Photo by EYÜP BELEN: https://www.pexels.com/photo/silhouette-of-two-people-near-sea-in-distant-of-ortakoy-mosque-istanbul-turkey-1428607/

Oleh Nury Kadir

Sabtu, 8 Jun 2024 bersamaan 1 Zulhijjah 1445. Bermakna hari Arafah akan jatuh pada 16 Jun iaitu hari Ahad. Bagi yang hendak berpuasa masih sempat lagi untuk berpuasa bermula dari hari ini hingga hari Arafah. Namun bagi yang memilih untuk berpuasa pada hari Arafah pun tidak ada masalah kerana tidak diwajibkan berpuasa pada lapan hari sebelum hari Arafah.

Malah hadis yang meriwayatkan tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah tidak menyebut atau mensyaratkan agar berpuasa pada hari sebelumnya. Ada hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW tidak berpuasa pada hari sebelum hari Arafah dan berpuasa pada sebahagian hari yang lain.

Hari Arafah adalah hari kesembilan dalam bulan Zulhijjah, jemaah haji wukuf di padang Arafah dan umat Islam yang tidak mengerjakan haji digalakkan berpuasa pada hari tersebut. Ganjaran yang dijanjikan Allah SWT bagi mereka yang berpuasa pada hari tersebut, disebut Rasulullah SAW dalam hadis berikut.

Hadis dari Abu Qatadah al Anshari katanya, Rasulullah SAW ditanya orang tentang puasa hari Arafah. Baginda SAW menjawab: “Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun selepasnya. (Riwayat Muslim).

Di dalam www.muftiwp.gov.my, apabila membicarakan mengenai hadis tersebut mengambil pendapat Imam al-Nawawi yang menjelaskan makna hadis ‘di atas dosa-dosa orang yang berpuasa pada hari Arafah akan diampunkan untuk dua tahun’. Para ulama berkata dosa yang dimaksudkan di sini ialah dosa-dosa kecil. Sekiranya mereka yang berpuasa itu tidak mempunyai dosa-dosa kecil maka akan diberikan keringanan bagi dosa-dosa besar dan sekiranya tiada dosa-dosa besar maka akan diangkat darjatnya.

Terdapat hadis lain yang menyebut berkenaan bahawa Nabi SAW tidak berpuasa pada hari-hari sebelum hari Arafah. Hadis ini diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah:
مَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَائِمًا فِي الْعَشْرِ قَطُّ
Maksudnya: “Aku tidak melihat Rasulullah SAW berpuasa pada sepuluh hari Zulhijjah.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi menjelaskan hadis ini bermaksud الْعَشْرِ adalah sembilan hari Zulhijjah bermula dari awal bulan.Menurut Imam al-Nawawi sebahagian ulama berpendapat tentang hadis di atas dengan takwilan bahawa Aisyah tidak melihat Nabi SAW berpuasa bukan bermakna Baginda SAW meninggalkannya.

Ini kerana Baginda SAW adakalanya bersama dengan Aisyah selama satu hari dari sembilan hari Zulhijjah. Manakala hari-hari yang lain, Baginda SAW bersama isteri-isterinya yang lain ataupun kemungkinan Baginda SAW berpuasa pada sebahagian hari pada awal Zulhijjah dan berpuasa sebahagian hari pada hari yang lain.

Adakala Nabi SAW berpuasa pada keseluruhan hari dan ada ketika Baginda SAW tidak berpuasa sehari pun dari hari-hari terawal Zulhijjah. Ada juga yang mentakwil bahawa Baginda SAW tidak berpuasa Zulhijjah atas sebab-sebab tertentu seperti musafir, sakit atau sebab-sebab yang lain.

Maka, boleh memilih sama ada hendak berpuasa pada hari Arafah sahaja atau memulakan puasa dari 1-9 Zulhijjah atau pun selang- seli hari hingga 9 Zulhijjah. Kesemua pilihan itu tidak salah kerana kedua-dua pilihan itu ada sokongan dari hadis.

