Maria Menado legenda yang sentiasa dirindui.

Oleh: SYED WAFA
Foto: KOLEKSI SYED WAFA

JIKA selama ini kita sering mengagumi peluang yang diperolehi Seniman Ibrahim Pendek berlakon bersama Rock Hudson dalam filem Hollywood “The Spiral Road” pada tahun 1962 dan pada 1965 Seniman Jins Shamsuddin dan Saadiah untuk penerbitan filem Hong Kong tetapi tahukah anda sebenarnya Seniwati Datuk Sri Maria Menado telah mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi Seniwati Melayu yang pertama berlakon dalam filem Bollywood dengan Dinasti Keluarga Kapoor iaitu Shammi Kapoor yang diterbitkan pada tahun 1960!

“Singapore” filem genre thriller arahan Shakti Samanta adalah produksi antarabangsa kedua lakonan Maria Menado selepas menjalani penggambaran filem “Hilang Gelap Datang Terang” terbitan bersama Merdeka Film dan Perfini Indonesia.

FILEM hindi “Singapore” lakonan Shammi Kapoor dan Maria Menando, filem ini arahan Shakti Samanta ini diterbitkan pada tahun 1960.
SATU babak dari filem “Singapore”…pertemuan dalam penerbangan dari Bombay ke Singapura telah menerbitkan rasa cinta antara Shyam dan Maria Wango.

“Singapore” dilakonkan bintang Bollywood popular Shammi Kapoor, Padmini, Shashikala, Helen, Agha, K.N. Singh, Madan Puri dan Maria Menado.

Filem yang diterbitkan secara usahasama Eagle Films dan Indo-Malaya Productions adalah filem Bollywood pertama yang menjalani penggambaran luar dari India.

MARIA Menado bersama aktor Bollywood, Shammi Kapoor dalam satu babak filem “Singapore” yang menjalani penggambaran di Singapura dan Bombay.
PASANGAN kekasih…Maria dan Shyam.

“Singapore” membawa kisah percintaan antara usahawan dari India, Shyam (Shammi Kapoor) dengan Maria Wango (Maria Menado) yang berasal dari Singapura. Mereka berkenalan dalam penerbangan dari Mumbai ke Singapura.

Shyam ‘terbang’ ke Singapura untuk menyiasat misteri kehilangan Pengurus ladang getah milik keluarganya. Sementara Maria Wango yang berasal dari Singapura sering ke Mumbai kerana urusan perniangaan ayahnya.

LAGU ‘Rasa Sayang’ dari filem “Singapore”’diubah dengan elemen Hindi berjudul “Rasa Sayang Re” digubah oleh Mohd. Rafi dan Lata Mangeskhar.
SOUNDTRACK filem “Singapore” yang dibintangi Shammi Kapoor, Maria Menado dan Helen (gambar kiri).

Selama berada di Singapura, bukan sahaja hubungan Shyam dan Maria telah membibitkan perasaan cinta diantara mereka, malah ianya telah merungkai misteri kehilangan pengurus ladang dan terbongkar penyelewengan akaun syarikat yang berlaku sekian lama.

Melalui filem ini, Maria Menado bukan sahaja mencatatkan sejarah sebagai satu-satunya seniwati filem Melayu berlakon filem Bollywood yang turut menjalani penggambaran di Bombay malah beliau juga menggunakan suara Lata Mangeskhar untuk babak menyanyi lagu “Dekhoji Dekho.”

MARIA Menado terkenal sebagai seniwati yang memiliki wajah yang cantik menawan dengan senyuman yang memikat.

Disamping itu, Maria Menado membuktikan kehebatannya yang boleh menghafal sepenuh skrip berkenaan dalam tempuh dua minggu yang mana memerlukan beliau bertutur 90 peratus dalam bahasa Hindi!

Bukan itu sahaja, malah Maria Menado membuktikan biarpun berkebaya ketat beliau mampu melakonkan babak aksi antaranya tembak menembak, babak di atas bot dan hampir ditolak keluar dari helikopter!

MARIA Menado dipilih sebagai Wanita Paling Cantik dan menjadi ‘Cover Girl.’

Bagaimana sesuatu yang tidak diduga, Maria Menado yang melakonkan watak Puteri Mayang Mengurai dalam filem “Batu Belah Batu Bertangkup” (1959) arahan Jamil Sulong, beliau disingkirkan dari filem berkenaan walapun telah menjalani penggambaran selama tiga hari.

Khabarnya semua berpunca apabila kehadiran Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang ketika itu) tidak dimaklumkan kepada pihak Shaw Brothers yang mendakwa Maria Menado menjemput Baginda tanpa pengetahuan mereka sehingga pihak penerbitan tidak membuat apa-apa persiapan sebagai menyambut keberangkat tiba baginda.

MARIA Menado…Kenangan menjadi ‘Cover’ Majalah Hiburan Filem bilangan 34 bertarikh 24.01. 1955 dijual pada harga 30 sen.
KEJELITAAN dan popularitinya membuatkan Maria Menado sering dipilih menjadi ‘Cover’ majalah antaranya Majalah ‘her WORLD.’

Walaupun digugurkan dari filem berkenaan pada tahun 1959, Maria Menado yang baru lapan tahun menceburi bidang seni mencatat sejarah sebagai penerbit filem wanita Melayu yang pertama dan syarikat filemnya diberi nama Maria Menado Productions (MMP) dengan filem pertama terbitannya, “Korban Fitnah” dengan kos penerbitan sebanyak $60,000.

