Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Inka Christie/Koleksi Syed Wafa
PEMINAT muzik di tanah air sedia maklum bahawa Ella adalah Ratu Rock Malaysia sejak dulu hingga kini walaupun sudah berusia 58 tahun, tetap aktif menjayakan persembahan pentas.
Manakala di negara seberang pula, antara nama penyanyi yang dikenali sebagai Lady Rocker pada era 1990-an adalah Nicky Astria, Allahyarham Nike Ardilla dan sahabat baiknya, Inka Christie.
Malah Inka Christie atau nama sebenarnya, Rinni Chries Hartono, 51, asal Bandung, Jawa Barat itu cukup dikenali di Malaysia kerana pernah merakamkan lagu “Cinta Kita” bersama Amy Search pada 1991 yang lagu asalnya adalah “Fantasia Bulan Madu”, lagu popular dendangan kumpulan Search.
Anak bongsu daripada empat beradik itu juga pernah merakamkan lagu “Rela” ciptaan Rahim Othman dan lirik oleh Saari Amri yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Tilla pada 1990. Selain itu, Inka turut merakamkan lagu “Gambaran Cinta” pada 1992, ciptaan Saari Amri.
Di awal kemunculannya dalam bidang seni suara sekitar 1991, nama Inka Christie adalah di antara nama penyanyi dari Indonesia yang dikenali di Malaysia.
Kini Inka kembali ke sini untuk memeriahkan program realiti ‘Gegar Vaganza’ musim ke-11 sebagai salah seorang peserta yang bakal membuka tirai pada 24 Ogos ini menerusi saluran Astro Ria (Saluran 104).
Tatkala ditanya apa yang mendorong beliau menerima tawaran menjadi peserta program yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu, katanya mahu bersilaturahim dengan teman-teman di Malaysia yang sudah lama tak bertemu dan sekali gus dengan niat untuk beribadah.
Inka yang manis berhijab sejak 2015 itu bercerita, gara-gara menerima tawaran menyertai progam tersebut segala jadual kerjanya terpaksa ditangguh.
“Pihak Astro datang langsung ke Indonesia. Sebelumnya saya tak faham program ini bagaimana, ingatkan macam acara lain di TV. Bila produksu Astro suruh tengok di YouTube dan saya nonton, ohh! ada kakak Aishah yang menang tempoh hari dan suaranya masih bagus. Terus saya fikir, adakah ini seperti pertandingan.
“Tapi saya dimaklumkan yang ini berbeza dengan yang lain tapi saya fikir lama juga sebab waktu itu saya mahu pergi umrah dulu. Saya berdoa di sana, Ya Allah, saya ada tawaran begini-begini dan agak bingung. Ini pertama kalinya di Malaysia saya mendapat tawaran begini.
“Selain berdoa, saya juga ada minta izin daripada orang tua dan keluarga minta restu sama ada perlu atau tidak terima tawaran tersebut. Mama (Krimiati) saya bilang, pergilah nak. Kamu sudah lama tidak ke Malaysia, tujuan kamu ke sana diniatkan untuk beribadah dan menyenangkan orang lain serta bersilaturahim dengan teman-teman di Malaysia yang sudah lama tak jumpa.
“Jadi bila sudah mendapat dorongan daripada mama dan keluarga, saya terima saja walaupun awalnya saya bagi pelbagai alasan seperti tidak bersedia kerana saya tahu ini pertandingan, pasti ada juara. Saya cakap, saya tak bisa nyanyi bagus, di pentas selalu nervous dan lupa lirik. Banyak alasan yang saya bagi,” kongsinya.
Inka yang sering mengadakan persembahan di Indonesia bersama Ariel Noah, Dato’ Sri Rossa dan Judika itu mengaku walaupun sedia untuk bertanding dengan 13 peserta lain tapi beliau ada syarat tersendiri.
Tegasnya, walaupun penampilannya sebagai penyanyi masih sama seperti dulu, namun seiring dengan peningkatan usia beliau amat selektif dalam mendendangkan lagu terutama dari segi lirik.
“Inka dulu dan Inka sekarang sama saja hanya sekarang saya lebih selektif dari segi lirik lagu. Saya juga sudah bilang sama Astro yang saya akan memilih lagu apa yang saya mahu kerana apa pun itu dari lirik adalah doa, jadi saya sangat berhati-hati.
“Lagu-lagu saya dari album awal semuanya memang religi dari album pertama itu, macam lagu “Rela” terus lagu “Cinta Kita” dan “Nafas Cinta” semuanya ada perkataan Tuhan. Jadi memang sudah terbiasa seperti itu jadi saya ingin nanti, nyanyi lagu pilihan sendiri. Saya mahu
lirik lagu yang kalau kita gambarkan tak lari daripada unsur ketuhanan.
