Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Roy/Koleksi Syed Wafa
Dunia nyanyian ini tidak semestinya indah untuk semua penyanyi. Mana-mana penyanyi tak kira lelaki atau wanita yang memiliki pakej akan terasa nikmatnya bergelar penyanyi berbanding mereka yang tidak memiliki pakej seperti wajah cantik dan hensem.
Kini bukan suara yang dipandang sebaliknya peminat lebih memilih rupa. Jadi tidak hairanlah sekiranya penyanyi yang popular dengan lagu patriotik, Roy, 60, sedar dengan kekurangannya dan terus berusaha agar dapat terus bertahan dalam dunia hiburan.
Sambil menanti tawaran menyanyi Roy lebih senang busking di Aeon Mall, Setiawangsa, Kuala Lumpur. Selain busking, Roy atau nama sebenarnya, Mohammad Rauzan Alwi kini dah lebih 10 tahun bergelar pensyarah sambilan di Universiti Malaya (UM).
“Sehari lebih 80 buah lagu yang Abang dendangkan untuk lapan jam persembahan. Nak cari makan punya pasal… kadang-kadang sampai jadi rabak mata dan suara…itu belum lagi dipandang hina. Sekarang ini kalau orang nak bagi show pun, susah Abang nak dapat harga macam dulu-dulu. Mereka nak murah je sebab level dah jatuh jadi pengemis kata dia orang bila menyanyi busking ini.
“Macam nak pengsan menyanyi banyak lagu. Banyak buskers tak tahan nyanyi lama-lama macam Abang. Paling tinggi pun 4 atau 6 jam sahaja…tapi apa boleh buat dah minat dan Abang pun bukan tahu nak buat kerja lain selain menyanyi.
“Sesiapa nak jumpa datanglah sini. Abang ada disini setiap hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad, dari jam 2 petang hingga 10 malam. Kalau Abang tak ada maknanya Abang cuti kerana ada hal. Manakala hari Isnin pula Abang mengajar vokal di Fakuti Citra, UM,” kata Roy membahasakan dirinya dengan panggilan Abang.
Roy memulakan karier sebagai vokalis kumpulan rock Lefthanded selepas menamatkan pengajian Tingkatan Enam di Johor sewaktu mengikut ayahnya berkhidmat di sana. Roy suka menghabiskan waktu terluangnya jamming di studio yang sememangnya jadi port otai-otai rock berlatih, antaranya Man Kidal.
“Masa itu, Abang dan kawan-kawan dah ada band sendiri, Las Zethyr. Lepas habis STPM dan sambung belajar Sijil Seni Bina di Kuala Lumpur. Pada masa sama, kumpulan Lefthanded panggil untuk jadi vokalis mereka. Namun Abang tidak lama dengan Lefhanded kerana Abang ingin beraksi secara solo.”
Pada 1989, Roy tampil dengan album pertamanya berjudul Diari Mimpi, diikuti Nekad (1990) dan Roy (1993).
Selain itu, lagu-lagu popular lain dendangannya seperti Diari Mimpi, Kau Ratnaku dan Kasih Seketika masih menjadi siulan ramai. Namun demikian, populariti yang dikecapi tidak berpanjangan. Nasib Roy dalam dunia seni nampaknya tidak seindah yang dibayangkan. Dunia glamournya lenyap walaupun pernah membuat comeback dalam program popular, Gegar Vaganza musim ke-6 (2019).
Menurut Roy, dia rasa sikit tekilan tapi dia sedar dirinya dah tua dan orang nak panggil show nak yang popular sahaja berbanding dirinya.
“Orang pulak bila tengok seseorang penyanyi itu buat busking mereka dah secara otomatik downgrad kualiti diri Abang sebagai penyanyi low class. Dulu Abang high class singer sebab menyanyi untuk menteri, sultan dan korporat show. Tapi disebabkan menyanyi busking, orang tengok Abang low class singer. Kebanyakan orang pandang rendah walaupun Abang pernah nyanyi lagu jazz atau lagu rock… mereka tak tak pandang itu semua.
“Memang sejak dulu, penyanyi lagu patriotik dipandang rendah dan hina oleh sesetengah artis dan juga pemuzik. Ada yang kata lagu yang Abang nyanyi adalah lagu kerajaan sebab ia tidak ada komersial value. Tapi nampaknya sekarang, orang dah berebut-rebut nak nyanyi lagu patriotik. Baguslah mereka dah pandang mulia lagu patriotik.
“Alhamdulillah, disebabkan Abang ada menyanyi live dalam tik tok…orang dah mula nampak kebolehan Abang. Abang tak kisah, yang penting ada rezeki…lagipun nyawa kita ni pun tak lama.”
