Oleh : SYED WAFA
Foto : Koleksi SYED WAFA
“Kuih…kuih…kuih…kuih,” itulah suara lunak seorang anak perempuan yang comel anak keempat daripada tujuh beradik yang menjual pelbagai jenis kuih di kawasan berhampiran Berek Polis Kampung Awah, Kuala Lipis, Pahang demi membantu keluarganya berniaga.
Meskipun usianya baru sembilan tahun ketika itu tetapi beliau yang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana dikatakan bangun seawal pukul 4.00 pagi demi membantu ibunya membuat dan menjual kuih dengan membuka sebuah gerai kecil di jalan utama.
‘Kesusahan’ bukan sahaja membantu beliau, anak seorang anggota polis, Allahyarham Tarudin Ismail, berpangkat koperal dan suri rumah juga peniaga kuih, Siti Salmah Bachik, untuk menjadi lebih berjimat ketika berbelanja malah menjadikannya lebih yakin apabila berkomunikasi dengan orang ramai.
Bukan itu sahaja, malah bagi beliau semua pengalaman itu telah membantunya meningkatkan kemahiran vokal beliau apabila menjerit untuk menarik perhatian pelanggan membeli kuih jualannya!
Dan…siapa sangka setelah 36 tahun, gadis sunti yang kini telah mencecah usia 45 tahun mencipta sejarah tersendiri apabila diberi penghormatan sebagai penerima “Anugerah Biduan Negara” dan beliau diwatikahkah sebagai Biduanita Negara pada anugerah khas di Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya baru-baru ini.
Beliau yang dimaksudkan adalah penyanyi tersohor, Datuk Sri Siti Nurhaliza yang mencipta sejarah sebagai penyanyi wanita yang ketiga menerima gelaran tersebut selepas Allahyarham Puan Sri Saloma (1978) dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada tahun 2006. Sementara seorang penerima Anugerah Biduan Negara adalah Allahyarham Tan Sri S. M Salim pada 2013.
Sebenarnya tidak semudah membilang 1,2 dan 3 untuk menerima anugerah Biduanita Negara kerana pelbagai aspek diambil kira.
Tetapi yang pastinya, anak jati Kuala Lipis yang pernah menjual kuih, membuktikan tiada sesuatu yang mustahil jika seseorang artis itu hadir dalam dunia seni dengan pelbagai keistimewaan selain bakat dan keperibadian yang terpuji!
Itulah Siti Nurhaliza, Juara Bintang HMI 1995, anugerah berkenaan bukan sekadar pengiktirafan terhadap kerjaya seninya tetapi ia juga didedikasikan buat semua penjuang seni tanahair kerana ia hadir dengan tanggungjawab untuk terus menabur bakti dalam bidang seni yang menjadi kesayangannya sejak hampir tiga dekad lalu.
Kejayaan Siti Nurhaliza menerima Anugerah ini diibaratkan ‘bagai sirih pulang ke gagang’ kerana selama 29 tahun melayari hidup sebagai anak seni, beliau yang digelar ‘Voice of Asia’ selepas memenangi Grand Prix Champion yang dianjurkan oleh Voice of Asia di Almaty, Kazakhstan pada tahun 2002.
Sepanjang penglibatannya sebagai anak seni, Siti Nurhaliza telah memenangi lebih 300 anugerah dan penghargaan daripada dalam dan luar negara dan merupakan satu-satunya penyanyi dan anak seni yang paling berjaya dalam industri hiburan Malaysia.
Tidak siapa menduga ketika Siti Nurhaliza mula melangkah kaki dalam industri negara, beliau yang sering dilabelkan sebagai ‘penyanyi kampung’ telah melakar kenangan dan kejayaan yang tidak pernah diduga.
Bukan mudah untuk seorang artis mencapai kejayaan sepertinya tetapi Siti Nurhaliza membuktikan tiada suatu yang mustahil jika kita menyantuni dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.
Realitinya hampir tiga dekad dalam dunia seni, beliau telah memenangi 43 Anugerah Industri Muzik, 25 Anugerah Bintang Popular, 28 Anugerah Planet Muzik, 20 Anugerah Juara Lagu, empat Anugerah MTV Asia, tiga Anugerah Muzik Dunia, dua Anugerah Muzik Indonesia, dua Anugerah Muzik Singapura dan pemegang bagi dua rekod dalam Malaysia Book of Records.
Sepanjang penglibatannya dalam industri muzik Malaysia, Siti Nurhaliza, isteri kepada ahli perniagaan Datuk Sri Khalid Mohd. Jiwa dan ibu kepada Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa, beliau telah merakamkan dan menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa selain bahasa Melayu iaitu lagu Inggeris, Indonesia, Jawa, Mandarin, Hindi, Arab dan Jepun.
