Sarimah yang sentiasa dirindui oleh peminat beliau

Oleh SYED WAFA
Foto Koleksi SYED WAFA

SETIAP kali menonton filem “Ali Baba Bujang Lapok” watak ‘Marjina’ orang gaji yang ‘lurus,’ bijak dan setia kepada majikannya, Aloyah (Seniwati Normadiah) dan Kassim Baba yang kedekut dan tamak lakonan Seniman S.Samsuddin, memang melekat di hati kita.

Walaupun babak yang melibatkan ‘Marjina’ dalam filem itu tidak banyak tetapi karakternya memang berkesan dan mampu ‘mewarnai’ perjalanan cerita filem berkenaan.

SARIMAH (duduk paling kiri) ketika meningkat remaja merakamkan kenangan bersama ahli keluarganya.

Meskipun filem arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee itu pertama kali memperkenalkan Seniwati Datuk Dr. Sarimah sebagai pelakon tetapi ia bukanlah yang terakhir beliau dalam dunia filem Melayu.

Filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee terbitan tahun 1961 menjadi titik tolak Sarimah yang mula dikenali sebagai pelakon pada usia 19 tahun, benar-benar merubah hidup anak jati Pekan, Pahang.

FILEM pertama Sarimah, “Ali Baba Bujang Lapok” pada tahun 1961
WATAK Marjina dalam filem “Ali Baba Bujang Lapok”, penampilan pertama Sarimah dan menjadikan beliau pelakon terkenal.

Siapa sangka, biarpun telah lebih enam dekad filem itu bukan sahaja telah menghiburkan kita namun bakat anugerah-Nya telah merubah kehidupan ibu kepada dua anak (ketika itu) yang menjadi pelakon demi keselesaan hidup anak-anak yang masih kecil, akhirnya telah meletakkan beliau sebagai Primadona filem Melayu yang diminati dan dihormati sehingga hari ini.

Sejak itu satu demi satu beliau berlakon dalam filem arahan P. Ramlee dan bergandingan dengan seniman dan pengarah hebat ini antaranya “Ibu Mertuaku”(1962), “Madu Tiga” dan “Tiga Abdul”(1964), “Kanchan Tirana”(1969), Dr. Rushdi” dan “Gelora”(1970).

SARIMAH mempamerkan lakonan yang hebat sebagai Sabariah Mansoor dalam filem “Ibu Mertuaku.”
KECANTIKAN Sarimah yang terserlah dalam satu babak filem “Ibu Mertuaku.”

Itulah Primadona Sarimah Ahmad yang dilahirkan pada 28 April 1942 di Pulau Rusa, Pekan, Pahang. Ibu kepada enam orang anak Norhayati, Farah Waheeda, Mohd. Jamil dan Shahray (dari perkahwinan pertama dengan Allahyarham Datuk Zulkifli Ahmad), Yusarima Puteri dan Muhammad Yusari Amir (melalui perkahwinan kedua dengan Allahyarham Yusof Majid) terus diminati sehingga hari ini.

Sepanjang empat dekad beliau melayari hidup sebagai pelakon, penerbit dan pengarah, Sarimah telah membintangi hampir 50 filem dengan filem terakhir lakonannya “Momok The Movie”(2009) arahan M. Jamil.

BERSAMA seniman Ahmad Mahmud yang digandingkan dalam filem “Ibu Mertuaku”

SARIMAH turut berlakon dalam filem “Pileh Menantu.”

FILEM “Madu Tiga” lakonan P. Ramlee, Sarimah, Zera Agus, Jah Haji Mahadi dan Ahmad Nisfu sehingga kini tidak jemu ditonton
SATU babak dari filem “Madu Tiga.”
Dari kiri: Zaharah Agus, Sarimah dan Jah Mahadi.

Selain Sarimah, filem tersebut yang turut dilakonkan Faizal Ramly, Abon, Datuk Aziz Sattar dan Nabil Ahmad dengan kos penerbitan sebanyak RM600,000 telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila mencapai kutipan pecah panggung sebanyak RM2.10juta.

