Salamiah Hassan biduanita yang mempunyai suara tersendiri.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Salamiah Hassan/Koleksi Syed Wafa

Walaupun penyanyi Salamiah Hassan, 73, hanya sempat melayari bahtera bahagia selama dua bulan bersama suami tercinta, Gerry Hughes yang meninggal dunia pada awal November 2022 namun kesannya cukup mendalam dihatinya.

Salamiah yang terkenal menerusi lagu, Gelombang dan Menghitung Hari menikah dengan Gerry Hughes yang dikenalinya sejak 20 tahun lalu di Burnie, Tasmania, Australia pada 1 September 2022.

Album EP “Hari Jadi” antara album kedua terawal Salamiah Hassan diterbitkan pada tahun 1973.

“36 tahun Kak Nyah solo dan Kak Nyah tak pernah terfikir akan berkahwin semula. Semuanya berlaku secara spontan. Sepanjang pandemik kami sering berhubungan dan semakin terasa sayang dan rapat. Tiga kali sehari, arwah akan menelefon Kak Nyah. Bila tahu sakit arwah semakin teruk iaitu kanser usus dan prostatnya, Kak Nyah fikir apa salahnya kami kahwin.

“Lagipun anak-anak semuanya dah okay dan bahagia dengan hidup mereka. Kak Nyah pun dah lama hidup berseorangan…kucing-kucing pun dah tak ada. Lagipun selama ini Kak Nyah tak tahu perasaan Kak Nyah. Fikir punya fikir, Kak Nyah rasa apa salahnya bagi peluang pada diri untuk sebuah perkahwinan baru.

Album EP Salamiah Hassan iaitu “Selamat Tinggal” diterbitkan pada tahun 1973.

“Itu sebabnya, bila kata nak nikah dengan arwah, semua terperanjat sebab mereka semua tak tahu, Kak Nyah ada kawan di Australia. Sebenarnya arwah pernah melamar Kak Nyah 20 tahun yang lalu. Sepanjang disana, setiap hari Kak Nyah akan menghantarnya membuat rawatan kimoterapi di hospital,’’ kata Salamiah yang mesra membahasakan dirinya dengan panggilan Kak Nyah.

Salamiah menambah, masa kahwin tu kami dah rancang enam bulan tinggal di Malaysia dan enam bulan di Australia.

Salamiah Hassan sering menjadi penghias kulit majalah antaranya Utusan Radio & Tv pada tahun 1973.

“Bukan itu saja, kami juga rancang nak pergi bercuti bersama-sama… nak be happy together. Tapi nampaknya impian kami tak kesampaian sebab Allah lebih sayangkan arwah. Walaupun berat, kak Nyah kena lalui juga…mungkin ada hikmah atas semua yang terjadi.

“Moga arwah ditempatkan ditempat yang baik. Kak Nyah rasa gembira sebab arwah dah masuk Islam dan belajar tentang islam. Masa mula kenal dulu pun, Kak Nyah dah bagi Al- Quran terjemahan dan dia dah faham. Syukur Alhamdulillah…walaupun masa kami bersama hanya dua bulan saja tapi Kak Nyah dah rasa cukup bahagia.”

Album studio pertama Salamiah Hassan iaitu”Suatu Penantian” yang diterbitkan pada tahun 1982.

Menurut Salamiah lagi,“Selagi boleh `terbang’ seorang diri ke Australia, lapan jam ke Melbourne dan 1 ½ jam ke Burnie selagi itu, Kak Nyah akan balik ke sana, sebab itu janji Kak Nyah pada arwah suami.

“Sekarang ini setiap tahun Kak Nyah akan balik kesana melawat kubur arwah suami. Tahun lepas Kak Nyah pergi masa bulan puasa selama tiga minggu dan tahun ini rancangnya nak pergi lepas Hari Raya, mungkin raya kedua terbang kesana.

Penampilan Salamiah Hassan yang tetap maintain dari muda hingga sekarang.

