SRI Dewi, seniwati legenda yang sentiasa dikenang

Oleh : Syed Wafa
Foto : Koleksi Syed Wafa

APABILA sebut nama Seniwati Sri Dewi mungkin ada di kalangan para peminat filem zaman Studio Jalan Ampas ingat-ingat lupa kerana sememangnya beliau tidak banyak berlakon.

Bagaimanapun kalau sebut nama ‘Afida’ gadis manis Kampung Tualang Tiga yang digilai Si Bongkok (lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) dan sentiasa membela Si Bongkok apabila dihina penduduk kampung berkenaan kerana kecacatan dan wajahnya yang hodoh pasti akan mengembalikan nostalgia anda kepada Seniwati Sri Dewi.

POSTER filem pertama lakonan Sri Dewi “Sumpah Orang Minyak” yang turut dilakonkan P. Ramlee.

Filem “Sumpah Orang Minyak” terbitan Malay Film Productions pada tahun 1958 arahan P. Ramlee adalah filem pertama lakonan Allahyarham Seniwati Sri Dewi yang sentiasa menjadi ingatan kerana melalui filem ini ‘lahirlah’ seniwati popular dan diminati ramai.

Realitinya, walaupun Afida hanya muncul beberapa babak dalam filem berkenaan tetapi disebabkan Afida, Si Bongkok tinggalkan Kampung Tualang Tiga dan akhirnya dibawa ke dunia bunian.

PENAMPILAN filem pertama lakonan Sri Dewi “Sumpah Orang Minyak” yang turut dilakonkan P. Ramlee.

Apabila sampai ke dunia bunian dan berjumpa dengan Raja Bunian, Si Bongkok memilih untuk menjadi tampan kerana tidak mahu dihina. Sayangnya disebabkan pentingkan wajah yang kacak, hasratnya untuk mengahwini Puteri Bunian (Marion Willis) dihalang oleh Raja Bunian (Seniman Haji Mahadi).

Akhirnya Si Bongkok pulang ke Kampung Tualang Tiga sebagai seorang pemuda yang kacak dan bergaya. Namun kerana angkuh dengan wajah barunya, Afida mati dibunuh oleh tunangnya, Buyong (Salleh Kamil) musuh ketat Si Bongkok. Si Bongkok yang terlalu sayangkan Afida telah membunuh Buyong dan disebabkan melanggar pantang akhirnya Si Bongkok menjadi orang minyak kerana perjanjiannya dengan syaitan.

Selain filem berkenaan Sri Dewi dikatakan turut berlakon dalam empat filem lagi antaranya filem “Puteri Gunong Banang”(1959), “Mas Merah”(1961) dan “Lampong Karam” (1967).

FILEM Puteri Gunong Banang, Sri Dewi turut terlibat dengan bintang utamanya, Allahyarham Seniman Datuk Ahmad Mahmud dan Seniwati Hashimah Yon.

Seniwati Sri Dewi atau nama sebenarnya Tengku Azizah Tengku Ariffin dilahirkan pada tahun 1945. Ayahnya, Tengku Ariffin adalah kerabat diraja Perak dan ibunya berasal dari Kelantan.

Beliau adalah anak sulung daripada enam beradik. Beliau dikurnia empat orang anak iaitu dua perempuan dan dua lelaki melalui dua perkahwinan.

Sri Dewi mendirikan rumahtangga pada usia 19 tahun dengan Hashim Amir yang berasal dari Singapura pada 27 Mei 1962. Perkahwinan beliau yang diatur oleh keluarga dikatakan telah menggemparkan dunia filem ketika itu dan mendapat liputan akhbar dan majalah tempatan.

Sayangnya jodoh pilihan keluarga hanya bertahan tidak sampai setahun apabila berakhir dengan perceraian. Melalui perkahwinan ini, Sri Dewi dikurniakan seorang anak perempuan.

SRI Dewi dan suaminya, Seniman Ghazali Sumantri.

Bagaimanapun pada 14 April 1963, Sri Dewi sekali lagi mengejutkan para peminat filem Melayu apabila beliau berkahwin buat kali kedua dengan jejaka pilihan ibunya, Seniman Ghazali Sumantri. Perkahwinan keduanya beliau dianugerahkan tiga orang iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Sebelum terkenal sebagai pelakon, Sri Dewi adalah seorang model. Beliau pernah menyertai pertandingan Ratu Cantik di Singapura.

SRI Dewi mempunyai raut wajah yang sungguh ayu.

Bakat seniwati berketurunan kerabat diraja Perak ini mula dikesan oleh P.Ramlee lalu mengambilnya berlakon dalam filem tersebut.

“Sumpah Orang Minyak” bukan sahaja merupakan filem pertama lakonannya malah filem itu juga telah meletakkan namanya di persada seni dan menjadi pujaan ramai.

Setelah “Sumpah Orang Minyak,” Sri Dewi ditawarkan berlakon dalam filem “Puteri Gunong Banang” arahan Dhiresh Gosh.