Beliau yang hadir dengan bakat dan wajahnya yang jelita menjadi tiket untuk meneruskan kerjayanya sebagai pelakon.

SARIMAH sering berpasangan dengan P. Ramlee dalam filem-filem arahan seniman berkenaan.
GAYA seorang seniwati…Sarimah.
DISAMPING bakat, kecantikan semulajadi yang dimiliki Sarimah menjadikan beliau seniwati yang sering diberi watak utama dalam kebanyakan filem lakonannya serta sering menjadi cover majalah terkenal tanah air ketika itu.

Meskipun tawaran demi tawaran diterima pada zaman kegemilangannya tetapi tidak sedetikpun Sarimah melupakan tujuan utama beliau berlakon hanya untuk membesarkan anak-anak kerana kesempitan hidup.

Walaupun kini Sarimah lebih selesa ‘menjauhkan’ diri dari dunia seni yang penuh glamor tetapi masih ada lagi penerbit yang cuba membawanya kembali ke dunia seni.

SARIMAH sebagai Asmah, kakak yang sanggup berkorban demi adiknya, Ani yang buta lakonan Dayang Sofia.
Filem terbitan tahun 1965 diarahkan oleh Omar Rojik.
SERING menjadi duta produk terkenal
SARIMAH menjadi model produk Sabun LUX.

Tetapi bagi Sarimah, sekali beliau meletakkan noktah pada dunia seni beliau tidak akan memadamkannya kerana lebih selesa menjalani hidup seperti insan biasa.

Sepanjang beliau melayari hidup sebagai Seniwati dan Primadona, Sarimah telah menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-2 (1981) kerana lakonannya dalam filem “Dia Ibuku.”

SARIMAH bersama penyanyi L. Ramli.
SARIMAH bersama Rafeah Buang dan Normah Zainal
MENJADI kegilaan peminat peminat filem Melayu
SARIMAH dan Jins Shamsuddin dalam satu babak filem “Gerak Kilat.”

Sebelum itu pada tahun 1970, Sarimah dianugerahkan Aktres Terbaik pada Pesta Filem Malaya kerana lakonannya dalam filem “Gelora.”

Pada Festival Filem Malaysia ke-32 pada tahun 2022, Sarimah menerima Anugerah Khas Seniwati Sepanjang Zaman.

SARIMAH bersama P. Ramlee dan artis Indonesia Baby Huwae di Majlis Makan Malam Artis Malaya & Indonesia di Dewan Indian Association, Singapura pada 27 Disember 1962
DI atas populariti Sarimah yang luar biasa telah terpilih menjadi seniwati pertama menjadi cover majalah Utusan Radio & TV ketika itu dan dikenali URTV iaitu majalah paling terkenal
SARIMAH dalam filem “Dr. Rushdi” arahan P. Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1970.

Sementara pada Anugerah Era 2001, Sarimah menerima Anugerah Panggung Era.

Kini pada usianya mencecah 82 tahun pada 28 April lalu, walaupun ‘menjauhkan’ diri dari dunia seni yang penuh glamor, apa yang pasti Sarimah masih tetap menjadi perhatian para peminat beliau.

LAKONANNYA sebagai Rima Murni dalam filem “Gelora” terbitan tahun 1970 telah melayakkan Sarimah dianugerahkan Aktres Terbaik pada Pesta Filem Malaya 1970.
SARIMAH bersama pelakon baru, Isma Rubee dan Mariati yang membintangi filem “Gelora” terbitan tahun 1970.
SARIMAH bersama Saadiah, S.Shamsuddin dan Ibrahim Pendek.
Adalah difahamkan Sarimah dan Saadiah tidak pernah ‘ditemukan’ dalam filem-filem lakonan mereka.
DARI kiri: Normadiah, Sarimah, Aziz Jaafar, Saadiah dan Ahmad Daud menyanyikan lagu “Enjet-Enjet” ketika bertemu di majlis Sari Artis pada 17 November 1974.
WATAK Nuraini sungguh mencabar dan menyerlah dalam filem “Menanti Hari Esok”

Sebabnya, Sarimah ibu kepada enam anak masih kekal cantik, jelita dan selesa menjalani hidupnya bersama anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu dan cicit-cicit.