“Ya! Saya faham kalau namanya pertandingan, perlu nyanyi lagu dangdut, hip hop atau rap. Itu tidak ada masalah kerana saya akan memilih yang dari segi liriknya ada kesan positif buat orang yang mendengar. Bukan lagu yang liriknya tidak baik dicontohi. Saya sangat selektif terhadap lirik dari dulu sampai sekarang,” akuinya terus terang.
Selain mengambil berat soal lirik lagu, isteri kepada Sandiego Africo, 39, yang diijab kabul pada 27 April 2019 di Grand Ballroom La Gardena Kopo Square, Bandung, Jawa Barat juga amat menitik beratkan soal pakaian.
“Dari segi pakaian pula saya tak mahu yang ketat, selesa yang longgar. Saya pun di Indonesia kalau ada show saya lebih selesa pakai baju yang tidak membentuk badan, longgar semua. Maksudnya dari segi pakaian, kalau kita sudah berhijab tolonglah jangan pakai baju yang membentuk badan.
“Kalau kita nyanyi lagu dangdut, tolonglah jangan goyangkan pinggul keterlaluan. Ini secara peribadi saya kerana saya orang Muslim, saya tahu aturan Muslim tidak boleh goyangkan pinggul sampai menimbulkan ada rasa nafsu kepada kaum Adam.
“Dari segi lirik amat penting kerana kita dapat lihat orang sering jadi galau atau terlalu sedih dan lupa kepada Sang Pencipta. Sedangkan kita punya Allah tetapi kalau kita terlalu mencintai manusia berlebihan sakitnya keterluan. Nanti pun kalau ada lagu yang liriknya sedikit terkeluar, saya pasti akan jelaskan.
“Setiap anak seni ada matlamat tersendiri kenapa menyertai bidang ini, semua itu berbalik kepada niat kita sendiri. Kalau niat kita berdakwah atau syiar di atas pentas kita harus perlihatkan yang baik.
“Sayakan belajar di panstren dari kecil sampai sekarang saya masih belajar. Saya bicara sama ustaz yang saya masih menyanyi, ustaz kata jangan lupa sewaktu di atas pentas kamu masih boleh berdakwah. Dakwah itu boleh dari percakapan kamu biar ada orang yang mengikuti kamu. Itulah yang saya lakukan,” katanya yang menjadikan seni sebagai platform untuk berdakwah.
Mahu penuhi misi mama
Selain menyertai program ini, kata Inka, beliau ada satu misi lain iaitu memenuhi keinginan mamanya yang dulu sering menemaninya setiap kali bertandang ke Malaysia.
“Dulu sering saya ulang alik Malaysia – Indonesia, kalau saya show di sini mama yang hantar. Kemudian saya sudah lama tidak datang ke sini untuk urusan kerja sekadar bercuti saja. Untuk kali ini saya minta izin mama dan mama senang dengan keputusan itu.
“Mama pesan tujuan kamu ke sana adalah silaturahim, jangan memikirkan untuk jadi pemenang tapi kamu harus berikan yang terbaik. Takdir yang terbaik itu kan macam-macam, terbaik di mata Allah atau di mata manusia.
“Kamu tunjukkan yang kamu adalah anak mama yang terbaik, kemudian nyanyi dengan baik dan beri contoh yang terbaik. Itu saja saya lebih memikirkan bila di pentas nanti dan saya lebih selesa menjadi diri sendiri. Menang atau tidak itu rezeki Allah yang tentukan,” ujarmya.
Inka yang merupakan pemilik syarikat umrah dan haji nettour.bandung bersama keluarga sejak 2016 itu berkata, oleh kerana rapat dengan mama maka beliau lebih senang berulang alik antara dua negara walaupun mempunyai keluarga di Malaysia.
Untuk program ‘Gegar Vaganza’ nanti, pihak Astro masih mengekalkan juri yang sama iaitu Dato’ Ramli MS selaku ketua juri dan dibantu oleh Datuk Syafinaz Selamat serta penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang.
Selain Inka, dua lagi peserta dari Indonesia yang turut serta adalah Dadali Dyrga dan The Lima yang dianggotai oleh Taura, Bony dan Arif. Lain-lain peserta terdiri daripada Ronnie Hussein, Nai Dinamik, Fairuz Selamat, Yazid Lovehunters, Reshmonu, Liza Aziz, Illa Sabry, Sheila Abdul, Arrora Salwa, Zehra Zambri dan Ning Baizura.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.