Oleh : SYED WAFA
Foto : Koleksi SYED WAFA
JIKA sebut nama Seniwati Habsah Buang, mungkin tidak ramai yang dapat mengingatinya. Tetapi jika bercakap mengenai Permaisuri Ampuan, bonda Raja Kamaruzaman yang kejam dalam filem “Dayang Senandong” pasti perasaan benci menebal di hati anda.
Betapa tidak sebagai ibu kepada Raja Kamaruzam (Seniman Ahmad Mahmud) dalam filem arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong (1965) sikap kejam beliau terhadap menantunya, Puteri Dayang Senandong (Seniwati Datuk Sarimah) yang ‘hitam’ kerana terkena sumpahan bukan sahaja membuatkan penonton membencinya malah ia telah memperkenalkan Seniwati bernama Habsah Buang kepada para peminat filem Melayu era 1960-an.

Begitulah hebat dan berkesannya lakonan beliau dalam filem berkenaan selain sebagai Guru Besar dalam filem “Nasib Si-Labu Labi (1963) dan sebagai Permaisuri Pura Cendana yang tidak punya anak dalam filem “Musang Berjanggut” (1965). Kedua-dua filem berkenaan diarahkan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Bagaimanapun tahukah anda, sebelum mencipta nama sebagai Seniwati popular Studio Jalan Ampas (Malay Filem Productions) sebenarnya Habsah Buang pada usianya 18 tahun telah berlakon filem Hollywood!

Benarlah kata peribahasa Melayu ‘Tuah Ayam Nampak Di kaki, Tuah Manusia Siapa Yang Tahu’ begitulah boleh diibaratkan dengan Habsah Buang yang berpeluang berlakon dalam filem “Booloo” terbitan tahun 1937 sebelum bergelar Seniwati Studio Jalan Ampas!
Pihak penerbitan filem berkenaan menawarkan Habsah berlakon setelah melihat bakatnya sebagai penari yang mana ketika itu beliau bersama Noran Opera membuat persembahan di Melaka. Selain Habsah, turut membintangi filem itu pelakon Indonesia, Ratna Dewi.

Walaupun dalam filem arahan Clyde Ernest Elliot terbitan Syarikat Paramount, Habsah berlakon sebagai penari tetapi ia sudah cukup bermakna dan mencatatkan sejarah tersendiri dalam perjalanan seni beliau yang ditawarkan berlakon filem Hollywood sebelum membintangi filem Melayu!
Selain Singapura, “Booloo” turut menjalani penggambaran di Ipoh, Perak dan beberapa tempat lain termasuk di Amerika Syarikat, British dan Jerman. Iklan mengenai penggambaran filem ini pernah disiarkan dalam akhbar The Singapore Free Press and Mercantile pada 29 Julai 1937.


Begitulah hebatnya perjalanan seni, Allahyarham Habsah Buang seorang penari dan pelakon filem era 1940-an sehingga 1970-an yang dilahirkan pada tahun 1919 di Pitt Street, Singapura.
Pada tahun 1926, ketika usianya mencecah tujuh tahun, Habsah Buang mula berlakon pentas bangsawan Borneo Star bersama ibunya, Halimah Abdul Kadir. Borneo Star mengadakan persembahan di Sarawak, Palembang, Pontianak dan Langkat.

Habsah kembali ke Singapura pada tahun 1930 dan mendirikan rumahtangga dengan adik Seniman M. Suki iaitu pelakon bangsawan, Mohamad Leon ketika berusia 13 tahun pada tahun 1932. Melalui perkahwinan ini, mereka dikurniakan enam orang anak antaranya Seniwati Hashimah Yon.
Disebabkan banyak berlakon pentas bangsawan Noran Opera di Panggung New World akhirnya bakatnya telah menarik perhatian dua pengarah Hong Kong yang sedang mencari bakat baru iaitu Hou Yao dan Wan Hoi Ling. Tuah yang datang bergolek itu telah membawa Habsah Buang membintangi filem “Mutiara” dan “ Bermadu” (1940).