“Alhamdulillah pada usia 82 tahun ini saya diberi peluang bersama mereka yang saya sayang selain anak-anak dan menantu, cucu-cucu dan cicit-cicit.

FILEM “Dia Ibuku” mencatatkan sejarah bukan sahaja dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-2 (1981) malah turut memenangi sembilan anugerah yang dipertandingkan.
SARIMAH dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-2 (1981) kerana lakonannya dalam filem “Dia Ibuku.”
SARIMAH pada tahun 1980-an.

“Saya bersyukur dan terharu kerana setiap kali ulangtahun kelahiran saya selain anak-anak, cucu dan cicit saya turut sama meraikan dengan mengundang saya makan malam bersama mereka.

“Saat paling indah buat saya apabila tarikh bermakna itu diingati oleh mereka yang dekat dalam hidup saya,” kata Sarimah, Tok (Nenek) kepada 35 cucu dan TokNyang kepada 30 cicit.

SARIMAH sebagai Jeha dalam beberapa babak filem “Ranjau Sepanjang Jalan.”
SARIMAH sebagai Jeha, wanita yang tidak siuman dalam filem “Ranjau Sepanjang Jalan” arahan Datuk Jamil Sulong.
Filem ini dianugerahkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-4 pada tahun 1983.

Sesuatu yang pasti, walaupun usianya mencecah 82 tahun kejelitaannya tetap menyerlah dan apabila saya bertanya rahsia kecantikannya, Sarimah hanya berkata;

“Sejak dahulu saya mengamalkan hidup sihat dan menjaga pemakanan.”

SARIMAH bersama sahabat karib Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
PRIMADONA yang dikagumi
DARIPADA enam anak Sarimah, hanya M. Jamil yang mengikut jejak langkahnya dengan terlibat sebagai pelakon dan pengarah.
SARIMAH bersama anak sulungnya, Norhayati yang kini banyak membantu urusan peribadi beliau

Bagaimanapun bagi anda yang ingin tahu rahsia Sarimah kekal cantik sehingga hari ini, mungkin anda boleh mencungkil rahsianya melalui buku “Petua Kecantikan Daripada Dato’ Sarimah Ahmad Luar & Dalam” hasil karyanya yang diterbitkan Utusan Publications & Distributors.

Menyentuh mengenai empat filem terbitan Sarimah Film Productions yang didakwa seorang penerbit tidak menepati janji untuk memulangkan pita asal filem terbitannya setelah 36 tahun iaitu filem “Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak” Sarimah berkata;

MERAKAMKAN kenangan…Sarimah bersama 35 cucu dan 26 cicit selepas majlis makan malam sempena Hari Lahirnya yang ke-79 pada tahun 2021.
SYED Wafa (Penulis) bersama Sarimah serta piala sempena Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman di Festival Filem Malaysia Ke- 32

“Saya tidak mahu memikirkannya lagi. Biarlah waktu yang menentukan.”

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan primadona legenda yang kita sayangi, Sarimah Ahmad sentiasa siberi kesihatan yang baik dan sentiasa dirahmati Allah SWT…Amin

SYED Wafa (Penulis) bersama (dari kiri) Kak Min, Sarimah dan Norhayati pada makan tengahari sempena Hari Jadi Sarimah dan Syed Wafa baru-baru ini
SARIMAH…pada usia 82 tahun tetap nampak jelita
Previous articlePes Sambal Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Mee Goreng Kicap Seafood !
Next articleTanda-tanda suci daripada haid (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here