Acara yang mengumpulkan kumpulan rock tanah air terpaksa ditunda pada tahun hadapan.

Oleh: Khadijah Ibrahim

LOKASI yang sering menjadi pilihan penganjur untuk menjayakan konsert adalah di Arena Megastar, Bukit Bintang, Zepp Kuala Lumpur dan Axiata Bukit Jalil. Ketiga-tiga lokasi tersebut mudah untuk dikunjungi kerana penonton boleh ke sana dengan menggunakan perkhidmatan awam seperti MRT atau monorel bagi yang tiada kenderaan.

Tidak dinafikan sistem bunyi yang disediakan di Megastar dan Zepp tidak mengecewakan kerana lokasi tersebut dibuat untuk penganjuran konsert, kecuali di Axiata Bukit Jalil, penganjur perlu mengeluarkan kos lebih untuk sistem bunyi.

Namun bagi penganjur yang mengadakan konsert di ruang acara (event space) terbuka perlu mengeluarkan modal lebih lagi kerana keperluan asas seperti sistem bunyi, kerusi atau kanopi tidak disediakan. Malah lokasi ‘terbuka’ sebegitu juga berisiko tinggi.

Penganjur Rumah Produksi Merah lebih mengutamakan keselamatan para peminat.

Justeru itulah penganjur Rock Warrior Music Festival iaitu Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. terpaksa mengambil keputusan untuk menundakan acara tersebut ke tahun hadapan.

Rock Warrior Music Festival yang menampilkan barisan kumpulan muzik popular tanah air seperti Wings, Search (Kid & Din), XPDC Militia, Spider, Pop Shuvit dan A.C.A.B yang bakal beraksi pada 23 dan 24 November ini di KL Base, Sungai Besi, namun terpaksa ditunda hingga ke Mei 2025.

Bukan kerana jualan tiket tidak mendapat sambutan tapi kerana kawasan tersebut berisiko banjir seperti mana beberapa negeri lain di Malaysia.

Keputusan tersebut dibuat oleh penganjur berdasarkan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada awal November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025 dan lokasi tersebut berisiko dilanda banjir.

Peminat terpaksa menunggu hampir enam bulan untuk menonton persembahan XPDC kerana acara tersebut ditunda hingga Mei 2025.

Wakil Rumah Produksi Merah, Datuk Eddy Amir Salim berkata, pihaknya lebih mengutamakan keselamatan para peminat dan kelancaran festival.

Selain daripada itu, kata Eddy, pihaknya juga berhasrat untuk menjaga sensitiviti terhadap masyarakat, khususnya mereka yang terkesan akibat bencana banjir.

“Penjadualan semula ke bulan Mei 2025 ini memberi kami peluang untuk membuat persiapan yang lebih menyeluruh, dengan harapan dapat menawarkan pengalaman festival yang lebih baik dan memuaskan dalam keadaan cuaca yang lebih sesuai.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat penundaan ini dan mengucapkan terima kasih atas sokongan dan pemahaman yang diberikan. Semua pembelian tiket yang telah dibuat akan tetap sah untuk tarikh baharu, dan kami akan mengemas kini maklumat lanjut di laman web serta platform media sosial kami,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd., di 019-261 7208.

Previous articleProgram Starlight Boys, tampil dua peserta dari Malaysia
Next article“Don Dukun” pukau penonton, kutip RM4 juta dalam masa 10 hari

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here