JAH Mahadi…seniwati jelita dan diminati ramai para peminat filem Melayu zaman Studio Jalan Ampas.

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

Latifah: Nasib baik awak di rumah orang, kalau tidak saya kerjaaakan awak.

Hasnah: Awak ingat saya batang pisang ya? Sebelum awak kerjakan saya, saya kooorek biji mata awak.

Latifah: Eh…eh…sedapnyaaa, dah dirampasnya suami kita, mata kita pulak dia nak koreeek.

Hasnah: Awak tak pandai jaga suami, itu sebab dia cari yang laiiin.

FILEM “Madu Tiga” arahan dan lakonan P. Ramlee telah menemukan pelakon hebat antaranya Seniwati Sarimah, Seniwati Zaharah Agus, Seniwati Jah Mahadi dan Seniman Ahmad Nisfu.

BAGI para peminat filem Melayu pada era 1960-an pasti masih ingat akan dialog diatas ini yang menggambarkan babak dua orang madu ‘berperang mulut secara aman’ ketika sampai di banglo tepi laut milik Cik Rohani.

Tanpa pengetahuan Cik Latifah dan Cik Hasnah, Cik Rohani adalah isteri ketiga suami mereka Abang Jamil.

JAH Mahadi bersama P. Ramlee
SATU babak dalam filem “Madu Tiga” antara Abang Jamil (P. Ramlee) dengan isterinya, Cik Hasnah.

Walaupun babak itu hanya seketika tetapi ia menjadi rentetan babak seterusnya dan titik tolak sehingga rahsia Abang Jamil (P. Ramlee) beristeri tiga terbongkar ketika ‘tiga madu ini’ bertemu di banglo itu apabila Cik Hasnah (Jah Mahadi) yang ingin menggunakan bilik air di banglo berkenaan ternampak gambar Cik Rohani bersama Abang Jamil.

Meskipun Cik Hasnah mengajak mereka ‘berperang’ tetapi Cik Rohani, seorang wanita yang bijak dan berhemah tinggi. Beliau tidak mahu mereka ‘berperang’ kerana menganggap ia akan menjatuhkan martabat mereka sebagai wanita kerana semua yang terjadi bukan salah mereka tetapi Abang Jamil!

BABAK lucu antara Cik Hasnah dengan bapa mertua Abang Jamil, Tuan Haji Latiff (ayah Cik Latifah) ketika beliau ke pejabat untuk melawat Abang Jamil.
ABANG Jamil yang beristeri tiga dan asyik membohongi isteri-isterinya.
Satu babak P. Ramlee dengan Jah Mahadi.

Itulah antara babak yang menarik dan mendebarkan dalam filem “Madu Tiga” arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan skrip oleh Allahyarham S. Kadarisman dan P. Ramlee.

Walaupun filem terbitan Malay Film Productions pada tahun 1964 ini adalah filem keempat lakonan Allahyarham Seniwati Jah Mahadi dan yang kedua arahan P. Ramlee yang melibatkan beliau sebagai pelakon, namun filem “Madu Tiga” telah mempopularkan beliau sebagai pelakon.

ANTARA pelakon yang membintangi filem “Madu Tiga.”
Dari kiri: Zainon Fiji (Ibu Hasnah), Jah Mahadi ( Hasnah), P. Ramlee (Jamil) dan M. Rafiee (Rafie).
KEDATANGAN Cik Hasnah ke banglo milik Cik Rohani akhirnya membongkar rahsia mereka.

Sebabnya babak ‘perang mulut yang tenang tetapi panas’ antara isteri pertama, Cik Latifah dengan isteri kedua, Cik Hasnah, telah meletakkan nama Jah Mahadi di di tempatnya yang tersendiri.

Betapa tidak dengan wajahnya yang cantik dan suaranya yang lembut dan manja ketika melontarkan dialog berkenaan membuatkan nama beliau melekat di hati para peminat filem Melayu sejak dahulu hingga hari ini.

INILAH babak dari filem “Madu Tiga” yang bermula dengan ‘perang mulut’ antara Cik Latifah (Zaharah Agus) dengan Cik Hasnah (Jah Mahadi) di banglo Cik Rohani ( Sarimah Ahmad) akhirnya membongkar rahsia Abang Jamil (P. Ramlee).
AKHIRNYA rahsia terbongkar…mereka bertiga bermadu kerana bersuamikan lelaki yang sama.

Begitulah hebatnya watak Cik Hasnah lakonan Jah Mahadi atau nama sebenarnya Khadijah Hodri yang dilahirkan di Johor pada tahun 1938.

Selepas mendirikan rumahtangga dengan Haji Mahadi, Khadijah Kodri bersama suaminya yang menetap di Johor Bahru berpindah ke Boon Teck Road, di Singapura.

TIGA pelakon utama filem “Madu Tiga” Zaharah Agus, Sarimah dan Jah Mahadi.
Babak ini menggambar ketiga-tiga isteri Abang Jamil – Cik Latifah, Cik Rohani dan Cik Hasnah mengejar beliau yang akhirnya terjun jembatan yang cetek.
PENULIS Syed Wafa merakamkan kenangan di atas jambatan babak ketiga-tiga isteri Abang Jamil mengejar beliau.

Boon Teck Road adalah kawasan tempat tinggal para pelakon, karyawan seni dan kakitangan syarikat Malay Film Productions (MFP).

Di Boon Teck Road, Jah Mahadi mula didedahkan dengan kehidupan orang filem kerana Haji Mahadi telah lama menceburi bidang tersebut.

SENIMAN legenda, Allahyarham Haji Mahadi yang juga pernah menjadi suami Jah Mahadi.

