menolak sebarang undangan untuk bergandingan dengan kumpulan lamanya Exists. Terbaru konsert terbaru mereka Exists Unplugged yang diadakan di Singapura mendapat sambutan yang membanggakan. Kejayaan Konsert Exists X Okestra di Malaysia memberi peluang kepada mereka untuk membawa konsert ini ke Singapura pula.

Kini Ezad bahagia bersama isterinya, Nor Azeana Haji Ramli,46. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Puteri Rania Kiesha,11, dan Putera Muhammad Darwish, 9.

Keluarga bahagia

Sepanjang kariernya bersama kumpulan Exists mereka pernah menerima Anugerah Jualan Cakera Emas album : Diammu Gunung Berapi (1995), Anugerah Jualan Cakera Emas album : Jangan Gentar (1997), Anugerah Jualan Cakera Emas album : Mutan (1998), Anugerah Jualan Cakera Emas album : Best of Exists (2000), Juara 100 Terhangat Di Era 2002 (Jesnita) dan Anugerah Majalah URS 2004 – Kumpulan Paling Popular.

Populariti ini turut diiktiraf dengan kemenangan kumpulan ini menerima Anugerah Planet Muzik 2004 sebagai Kumpulan Paling Popular, Anugerah Industri Muzik ke-11 2003, sebagai Album Terbaik dan Album Pop Rock Terbaik dan Anugerah ERA 2003 Band Pilihan dan Lagu Rock Pilihan-Kerana Prcayakan Siti.

Ezad Lazim masih terima tawaran berlakon

Melihat pada penampilannya mungkin ramai yang tidak menyangka Ezad Lazim rupanya cukup hebat dilayar perak. Walaupun nampak macho sebenarnya Ezad Lazim mampu membawakan watak komedi dengan begitu bersahaja.
Ini dibuktikan melalui lakonannya menerusi filem Mami Jarum (2002), Mistik (2003) Mami Jarum Junior dan Tangkai Jering (2004). Selain filem, Ezad Lazim juga turut membintangi beberapa buah drama antaranya Tak Sangka No!, Kecoh Mami Jarum Beraya,Kuba Guling Karipap Pusing!, 7 Hari Mencintaiku 3 dan Misi Anak Bulan.

“Waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu saya memang tak ada show. Tak sangka pula rezeki lakonan pula yang datang. Saya bersyukur kerana banyak juga tawaran berlakon yang saya dapat dan produser juga mempercayai bakat lakonan saya.

Ezad Lazim terus bangkit!

“Tapi lepas PKP saya terpaksa tolak banyak tawaran berlakon kerana sibuk dengan undangan show di sana sini. Sebenarnya antara berlakon dan menyanyi, saya lebih suka menyanyi kerana ini memang keutamaan saya. Berlakon pula sebagai bidang sampingan sahaja dan saya seronok juga berlakon. Tapi berlakon ini perlu banyakkan masa untuk shooting, saya kena pandai membawa karakter yang diberikan dan banyak lagi.

“Kalau tak ada halangan, raya keenam saya bersama keluarga akan berangkat bersama ibu mentua saya untuk menunaikan umrah. Nak ikut saya nak bawa semua keluarga saya sekali, tapi apakan daya Allah lebih sayangkan ayah, ibu dan adik lelaki saya,’’ kata Ezad anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini.

Previous articleKesibukan mengurus program Musollah Aisya tak halang Umie Aida untuk berlakon
Next articleYbae Suria Masuk Kampung untuk berkongsi rezeki

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here