Image by freepik

Persoalan tiga sepuluh

Ada perbincangan di kalangan ulama mengenai hal tiga sepuluh. Ada sepuluh hari daripada tiga bulan yang dikatakan mempunyai kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain. Ada pendapat yang mengatakan sepuluh awal bulan Muharam yang mana di dalamnya ada hari Asyura. Malah ada juga ulama yang berpendapat sepuluh malam terakhir di dalam bulan Ramadan kerana di dalamnya ada malam Lailatulqadar. Namun jumhur ulama berpendapat 10 hari yang paling disukai Allah daripada tiga bulan tersebut adalah 10 awal Zulhijjah.

Daripada Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Tidak ada hari-hari untuk melakukan amalan soleh padanya lebih disukai oleh Allah SWT berbanding pada sepuluh hari ini.” Maka mereka bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, sekalipun jihad di jalan Allah?” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Tidak juga jihad di jalan Allah melainkan seorang lelaki keluar dengan dirinya, hartanya kemudian dia tidak lagi kembali dengan membawa apa-apa daripada itu.” (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah)

Terdapat satu riwayat di dalam sahih al-Bukhari daripada Ibn Abbas yang mempunyai makna sama seperti hadis di atas walaupun lafaznya sedikit berbeza. Daripada Ibn Abbas r.a, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Tidak ada amalan yang lebih baik daripadanya melainkan pada ini (iaitu hari Tasyriq).” Mereka bertanya: “Tidak juga jihad?” Nabi SAW bersabda: “Tidak juga jihad melainkan seorang lelaki keluar dengan mengorbankan dirinya serta hartanya lalu dia tidak lagi kembali dengan sesuatu.”

Para ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan 10 hari di dalam hadis ini adalah 10 hari pertama Zulhijjah berdasarkan sebuah hadis di dalam sahih Ibn Hibban, yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Tidak ada hari-hari yang paling baik di sisi Allah SWT daripada sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah.” (Riwayat Ibn Hibban).

Jelas, tidak ada amalan yang dilakukan pada hari-hari lain, melebihi sepuluh hari pertama Zulhijjah ini kerana ia dinyatakan oleh Allah SWT sendiri bahawa ia adalah hari yang paling disukai oleh-Nya dan ia juga adalah hari yang paling afdal. Dikatakan bahawa 10 pertama bulan Zulhijjah merupakan hari yang paling disukai dan paling baik kerana padanya terdapat ziarah Baitullah. Oleh kerana ia adalah hari yang lebih baik dan mulia berbanding hari-hari lain, maka amalan soleh padanya juga adalah lebih afdal berbanding hari-hari yang lain. (seperti yang dinukilkan dalam www.muftiwp.gov.my)

Sementelah, Rasulullah SAW menggambarkan bahawa jihad di jalan Allah pun tidak mampu menandingi kebesaran dan kelebihan yang terdapat pada 10 hari pertama Zulhijjah. Melainkan seseorang itu keluar di jalan Allah SWT dengan membawa dirinya serta hartanya dan kemudian dia syahid atau dia membelanjakan harta-hartanya di jalan Allah. Dengan itu, ia adalah lebih baik atau sama seperti orang yang melakukan amalan soleh pada 10 hari pertama Zulhijjah.

  1. Antara fiqh al-Hadith yang boleh dikeluarkan daripada hadis tersebut:
    Sepuluh hari yang lebih disukai oleh Allah SWT atau sepuluh hari yang lebih baik adalah sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah.
  2. Kita dituntut pada hari-hari tersebut untuk melakukan amalan-amalan soleh kerana padanya terdapat kelebihan dan kemuliaannya.
  3. Ibn Rejab al-Hanbali di dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif menyenaraikan beberapa amalan yang boleh dilakukan. Antaranya adalah berpuasa, qiyamullail, berzikir kepada Allah dan lain-lain lagi.
  4. Terdapat sebuah hadis yang dihukum hasan oleh Ibn Hajar al-Asqalani, hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a, bahawa Rasulullah SAW menyuruh kita agar banyak bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil pada hari-hari tersebut.
  5. Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menyatakan sebab kelainan sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah ini adalah kerana segala ibadat-ibadat yang utama terhimpun di dalamnya seperti solat, puasa, haji, sedekah dan lain-lain yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain.

*Ikuti artikel akan datang mengenai kelebihan hari Arafah dan zikir yang paling afdal diamalkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah atau sepanjang masa.

Previous articleNana, Tomok bersatu selepas 25 tahun
Next articleKehebatan “Melaka International Marathon 2024” muncul lagi Ogos ini!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here