“Kak Nyah bersyukur kerana komuniti Islam di sana cukup baik dengan Kak Nyah. Bila berada di sana Kak Nyah dapat duduk homestay secara percuma selama tiga minggu setiap kali ke sana. Sepanjang disana, setiap hari Kak Nyah akan pergi menziarahi kubur arwah. Itulah rutin Kak Nyah setiap hari jika ke Australia.”

Mengimbas kembali perkenalan mereka, kata Salamiah lagi,“Sebenarnya dah lama Kak Nyah kenal arwah suami tu. 20 tahun yang lalu kami berkenalan di airport Melbourne dan dia sempat minta nombor telefon Kak Nyah. Tapi tak kan Kak Nyah nak bagi. Lepas tu dia mintak lagi dan sempat bergurau satu hari nanti Kak Nyah pasti akan menjadi isterinya.

Album studio Salamiah Hassan yang menampilkan lagu malar segar sehingga sekarang iaitu “Menghitung Hari” yang diterbitkan pada tahun 1987.

“Bila dah berkawan tu setiap kali Kak Nyah ke Melbourne melawat anak buah, dia sanggup turun dari Tasmania untuk berjumpa Kak Nyah. Hinggakan hubungan kami pun anak-anak buah Kak Nyah dan Atilia sendiri pun tak tahu. Arwah seorang suami yang romantik, setiap pagi dia akan hantar mesej suara pada Kak Nyah dan begitu juga pada waktu malam sebelum tidur.”

Mengenang kembali kematian suaminya, ujar Salamiah dalam sebak yang ketika itu berada di Kuala Lumpur kerana ada persembahan,“Sebelum meninggal Gerry sempat call kak Nyah dan sempatlah dia bercakap sesuatu pada Kak Nyah. Tahu saja dia nazak keesokkan paginya Kak Nyah bergegas pulang ke sana.”

Diusia 58 tahun Salamiah Hassan telah menjadi pilihan sebagai penghias kulit majalah Her World bersama Sharifah Shawati ( belakang) dan Jojo.

Bercerita mengenai dunia nyanyian dan lakonan pula, kata Salamiah ibu kepada dua orang cahayamata ini,“Kak Nyah bersyukur sangat sehingga sekarang banyak lagi tawaran menyanyi yang Kak Nyah terima. Kebanyakannya daripada syarikat-syarikat korporat dan orang perseorangan.

“Masa zaman kemunculan dulu…Kak Nyah ada juga ditawarkan berlakon…tapi Kak Nyah tak nak sebab tak pandai berbanding bidang nyanyian. Menyanyi lain…kita naik pentas dan menyanyi sepenuh perasaan

Kenangan…Salamiah Hassan bersama sahabat artis dan media.

“Kak Nyah tak suka berlakon…tak sanggup nak buat adegan tidur-tidur dengan lelaki…memang tak boleh. Itu sebab Kak Nyah tak minat nak jadi pelakon kerana Kak Nyah akan ketawa sepanjang penggambaran.”

Mengenai impiannya yang masih belum kesampaian, jelas Salamiah ibu kepada penyanyi Atilia ini lagi,“Tentang impian, tak ada yang tidak kesampaian, Kak Nyah happy je. Lagipun Kak Nyah tak ada impikan benda yang besar-besar dan malas nak pasang impian sebab takut tak kesampaian pasti akan kecewa.

Kalau dah jodoh tak kemana…Salamiah Hassan bersama arwah suaminya, Gerry Hughes selepas dinikahkan di Tasmania, Australia.

“Sekarang Kak Nyah hidup ikut kemampuan. Semua impian dah tercapai…anak-anak dah besar, hidup gembira, ada kehidupan sendiri dan Kak Nyah bersyukur dengan apa yang ada.

“Dulu Kak Nyah menyanyi bukan kerana nak jadi popular tapi menyanyi sekadar cari rezeki untuk besarkan anak-anak. Kini anak-anak pun dah membesar dengan baiknya…syukur Alhamdulillah, syukur pada Allah, syukur pada Allah dan semua yang Allah telah beri pada Kak Nyah.”

Darah seni…Salamiah Hassan bersama anaknya, Atilia yang turut berjaya sebagai penyanyi terkenal tanah air.

Sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi Salamiah pernah menghasilkan beberapa buah album. Antaranya Surat Terakhir (1973), Hari Jadi, Kasih Tanpa Balas, Selamat Tinggal, Salamiah Hassan, Jangan Turutkan Hati, Aidil Fitri, Aku Menangis Siapa Tahu, Masa Berlalu, Suatu Penantian (1982), Kembali (1984), Menghitung Hari (1987), Tirai Terakhir ( 2005) dan Gelombang.

Mengulas mengenai lagu yang paling disukai dan meninggalkan banyak kenangan kepadanya, kata Salamiah lagi,“Kak Nyah paling suka lagu Gelombang yang dirakamkan untuk lagu filem Tiada Esok Bagimu. Lagu itu dari dulu hingga sekarang tak jemu Kak Nyah nak menyanyi dan ia juga banyak beri rezeki.

Penyanyi serba boleh yang begitu merendah diri dan peramah orangnya.

“Mana-mana majlis korporat yang Kak Nyah pergi, mereka selalu minta lagu tersebut. Kak Nyah nak ucapkan berbanyak terimakasih kepada arwah Kassim Masdor dan penulis lirik, Bahyah Mahmood. Lagu itu memang evergreen dan ramai yang suka dan senang dinyanyikan di karaoke.”

Sebelum menempa namanya dalam industri hiburan, Salamiah Hassan pernah menyertai pertandingan Bakat TV 1971 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM). Dalam pertandingan itu, beliau telah mendendangkan lagu “If You Go Away”. Namun hanya menduduki tempat yang kelapan di dalam pertandingan tersebut.

Salamiah Hassan bersama anak lelakinya, Raja Ahmad Shah dan cucunya, Raja Muhamad Khayr Abdullah.

Kegagalan dalam pertandingan tersebut tidak mematahkan semangatnya. Salamiah bertuah kerana Datuk Ahmad Nawab bersetuju untuk menerbitkan album sulungnya bersama Life Records. Ahmad Nawab pada masa itu adalah seorang komposer dan penerbit album yang popular dan banyak menghasilkan lagu hit.

Pada tahun 1973, beliau membuat kemunculan pertama dalam dunia rakaman dengan album EP, Lagu Surat Terakhir ciptaan Ahmad Nawab dan lirik oleh Din Osman dan Tetap Menanti, Hanya Sekali dan Terima Lah benar-benar melonjakkan nama beliau dalam arena seni suara tanah air. Lagu tersebut juga pernah dirakamkan semula Anita Sarawak, Datuk Khadijah Ibrahim, Syafinaz Selamat dan Flora Santos. Lagu tersebut merupakan saduran daripada lagu Inggeris dan liriknya ditulis sendiri oleh Salamiah.

Salamiah Hassan sentiasa kelihatan ceria dan anggun bergaya.

Sepanjang penglibatannya dari tahun 1973 – 1976, Salamiah telah merakamkan 8 EP yang diterbitkan oleh Ahmad Nawab dan M. Daud. Manakala sebuah album hari raya yang bertajuk, Aidil Fitri dan empat album studio.

Selain rakaman album, beliau juga menyanyikan lagu-lagu iklan pada zaman 1980-an sehingga beliau digelar “Ratu Jinggles”. Pada tahun 1987, beliau kembali merakamkan album dengan lagu Menghitung Hari yang juga turut mempopularkan nama Salamiah dipersada seni.

Salamiah Hassan masih cantik menawan dalam meniti usia lewat 73 tahun.

Hampir 18 tahun tidak merakamkan suara, beliau kembali merakamkan lagu Tirai Terakhir pada tahun 2005. Album ini diterbitkan oleh adiknya, Hadi Hassan melalui syarikat rakaman Eight Tones. Januari 2014 beliau telah mengadakan konsert solo pertamanya di Istana Budaya serta melancarkan album baru berjudul ‘Aku’ yang diterbitkan oleh Aubrey Suwito. Pada awal tahun 2017 beliau telah mementaskan konsert solo pertama di Esplanade, Singapura serta persembahan penutup Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

Previous articleAku Boleh!
Next articleWow!…Resipi Calamansi Asam Boi yang segar di Restoran Rasa Rosz.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here