Bukan itu sahaja, beliau dan suaminya begitu rapat dengan P. Ramlee malah Seniman Agong itu pernah memberitahu Jah Mahadi, beliau boleh jadi pelakon tetapi beliau tidak mengambil serius perkara itu kerana tidak yakin kemampuan diri.

Bagaimanapun kalau sudah itu ketentuan-Nya tiada siapa yang boleh menghalang dan begitulah perjalanan seni Jah Mahadi sebagai pelakon di MFP.

JAH Mahadi bukan sahaja berbakat malah beliau dikenali sebagai antara seniwati jelita pada era kegemilangan filem Melayu pada tahun 1960-an.

Walaupun Jah Mahadi pernah berlakon sebagai Bunga Kemuning kawan Puspawangi (lakonan Allahyarham Seniwati Datin Saadiah dalam filem arahan P.Ramlee “Musang Berjanggut” (1959) tetapi tuah filem “Madu Tiga” kekalkan nama dan kewibawaan beliau dalam bidang lakonan.

Sebenarnya ketika mahu mengarah filem “Madu Tiga,” P. Ramlee berdepan dengan masalah mendapatkan pelakon yang sesuai bagi membolehkan beliau mengarah.

JAH Mahadi sebagai Bunga Kemuning dalam filem “Musang Berjanggut” dengan pelakon utama P. Ramlee, Saadiah dan Ahmad Nisfu yang merupakan filem pertama lakonan Jah Mahadi

Realitinya, P. Ramlee hanya ‘bertemu’ pelakon wanita untuk menyantuni watak sebagai isteri pertama dan ketiga. ‘Kegagalannya’ untuk mendapatkan siapa pelakon yang layak menjadi isteri kedua membuatkan penggambaran tertangguh.

Bagaimanapun tiba-tiba, P. Ramlee teringat Jah Mahadi dan apabila beliau memberitahu Haji Mahadi tentang hasrat untuk mengambil Jah Mahadi berlakon mendapat keizinan Haji Mahadi dengan syarat jika isterinya bersetuju.

JAH Mahadi mempunyai seraut wajah yang cantik dengan dihiasi sebutir tahi lalat pemanis muka.

Kalau sudah rezeki tiada siapa yang boleh menghalang dan setelah mendapat keizinan daripada Haji Mahadi, P. Ramlee memanggil Jah Mahadi untuk menjalani ‘uji bakat.’

Akhirnya rezeki berpihak kepada Jah Mahadi dan beliau ditawarkan watak Cik Hasnah. Terbukti beliau memang berbakat dan berjaya membawa watak itu dengan berkesan!

FILEM “Jula Juli Bintang Tiga” dengan Salmah Ahmad sebagai Jula Juli Bintang Tiga.
Turut membintangi filem ini ialah Abdullah Chik, Wahid Satay, Puteh Lawak, Shariff Medan, Mahmud Jun, Umi Kalthum dan Aini Hayati. Merupakan filem kedua lakonan Jah Mahadi

Setelah “Madu Tiga,” Jah Mahadi membintangi filem “Pusaka Pontianak”(1965) arahan Ramon A. Estella, “Keranda Berdarah”(1969) diarahkan oleh Seniman Nordin Ahmad dan filem terakhirnya “Puaka”(1970) dengan pengarahnya, M. Amin.

Sebelum itu, Jah Mahadi pernah membintangi filem “Jula Juli Bintang Tiga”(1959) dan “Jula Juli Bintang Tujuh”(1962).

PARA Seniwati yang membintangi filem “Jula Juli Bintang Tujuh.”
Umi Kalthoum, Fatimah Ahmad, Roseyatimah, Rahmah Ali, Norzehan, Kah Mahadi dan Junainah Rahim
SALAH satu babak para Seniwati yang membintangi filem “Jula Juli Bintang Tujuh.”

Seniwati Jah Mahadi bersara dari dunia seni apabila zaman kegemilangan Studio Jalan Ampas berakhir.

Ketika banyak pelakon berpindah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kerjaya mereka sebagai pelakon, Jah Mahadi mengikut Haji Mahadi menetap di Johor Baharu.

SENYUMAN seorang seniwati berbakat.
JAH Mahadi turut berlakon filem “Pusaka Pontianak” dengan bintang utama Ahmad Mahmud, Saadiah, Normadiah, Salleh Kamil dan Omar Suwita

Jah Mahadi mempunyai enam orang anak. Melalui perkahwinannya dengan Haji Mahadi, beliau dikurniakan tiga orang anak perempuan iaitu Rasidah dan sepasang anak kembar bernama Saemah dan Saodah.

Bagaimanapun perkahwinan Jah Mahadi dan Haji Mahadi berakhir pada tahun 1966.

FILEM “Keranda Berdarah” arahan Nordin Ahmad dibintangi Tony Kassim, Shariff Dol, Dayang Sofia dan Salleh Melan.
FILEM “Puaka” dengan pelakon utamanya Aziz Jaafar, Dayang Sofia, Malek Selamat, Tony Kassim dan Jah Mahadi

Jah Mahadi yang terus menyepikan diri dari dunia filem dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Aminah pada 28 April 2001 dan keluar pada 11 Mei 2001.

Beliau meninggal dunia dunia pada 31 Mei 2001 pada usia 63 tahun kerana kencing manis dan darah tinggi.

SENIWATI Jah Mahadi sehingga kini dikenang dan dirindui oleh peminat filem Melayu

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru berdekatan pusara ibu dan ayahnya.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.

Previous articleTerima Kasih Guruku!
Next articleJangan lepaskan peluang menonton teater hebat, Tun Fatimah pada 7 & 8 Jun ini!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here