Sepanjang lima tahun penubuhannya (1959-1963), MMP telah menerbitkan lima filem, “Korban Kasih” (1959 – arahan P.L Kapur (Udmar Ismail) dan empat filem diterbitkan pada tahun 1963 iaitu “Darah-Ku” (arahan Ramon A. Estella), “Raja Bersiong” (K.M Basker) dan “Pontianak Kembali” (Ramon A. Estella). Daripada lima filem ini, Maria Menado berlakon empat daripadanya kecuali “Pontianak Kembali.”

MARIA Menado terkenal sebagai seniwati jelita sejak era 1950-an.
SELAIN berlakon Maria Menado juga adalah seorang penyanyi bersuara lunak didengar dan memiliki LP sendiri.

Begitulah hebatnya Maria Menado, Permaisuri kepada Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin. Baginda mengahwini Maria Menado pada tahun 1963, ketika Maria berusia 30 tahun. Perkahwinan itu telah menamatkan kerjayanya sebagai ‘bintang filem’ apabila beliau mengambil keputusan mengundurkan diri dari dunia perfileman.

Perkahwinan itu kekal bahagia sehingga Baginda mangkat pada tahun 1974. Melalui perkahwinan itu pasangan ini dikurniakan seorang puteri iaitu Tengku Norashikin Sultan Abu Bakar dan dua putera, Tengku Idris dan Tengku Baharuddin.

MARIA Menado dipilih sebagai ‘model’ iklan margarin Lam Soon.
MARIA Menado menjadi duta minuman botol Red Lion.

Sebelum itu, Maria Menado mempunyai dua orang anak iaitu Mutiara dan Sultan melalui perkahwinan pertamanya dengan A. Razak Sheikh Ahmad. Manakala melalui perkahwinan ketiga dengan Datuk Dr. Mohd. Husin Yusof sejak 1978 tidak dikurniakan anak dan kekal bahagia sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2000.

Pada tahun 1958, sebuah akhbar berbahasa Inggeris di Singapura iaitu telah mengadakan peraduan memilih pelakon wanita paling popular untuk tahun-tahun sebelum itu sehingga 1958. Keputusannya, Maria Menado telah dipilih sebagai Wanita Paling Popular dan mendapat undian tertinggi dengan mengalahkan lima seniwati lain iaitu Saadiah, Hashimah Yon, Zaiton, Saloma dan Kasma Booty. Keputusan ini disiarkan di muka hadapan akhbar The Singapore Free Press bertarikh 24 Mei 1958.

KECANTIKAN yang dimiliki Maria Menado membuatkan beliau sering dipilih menjadi pelakon utama sesebuah filem.
MARIA Menado sebagai Siti Zubaidah dalam filem dengan tajuk yang sama akhirnya berkahwin dengan Sultan Zainal Abidin lakonan Seniman Nordin Ahmad.

Selama 12 tahun melibatkan diri dalam dunia filem, Maria Menado telah membintangi lebih 20 filem dengan memulakan langkahnya sebagai pelakon melalui filem “Penghidupan” (1951).

Filem ini adalah yang pertama dan terakhir beliau berlakon bersama Allahyarham P. Ramlee.

LEGENDA yang amat dikagumi.
KECANTIKAN asli yang dimiliki hingga membuatkan Sultan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin mengahwini Maria Menado pada tahun 1963.

Sementara itu filem “Pontianak” dikatakan begitu sinonim dengan Maria Menado yang digelar ‘Grace Kelly Malaya’ kerana ia merupakan filem seram Melayu yang amat hebat dari segi grafik pada waktu itu.

Bayangkan tanpa teknologi yang mahal dan canggih, ia membuktikan filem Melayu mampu ‘dihasilkan’ setaraf dengan filem Hollywood.

KENANGAN abadi…Maria Menado bersama suami tercinta, Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin dan anakanda baginda (dari kiri) Tengku Norashikin, Tengku Baharuddin dan Tengku Idris.
MARIA Menado bersama Seniwati Salmah Ahmad yang turut membintangi filem “Pontianak.”
Maria Menado sebagai Chomel kemudian menjadi cantik tetapi disebabkan melanggar pantang kerana meminum darah akhirnya Chomel menjadi ‘pontianak.’
Salmah Ahmad sebagai Maria anak kepada Chomel.

Mungkin tidak ramai peminat filem tahu sebenarnya selain berbakat dalam bidang lakonan sebenarnya Maria Menado juga adalah seorang penyanyi berbakat. Malah Saloma dikatakan pernah mengikuti rombongan Maria Menado membuat persembahan di Sarawak dan Brunei.

Sepanjang penglibatannya sebagai pelakon, dua kali Maria Menado memenangi anugerah pada Festival Filem Malaya. Kali pertama beliau dianugerahkan Aktres Pembantu Terbaik kerana lakonannya dalam filem “Penghidupan” pada Festival Filem Malaya (1951/1952).

MARIA Menado bersama anaknya, Sultan Razak.

Pada Festival Filem Malaya 1957, Maria Menado melalui filem “Pontianak” telah melayakkan beliau menerima Anugerah Aktres Terbaik.

Kini Maria Menado lebih selesa menjalani kehidupan hariannya tanpa kerdipan lampu kamera dan sebarang publisiti.

PENULIS, Syed Wafa bersama seniwati legenda Maria Menado yang begitu beliau kagumi.
PENULIS, Syed Wafa dan Ladybosz sentiasa mendoakan Maria Menado sentiasa dirahmati Allah SWT…Amin.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga Maria Menado dianugerahkan kesihatan yang baik. Amin.

Previous articleDua “Living Legend” Cipta Sejarah “The Journey of Sound Dato Sri Siti Nurhaliza & Judika”
Next articleCara Penyediaan Fettucini Rendang Daging Yang Lazat Di Restoran Rasa Rosz.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here