Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Datuk Khadijah Ibrahim/Koleksi Syed Wafa
Berbanding penyanyi lain laluan untuk Datuk Khadijah Ibrahim begitu mudah sekali untuk bergelar penyanyi. Tanpa perlu melalui sebarang uji bakat pada usianya 19 tahun, Khadijah Ibrahim terus dilamar menjadi artis rakaman Syarikat Warner Music (M) Sdn. Bhd.
Penyanyi veteran Khadijah Ibrahim, 65, anak kepada Siti Mariam Syed Abdul Rahman dan Ibrahim Abu Hassan merupakan adik kepada pelakon popular Sophia Ibrahim dan penyanyi terkenal Latiff Ibrahim dan juga emak saudara kepada penyanyi Kumpulan Kool iaitu Hairie Kool. Beliau juga merupakan anak saudara kepada pelakon Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail
Sepanjang 45 tahun dalam industri muzik, kini Khadijah yang popular dengan lagu Ku Gembira Di Sampingmu dan Ku Pendam Sebuah Duka sibuk dengan kerja-kerja kebajikan sebagai Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bagi membantu artis-artis yang susah ataupun sakit.
“Semalam (Jumaat) 1 November, ibu bersama-sama beberapa artis popular terlibat untuk menjayakan Konsert Amal Legends di Sabah International Convention Centre (SICC). Selain ibu, antara artis terlibat ialah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Ramli Sarip, Man Keedal (pemain gitar terkenal), Azharina dan Ayu Damit.
“Konsert malam amal ini merupakan kerjasama Karyawan bersama Tourism Malaysia untuk mengumpul dana bagi tabung kebajikan Persatuan Karyawan Malaysia. Tabung ini bagi membantu penggiat seni dan industri hiburan negara yang sakit, susah dan memerlukan bantuan. Kiranya artis-artis ini ada persatuan yang boleh diharapkan bila mereka memerlukan bantuan.
“Lepas ini ibu akan sibuk nak buat konsert artis-artis Malaysia ke Singapura pula. Entahlah dah berusia ini, ibu rasa gembira sangat bila dapat membantu artis-artis yang memerlukan. Ibu juga suka kalau dapat buat seseorang itu happy, bila mereka happy ibu pun rasa happy sebab dapat berbakti dan membantu sesama rakan artis yang tidak bernasib baik,’’ kata Khadijah yang lebih mesra membahasakan dirinya dengan panggilan Ibu.
Sebelum itu Karyawan juga telah menganjurkan Konsert Telan Kaset 90-an sempena Festival Muzik Vit’s di Petaling Jaya, Selangor pada Oktober lalu. Seramai 17 orang penyanyi 90-an yang menyertai konsert tersebut antaranya Rahmad Mega; Kool, Ady Wow, Aris Ariwatan, Dinamik Kasawari, Roy, Amir Ukay’s, Shidi Data, Isa Gravity, Wann, Febians, Hasnol, Shades, A To Z, Tom, Fuad dan Zamani.
Khadijah yang dilahirkan pada 19 Januari 1959 menambah, kini sudah masanya untuk beliau `memberi semula’ dan aktif membantu dengan menyertai persatuan Karyawan.
“Ibu salute dengan Datuk Freddie Fernandez (Presiden Karyawan) yang sejak dulu hingga sekarang sedia membantu artis-artis yang berada dalam kesusahan. Ibu terkesan dengan keikhlasan dan kesungguhannya, itu sebabnya kini ibu sanggup turun padang membantu bagi menambah kutipan tabung.
Mengenai misinya bersama Karyawan, Khadijah menambah, banyak yang perlu kami fikirkan dan rancang untuk mengembangkan bakat anak seni selain dari mengumpul dana untuk persatuan.
“Mungkin Karyawan lebih dikenali sebagai persatuan yang membantu artis yang sakit dan susah. Tetapi sebenarnya misi kami jauh lebih besar daripada itu. Ibu dan Freddie juga sering bertemu dengan rakan-rakan perniagaan dan korporat untuk merancang sesuatu bagi golongan artis contohnya, perkampungan artis, penulis, jurukamera dan teknologi terkini yang berkaitan. Bila sudah ada lokasi dan dana yang cukup, kita boleh buat seperti Jalan Ampas atau Hollywood,” katanya penuh yakin.
Bercakap mengenai dunia hiburan pula, jelas Khadijah lagi, sebagai penyanyi beliau tidak boleh menganggap berada dalam dunia glamour sahaja, sebaliknya menganggap dunia hiburan ini sebagai bisnes.
“Bila kita menganggap menyanyi ini adalah pekerjaan dan kita akan melakukan segalanya dengan sebaik-baiknya. Kita juga kena ikhlas, hargai masa, berdisiplin dan buat yang tebaik ketika membuat persembahan agar peminat tidak lupa dan sentiasa menggagumi dan orang tak lupa persembahan mereka
“Ibu percaya ini semua rezeki dari Allah. Sebagai insannya kita kena tahu arah mana nak pergi selepas berjaya. Walaupun ramai artis baru yang muncul namun ibu tak pernah rasa tergugat kerana masing-masing ada peminat mereka sendiri. Bagi ibu kehadiran mereka satu persaingan yang sihat dan ibu bersyukur, hingga kini ibu masih terima banyak tawaran membuat persembahan.