Walaupun beliau adalah pilihan kedua Dhiresh Gosh setelah pelakon pertama, Pricilla De Souza gagal melakonkan watak Puteri Gunong Banang dengan baik seperti Marion Willis mampu menjiwai watak Puteri Bunian dalam “Sumpah Orang Minyak,” namun bagi Sri Dewi itu bukanlah penghalang beliau mempamerkan lakonannya yang berkesan.

SRI Dewi antara seniwati yang dijejaki bakat lakonannya oleh P. Ramlee

Meskipun menjadi pilihan kedua, Sri Dewi membuktikan pilihan Dhinesh Gosh tidak salah. Sri Dewi dapat menjiwai dengan baik wataknya sebagai Puteri Gunong Banang!

Setelah filem berkenaan, Sri Dewa berlakon dalam dunia lagi filem iaitu “Mas Merah” dan “Lampong Karam.”

Mempamerkan lakonan yang memenuhi kemahuan Dhiresh Gosh, Sri Dewi sekali lagi diundang oleh pengarah berkenaan berlakon dalam filem arahanya “Mas Merah.”

TAHLIL Akhbar di kediaman Tan Sri Datuk Mohd. Aziz di Sri Gading, di Taman Nong Chik, Johor Bahru.
Turut hadir Seniwati Zaiton, Sri Dewi, K. Fatimah, Hashimah Yon, Habibah Haron, Kamaliah Latiff, Pon Bachik dan keluarga dramatis, J.A Halim dan isteri, Aminah Ahmad.

Bagi para peminat yang pernah menonton “Mas Merah” pasti akan ingat satu babak dimana Seniwati Saamah dan Seniwati Habsah Buang bergasak dalam filem berkenaan diatur pergerakan mereka.

Tetapi tahukah anda, untuk babak itu, Dhiresh Gosh mahu kedua seniwati berkenaan bergasak secara ‘freestyle’ tanpa ada koreografi.

Babak bergasak bukan melibatkan mereka berdua, malah Seniwati Saadiah dan Sri Dewi juga dikehendaki bergaduh.

SENIMAN dan seniwati bergambar kenangan pada satu majlis.
Antara yang kelihatan: Depan dari kiri:
Allahyarham Datuk Aziz Sattar, Allahyarham Momo Latiff, Allahyarham Mustafa Maarof, Hashimah Yon. Allahyarham Neng Yatim.
BERDIRI tengah dari kanan: Allahyarham Sri Dewi, Seniwati Zaiton, Kamaliah Latiff dan Sharifah Norhaslinda.
BERDIRI baris ketiga,
Dari kiri: Syed Wafa (Penulis), Allahyarham Seniman S. Rosley dan Syed Ekhsan,

Mengikuti jalan cerita filem berkenaan pergaduhan ini berpunca dari Mak Gelam (Habsah Buang) yang berdendam dengan Mak Merah (Saamah) yang akhirnya Mak Merah dibunuh Mak Gelam ketika sedang mencuci pakaian di sungai.

Mereka berdua adalah isteri Pak Sagai (M. Zain). Apabila ibu mereka bergasak, anak-anak juga turut sama.

Menurut Dhiresh Gosh, babak tersebut amat sukar untuk dirakamkan kerana pelakon bergaduh tanpa dikawal dan tiada masa yang dihadkan.

Bukan pengarah sahaja yang pening kepala malah jurukamera, R. C Purushotham untuk mengawal ‘shotsnya.’

Akhirnya apabila babak itu selesai keempat-empat pelakon berkenaan keletihan. Betapa tidak babak tersebut yang akan keluar hanya beberapa minit sahaja tetapi penggambarannya mengambil masa seharian!

ALLAHYARHAM Sri Dewi bersama Herdawati.

Adalah difahamkan selepas filem berkenaan, Sri Dewi muncul dalam filem “Lampong Karam” arahan S. Kadarisman yang diterbitkan pada tahun 1967.

Sepanjang 16 tahun menceburi bidang lakonan, Sri Dewi hanya membintangi lima buah filem dengan “Lampong Karam” adalah filem terakhir lakonannya.

Selepas filem itu, Sri Dewi meninggal dunia lakonan dan menumpukan perhatian pada empat orang anaknya.

KENANGAN…Wafa(Penulis) bersama seniwati legenda K. Fatimah dan Sri Dewi

Sri Dewi yang menghidap pelbagai penyakit kronik antaranya paru-paru berair (pneumonia) menghembuskan nafas terakhir di hospital ketika umat Islam sedang berbuka puasa pada pukul 7. 12 malam pada 11 Jun 2018.
Jenazahnya dikebumikan Pusara Aman.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.

KENANGAN indah Wafa(Penulis) bersama seniwati legenda Sri Dewi
Previous articleCahaya Ramadan
Next articleKonsert Ungu Di Kuantan Bersama Artis Tanah Air 2024 Turut Mengundang Ratu Rock Malaysia, Ella

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here