Ketika diminta mengimbau kenangan manis sewaktu beliau berada di puncak popularitinya, Roy berkata, beliau sering diundang ke istana-istana malah sering juga mewakili kerajaan sebagai penyanyi dan ‘duta kecil’ di luar negara.
“Kemampuannya menguasai dan menyampaikan lagu-lagu lama atau ‘oldies’ membuatkan namanya sering menjadi pilihan para Menteri dan juga Sultan. Boleh kata waktu itu, Abang juga dikategorikan ‘penyanyi elit’, namun kini semuanya sudah berakhir dan tidak membawa erti lagi.
“Mula-mula dulu memanglah abang ada rasa malu sikit. Ialah penyanyi yang sering berbaju glamour kini menyanyi di tepi jalan. Mula tu memang peminat terperanjat dengan keadaan Abang… tetapi demi kelangsungan hidup, Abang tak nak fikir banyak.”
Ditanya mengenai lagu kesukaannya Roy menambah,”Abang suka lagu jazz…tapi hakikatnya Abang suka muzik dan semua jenis lagu yang Abang nyanyi kerana keindahan lagu itu berbeza dan ada kelebihannya yang tersendiri
“Abang memang peminat muzik dan menyanyi bukan kerana nak glamour tapi disebabkan Abang cukup minat dan sukakan muzik. Kalau nak kejar glamour, dari dulu Abang dah glamour. Pakai cantik-cantik dan berlagak kaya atau tunjuk muka hensem Abang masa muda dulu. Abang sebenarnya `reserve’ artis…sebab Abang memang terlalu meminati bidang muzik.
“Kalau nak tahu,dulu Abang sering dipanggil untuk jadi penghias kulit muka depan majalah-majalah. Tapi syukurlah sekarang buat busking pun Abang boleh teruskan kehidupan. Kini ada juga show orang kahwin dan kadang RTM pun dah mula panggil menyanyi.
“Show ini ibarat bonus, manakala busking ini macam kerja pejabat. Sikit pun Alhamdulillah ada rezeki yang Allah nak bagi. Syukurlah kini anak-anak Abang dah besar semuanya.”
Roy yang dilahirkan pada 25 Oktober 1964 di Muar, Johor berkahwin dengan Haslinda Abdul Rahman. Hasil daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mohammad Ridhwan, Mohammad Rashidin dan Siti Aisyah.
Bercakap mengenai impiannya yang belum kesampaian, kata Roy, tak ada apa lagi yang Abang impikan. Abang dah dah pernah nyanyi ke luar negara dan tak ada apa yang Abang nak kejar sangat sekarang…janji dapat hidup dan mati dalam keadaan baik. Allah terima Abang…itu yang paling penting dan Abang reda dengan apa yang berlaku dalam hidup ini. Pada Abang, Allah adalah sebaik-baik pengurus bagi hamba-hambanya dan kini Abang berserah segala-galanya pada Allah.”
Suaranya yang mantap juga membuatkan Roy telah diberi penghormatan untuk menyanyikan sebuah lagu patriotik untuk kejohanan Sukan Komanwel 1998. Kini selain mengajar dan busking, Roy juga rajin membuat busking secara live dalam Tik Tok.
“Busking live ini baru lagi…Abang pun tak berapa pandai lagi main Tik Tok ni. Tapi Abang seronok dengan peminat Tik Tok ni lain, mereka begitu supportive…Abang selalu dapat hadiah…lepaslah duit kopi antara RM100 hingga RM200.
“Pada Abang, platform Tik Tok ini lebih pada publisiti dan promosi diri Abang. Kesannya cukup bagus buat diri Abang dan kini peminat yang rindu nak lihat wajah dan tengok Abang menyanyi dah boleh tengok Abang,” kata Roy yang kini diuji dengan sakit diabetis, gout, darah tinggi dan kolesterol yang kini semuanya terkawal.
Selain menyanyi dan menjadi pensyarah sambilan di UM dan UKM, Roy juga pernah menjadi jurulatih koir di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak, Perak selama 12 tahun, jurulatih loir Jabatan Ukur Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, APMM (Penguatkuasa Maritim) dan lain-lain lagi.
Satu waktu dulu, Roy bukan setakat menghiasi kaca televisyen dan paling sinonim dengan gelaran penyanyi patriotik. Beliau juga dipilih untuk melantunkan lagu 1Malaysia, Perpaduan Teras Kejayaan, Malaysiaku Gemilang dan Wawasan 2020.
Suaranya yang begitu mantap dan hebat tidak hairanlah pada tahun 1993, Roy pernah dicalonkan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki) pada Anugerah Industri Muzik Pertama. Manakala lagu Ratnaku turut dicalonkan bagi Lagu Terbaik dan kategori Pop Rock pada Anugerah Juara Lagu ke-8.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.