Anugerah yang diraih Siti Nurhaliza tidak semudah yang disangka kerana pelbagai aspek diambil kira antaranya penjualan album.
Berbekalkan 16 album studio, dua album duet, lapan album konsert, 11 album kompilasi dan 250 lagu single, sehingga kini jualan album beliau telah mencecah 5 juta unit!
Seperti ramai yang tahu untuk menembusi industri seni di Indonesia tidak semudah yang dijangka tetapi Siti Nurhaliza membuktikan tiada sesuatu yang mustahil jika ia disantuni dengan bakat, jujur dan jalan yang betul!
Akhirnya terbukti bahawasanya Siti Nurhaliza bukan sahaja merupakan satu-satunya artis Malaysia yang masih kekal sebagai artis luar negara yang paling popular dan menduduki tempat pertama di Indonesia, malah beliau adalah artis yang paling berpengaruh di Kepulauan Melayu, Rantau Nusantara dan Asia Tenggara.
Buktinya beliau telah memenangi sebanyak 10 kali berturut-turut anugerah bagi kategori Artis Serantau Paling Popular sehingga mengalahkan artis-artis lain dari Malaysia, Singapura dan Indonesia di Anugerah Planet Muzik bermula sejak tahun 2001 sehingga 2011.
Bukan itu sahaja, malah kini Siti Nurhaliza “Living Legend” tersenarai sebagai artis yang paling berpengaruh, paling banyak memenangi anugerah dan paling banyak menerbitkan single dan merupakan satu-satunya artis Malaysia yang paling laris penjualan albumnya.
Malah selepas dua tahun bergelar artis, pada tahun 1998, Siti Nurhaliza adalah antara artis yang dipilih untuk menyanyi pada persembahan penutup Sukan Komanwel 1998 di hadapan Ratu Elizabeth II, Putera Philip, Duke Edinburgh serta para delegasi dan pegawai dari 70 negara yang terdiri daripada Negara-Negara Komanwel.
Pada tahun 2005, Siti Nurhaliza menjadi artis pertama dari Asia Tenggara dan ketiga Asia mengadakan konsert secara solo di Royal Albert Hall, London dengan diiringi Orkestra Simfoni London!
Walaupun pada awal kemunculannya beliau pernah dilabelkan sebagai ‘penyanyi kampung’ kerana fesyennya yang sederhana dan enggan bergambar dengan lelaki walaupun untuk ‘cover majalah’ kerana tanggungjawab sosial yang harus dipikul tetapi imejnya itu mendapat pujian dari golongan cendikiawan Islam dari Malaysia dan Indonesia.
Bagi Wafa (Penulis) yang mengenali Siti Nurhaliza sejak di awal pembabitannya dalam bidang seni, seorang “budak sekolah” yang pernah jual kuih ini memang selayaknya mendapat anugerah tersebut.
Mengenali Siti, beliau bukan sahaja masih kekal popular di Indonesia yang merupakan sebuah negara yang amat payah ditembusi artis dari luar malah dia adalah seorang artis yang ‘down to earth’ meskipun sudah bergelar Penghibur No: 1 Negara.
Pada awal kemunculannya, saya juga pernah meramalkan Siti akan menjadi penyanyi no 1 Malaysia melalui lakaran kartun yang saya lukis di Utusan Malaysia, sisipan Remaja pada 31 Mei 1996 melalui ruangan “Gelagat Artis” yang dikelolokan oleh saya sendiri. Dengan berani saya tulis di situ impian Siti untuk bergelar artis no 1 Malaysia, syukur pada Allah akhirnya tercapai…Amin.
Saya juga banyak berkerjasama dengan Siti antaranya pada final Anugerah Juara Lagu ke-13 pada tahun 1998 apabila beliau menghubungi saya untuk mendapatkan lukisan gambar pelakon Superman drama siri telivisyen iaitu Dean Cain sebagai props untuk lagu ‘Wajah Kekasih’, setelah lapan tahun baru saya sedar wajah pelakon tersebut mirip Datuk K, akhirnya impian Siti untuk memiliki seoarang suami wajah seperti pelakon tampan tersebut tercapai.
Walaupun ketika itu hanya ada tempuh dua hari sebelum final tetapi hasrat Siti itu dapat saya penuhi. Sejak itu kami bersahabat dan beliau banyak menyertai persembahan hiburan seluruh Malaysia yang diuruskan oleh syarikat saya.
Bukan itu sahaja, sepanjang mengikuti persembahan hiburan yang saya kendalikan, Siti bukan sahaja seorang artis berkarisman malah dia amat berdisiplin, komitmen dan memang tidak ada siapa yang boleh ‘melawan’ Siti Nurhaliza.
Doa saya dan kami di Ladybosz, semoga Siti Nurhaliza akan terus berjaya dalam bidang yang diceburi dan seorang “Biduanita Negara” yang sentiasa di hati rakyat Malaysia… Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.