Pada tahun 1941, Habsah Buang ditawarkan watak pembantu dalam filem “Topeng Shaitan” dan “Hancor Hati.” Bakatnya yang semakin menyerlah telah membuka peluang Habsah melakonkan watak utama apabila ditawarkan berlakon dalam tiga filem iaitu “Terang Bulan Di Malaya, Ibu Tiri dan Mata Hantu.”
Bagaimanapun ketika Perang Dunia kedua apabila tentera Jepun menyerang Singapura filem “Mata Hantu” tidak sempat disiapkan.


Tetapi apabila Jepun menawan Singapura dan mendapat tahu Habsah Buang yang tinggal di Lorong Engku Aman, Geylang, adalah pelakon filem, beliau telah diarahkan menganggotai kumpulan Budaya Jepun yang dikenali Nippon Buyoh untuk menghiburkan askar-askar Jepun dengan persembahan tarian dan lawak jenaka.
Pada tahun 1945, apabila Jepun mengundurkan diri, Habsah Buang mula berlakon filem dan pada zaman kegemilangan filem Melayu beliau telah membintangi hampir 40 filem antaranya “Penarik Becha,” 1955), “Anakku Sazali,” (1956), “Isi Neraka,” (1960) dan “Batu Durhaka” (1962).


Bagaimanapun apa yang pasti filem “Mas Merah” meninggalkan kesan mendalam di hatinya. Sebabnya filem arahan Dhiresh Ghosh terbitan tahun 1961 terdapat satu babak di mana Mak Merah (Seniwati Saamah) dan Mak Gelam (Seniwati Habshah Buang) dikehendaki ‘bergasak freestyle’ tanpa ada koreografi.
Bukan itu sahaja, malah pada waktu dan ‘shot’ yang sama Seniwati Saadiah dan Seniwati Sri Dewi juga perlu melakonkan babak bergaduh.


Pergaduhan mereka berdua berpunca Mak Gelam berdendam dengan Mak Merah dan kemudiannya membunuh Mak Merah ketika sedang mencuci pakaian di sungai. Mereka berdua adalah isteri Pak Sagai (M. Zain). Apabila emak bergaduh, anak-anak juga turut sama.
Babak ini memang menyukarkan bukan sahaja Pengarah Dhiresh Ghosh untuk mengawalnya kerana para pelakon bergaduh secara bebas dan mereka tidak boleh mengawal perasaan. Malah jurukamera, R.C Purushotham juga sukar mengawal shot babak berkenaan.



Bagaimanapun babak tersebut berjaya dirakamkan dan nampak seperti kejadian sebenar.
Selain babak filem berkenaan bagi Habsah Buang, filem “Penarek Becha” juga meninggalkan kenangan sepanjang penglibatannya sebagai pelakon filem apabila dalam filem itu bukan sahaja beliau dan anaknya, Hashim Yon turut berlakon sama malah Saamah dan dua anaknya, Rahmah Rahmat dan Ainon Rahmat juga berlakon dalam filem berkenaan.


Perjalanan seni Habsah Buang diteruskan sehingga tahun 1975 dengan filem terakhir lakonannya “Keluarga Si Comat” terbitan Sabah Film Productions.
Filem arahan dan lakonan Allahyarham Datuk Aziz Sattar turut dilakonkan Allahyarham Seniman Ibrahim Pendek, Junainah M. Amin, Deddy M. Borhan, Allahyarham S. Shamsuddin dan Habsah Buang sebagai Ibu Anizah.



Habsah Buang meninggal dunia pada usia 75 tahun di rumahnya di Blok 22, Evenue 1, Bedok South, Singapura pada jam 1.10 pagi kerana sakit tua.
Allahyarham meninggalkan enam orang anak dan lebih 20 orang cucu.


Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.


SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.