“Nak jadi penyanyi ni memang senang tapi nak kekal dalam industri itu yang susah dan besar cabarannya. Untuk capai tahap macam ibu berada sekarang ini bukan mudah… pelbagai rintangan yang ibu kena lalui. Jadi pesan ibu nak bertahan dalam dunia seni ini, kita kena ikhlas dan menyanyi dari hati. Anggaplah menyanyi ini sebagai bisnes dan kita kena buat yang terbaik kalau nak berjaya dalam bisnes.”
Dalam kesibukannya menyanyi, Khadijah juga pernah membintangi beberapa buah filem dan drama. Namun antara dua dunia hiburan ini nampaknya Khadijah lebih memilih bidang nyanyian sebagai karier berbanding dunia lakonan.
“Jadi penghibur ini waktu kerja senang dan ibu ada lebih banyak waktu dengan keluarga. Itu sebabnya ibu lebih suka menyanyi daripada berlakon. Berlakon pun seronok juga sebab kita dapat jadi orang lain. Tapi masalahnya banyak masa diperlukan bila berlakon berbanding menyanyi.
“Dari beberapa buah filem yang ibu berlakon, ibu paling ingat masa berlakon sebagai wartawan hiburan dalam filem Kembara Seniman Jalanan (1986). Filem ini adalah kisah benar kerana ia menceritakan kesusahan penyanyi yang terpaksa melawan lanun cetak rompak pada waktu itu. Memang waktu ibu menyanyi itu memang hangat dengan lanun cetak rompak ini.
“Seronoknya waktu itu, ibu bergandingan dengan pelakon-pelakon yang bernama besar dalam dunia hiburan dan perfileman. Selepas itu kami terus menjadi kawan. Bertambah lagi kawan-kawan ibu dalam industri, itulah seronoknya bila penyanyi jadi pelakon. Begitu juga dengan drama Adam Dan Hawa…ibu suka jalan ceritanya best. Tambah pula waktu itu ibu dapat berlakon dengan pendatang baru pada waktu itu arwah Ridzuan Hashim.” jelas Khadijah mengimbas kembali kenangan sewaktu kemunculannya di persada seni.
Selain Kembara Seniman Jalanan, antara filem lakonannya ialah Mr. Cinderella 2002 dan Mr. Cinderella 2 (2003). Manakala antara drama yang pernah dibintangi beliau ialah 25 Tahun 5 Minit, Menghitung Hari, Tiada Sempadan, Mahligai Gading dan Urusan Hati Cik Drama Queen.
Beliau juga pernah menerima Anugerah Inspirasi Sepanjang Zaman pada majlis The Celebration : Life Begin at 50 sempena Festival Warga Emas 2023. Anugerah ini bagi mengiktiraf individu warga emas yang cemerlang dan banyak memberi sumbangan dalam bidang masing-masing.
Manakala gelaran Datuk iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang Peringkat Kedua (D.I.M.P.) diterimanya pada 2009.
Mengenai sikapnya, mereka yang dekat dengan beliau cukup mengenali sikapnya yang akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang dicita-citakannya. Begitu juga, jika beliau tidak menyukai sesuatu perkara, beliau akan suarakannya secara bersemuka kerana beliau bukannya suka menyimpan dendam ataupun bencikan seseorang.
Sepanjang penglibatannya selama empat dekad, beliau pernah tampil dengan album Nostalgia Khadijah Ibrahim Vol.1 (1994), Nostalgia Khadijah Ibrahim Vol.2 dan 4 Bintang Lagenda- Vol. 1 (2011).
Manakala lagu-lagu nyanyiannya pula ialah Sehari Dalam Cinta (1979), Potret Kasih, Just Thinking of Us, Wajah Impian, Everyday Girl, Mengapa Aki Disalahkan, I’ll Never Be The Same, Citarasa, Romantika, Sumber Ilhamku dan Terbang Pulang.
Manakala lagu duet yang pernah dirakamkannya ialah Kau Yang Istimewa bersama abangnya Latiff Ibrahim (1985), Ihsan (1990) dan Lagu Zaman (1992) duet bersama Datuk Ramli Sarip.
KONSERT BESAR DUA TAHUN LAGI
Walaupun mempunyai banyak lagu-lagu malar segar dan rakan duet namun Khadijah Ibrahim masih belum bersedia untuk mengadakan konsert solonya dalam waktu terdekat ini.
“Ada orang yang nak taja. Tapi bagi ibu masa dua tahun lagi nak buat konsert solo tersebut. Sekarang ini, ibu nak fokus dan memberi tumpuan kepada kerja-kerja menggerakkan persatuan Karyawan. Banyak program dan misi yang kami rancang bagi mengisi tabung persatuan. Bila misi tersebut dah tercapai baru ibu akan fikirkan untuk mengadakan konsert pula.
“Bukan ibu tak yakin…tapi ibu nak pastikan konsert itu lain dari yang lain. Konsert ini nanti merupakan hadiah ibu kepada peminat-peminat. Ibu tidak mahu ulang konsert yang pernah dianjurkan mana-mana penyanyi lain. Tiba waktunya nanti, ibu nak sebuah konsert yang belum peminat saksikan atau tengok…tunggu,” kata Khadijah dengan yakinnya.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.