Sumbangan RM20,000 yang diberi adalah untuk menambah baik premis Mesra Home.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin

SEBELUM menjejak kaki ke Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra, Taman Sri Watan, Ampang, Selangor atau Mesra Home, awal-awal sudah berpesan pada diri sendiri, jangan ada drama air mata.

Apa yang diucap tak terlaksana kerana sebaik saja menjejak kaki ke sana sewaktu program ‘Charity BOX Yayasan PEKEMA’ iaitu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PEKEMA (Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia) pada 16 November lalu, air mata ini mengalir bagaikan hujan.

Program menyantuni warga emas itu disertai wakil dari Yayasan PEKEMA, CADB, Sukarelawan Kelab Rekreasi & Sukan PEKEMA (KRESMA) dan Jabatan Komunikasi Korporat PEKEMA.

CADB berbesar hati menyediakan kenderaan elektrik Dongfeng BOX sebagai kenderaan rasmi untuk program Charity BOX Yayasan PEKEMA.

Meskipun semua yang hadir dilihat begitu bersemangat melakukan aktiviti gotong royong namun jauh di sudut hati masing-masing mungkin bertahan agar air mata jantan tak keluar.

Namun tatkala menziarah penghuni-penghuni Mesra Home seramai 23 orang itu yang rata-rata adalah warga emas, hati yang kental pun akan tersentuh dan bukan satu lakonan kalau melihat seorang lelaki gagah pun mengalirkan air mata.

Buktinya, penulis dapat melihat air mata seorang lelaki korporat iaitu Pengarah Operasi CADB (Central Auto Distributors) Bhd, Dato’ Sheikh Mohamed Zulkifli SM Amin yang tidak dapat menahan sebaknya tatkala berbual-bual dengan penghuni Mesra Home.

Sheikh Mohamed Zylkifli harap program kebajikan yang dianjurkan oleh Yayasan PEKEMA boleh menjadi muhasabah diri kepada setiap yang terlibat.

Beliau hadir untuk memberi sumbangan berjumlah RM40,9000 kepada Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra. Daripada jumlah itu, peruntukan terbesar disalurkan dalam bentuk sumbangan sebanyak RM20,000 untuk menambah baik premis rumah jagaan tersebut.

Pada masa sama juga, sebahagian sumbangan iaitu cenderahati dalam bentuk “Gift BOX” turut diberikan kepada 19 warga emas dan tidak dilupakan untuk lima penjaga yang bertanggungjawab mengurus penghuni di pusat jagaan tersebut.

Sheikh Mohamed Zulkifli SM Amin berharap program sebegini dapat memberikan sinar kebahagiaan kepada warga emas yang telah banyak berbakti dan berkorban untuk masyarakat.

Beliau berkata, warga emas adalah permata yang amat berharga, dan sudah semestinya berhak menerima kasih sayang serta perhatian sepenuhnya daripada seluruh komuniti sebagai tanda penghargaan atas segala sumbangan mereka.

Faezah Ali (Paling Kanan) merupakan orang kuat Mesra Home Ampang.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk berkumpul pada hari yang penuh bermakna ini, di mana Yayasan PEKEMA dapat melancarkan Program Charity BOX Yayasan PEKEMA buat julung kalinya.

“Program ini bukan sahaja menggambarkan komitmen kita terhadap kesejahteraan golongan warga emas, tetapi juga menandakan titik penjenamaan semula satu inisiatif besar yang akan terus berjalan untuk memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang kita.

“Hari ini, kita melihat satu usaha murni yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak, termasuk anak syarikat kami, CADB yang berbesar hati menyediakan kenderaan elektrik (EV) Dongfeng BOX sebagai kenderaan rasmi untuk perjalanan program Charity BOX Yayasan PEKEMA yang akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambah Sheikh Mohamed Zulkifli, dengan menyumbangkan kenderaan elektrik Dongfeng BOX sebagai kenderaan rasmi untuk program tersebut secara tak langsung pihaknya dapat memberikan sokongan dari segi logistik agar program ini berjalan dengan lancar dan selesa.

Putra Amaris atau Amran Ismail (kiri) bersama Sheikh Mohamed Zulkifli SM Amin.

“Ini adalah salah satu cara kami untuk menyumbang kepada komuniti, khususnya kepada mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Ini bertepatan juga dengan salah satu tema utama kenderaan ini yang membawa mesej kasih sayang “BOX of Love”.

“Kami berharap kerjasama ini bukan sahaja dapat memudahkan perjalanan program, tetapi juga dapat memperkukuh lagi hubungan antara CADB dan Yayasan PEKEMA dalam mencapai matlamat kebajikan bersama,” katanya.

Ujarnya lagi, program sebegitu akan diteruskan dan kerapkali ahli PEKEMA seramai 380 di seluruh Malaysia yang akan memberi cadangan siapa yang perlu disantuni.

“Program ini akan diteruskan dan ramai yang hadir hari ini adalah dari kakitangan Kelab PEKEMA. Mereka bersama kita kerana untuk buat kerja CSR ini bukanlah mudah. Saya menyeru para sahabat kerana untuk kita buat semua tempat tak kemampuan, siapa yang ada kemampuan hulurkanlah bantuan seikhlas mungkin.

Mereka ini adalah sukarelawan yang tidak pernah rasa lelah untuk menghulur bantuan bagi menjayakan program Charity BOX Yayasan PRKEMA.

“Kita tak tahu nasib dan rezeki kita pada masa akan datang, kita berdoa untuk dapat yang terbaik. Untuk program ini kita agak independent, kita ada ahli daripada seluruh Malaysia. Kebanyakan program kita adalah daripada cadangan ahli.

“Selalunya, pegawai khas daripada Yayasan PEKEMA yang diketuai oleh Ustaz Yusof yang akan membuat lawatan sebelum kita hadir ke sesuatu lokasi, sebab kita nak tahu apa kehendak sebenar pusat atau individu tersebut.

“Sebenarnya program sebegini amat bagus untuk diri sendiri. Selain buat untuk PEKEMA dan Yayasan kita buat untuk diri sendiri sebab kita tak tahu akan masa depan. Baik untuk menyedarkan diri kita dan anak-anak semoga kita mendapat yang terbaik untuk masa depan.

“Memang elok untuk muhasabah diri. Bawalah anak-anak menziarahi pusat jagaan orang tua atau kebajikan, bagi mereka sendiri tengok. Tak ada siapa boleh jamin. Kita tak boleh sombong dengan diri kita dan tak tahu mana kita akan berada di masa depan,” katanya Ikhlas.

Previous articleKhasiat dan manfaat bunga telang untuk kesihatan
Next articleLady Rocker Indonesia, Inka Christie mahu berdakwah di pentas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here