Oleh: SYED WAFA
Foto: KOLEKSI SYED WAFA
APABILA sebut nama biduanita legenda, Sanisah Huri pasti para peminatnya tidak akan melupakan kehebatan penyanyi kecil molek ini yang mula mencipta nama sejak era 1960-an dan masih diminati sehingga hari ini.
Siapa sangka, Sanisah Huri yang mulanya seorang penari akhirnya berpeluang mempamerkan bakatnya sebagai penyanyi dalam satu majlis kahwin apabila beliau melahirkan hasratnya untuk menyanyi kepada ketua band “The Terwellos” dan sejak itu telah membuka ruang beliau melebarkan sayapnya sebagai penyanyi.
“Saya masih ingat lagi pada majlis kahwin itu saya memberanikan diri untuk menyanyi dan peluang yang diberi oleh pemimpin band “The Terwellos” akhirnya telah membuka ruang untuk saya menyanyi di majlis-majlis orang kahwin setiap minggu.
“Bermula dari situ minat menyanyi semakin kuat dan apabila pihak Shaw Brothers menganjurkan ujibakat mencari penari untuk filem ‘A Go Go 67’ saya mencuba nasib.
“Ujibakat itu dikendalikan oleh Pengarah Omar Rojik dan Kassim Masdor. Alhamdulillah…saya berjaya dan terpilih untuk menyanyikan lagu ‘Siapa Gerangan’ dalam filem berkenaan. Sejak itulah bermulanya perjalanan seni saya sebagai penyanyi sehingga hari ini,” cerita Sanisah Huri ketika Wafa (Penulis) temui beliau di sebuah majlis anjuran Arkib Negara di Pulau Pinang tidak lama dulu.
Sejak itu, Sanisah Huri menjadi artis rakaman EMI Singapura dengan kebanyakan lagu-lagu yang dirakam adalah ciptaan Kassim Masdor dengan lirik oleh Yusnor Ef.
“Sampai hari ini saya tidak akan lupakan jasa Allahyarham Kassim Masdor yang banyak memberi peluang saya merakamkan lagu-lagu ciptaannya dengan lirik oleh Yusnor Ef yang lebih mesra disapa Cikgu.
“Banyak kenangan saya bersama dua legenda ini yang mana ia membantu saya menjadi Sanisah Huri hari ini.
“Selalunya selepas recording…saya, Abang Kassim dan Cikgu…kami akan pergi makan bersama. Masa inilah Arwah Abang Kassim dan Cikgu mencari idea untuk lagu terbaru saya.
“Beliau adalah seorang komposer yang tidak lokek tunjuk ajar saya ketika menyanyi. Kadangkala bila menyanyi tak betul dia akan tunjukkan cara menyanyi dan beliau banyak mengajar saya untuk menjadi seorang bintang!
“Ketika rakaman barulah saya tahu bagaimana suara seseorang penyanyi boleh menjadi ‘sedap didengar.’
Banyak rahsia yang Arwah berkongsi dengan saya yang mana Arwah mengajar teknik-teknik menyanyi yang boleh membuatkan suara seseorang penyanyi sentiasa sedap didengar.
“Bukan itu sahaja, malah menurut Cikgu ketika rakaman berlangsung lampu dalam studio juga memainkan peranan. Beliau akan suruh lampu studio ditukar kerana cahayanya akan memberi ‘feel’ ketika penyanyi sedang menjalani rakaman.
“Patutlah ketika rakaman saya tengok cahaya lampu bertukar-tukar kerana bagi beliau ia akan memberi penyanyi ‘feel’ kerana kalau cahaya tak sesuai ia akan menjejaskan ‘feeling’ penyanyi!
“Satu lagi menurut Cikgu, beliau juga seorang yang amat cerewet mengenai lirik. Kadangkala lirik ditukar-tukar mengikut kemahuan beliau. Sebagai penulis lirik yang sudah lama bekerjasama, Cikgu akan tukar mengikut kemahuannya kerana cerewet beliau menghasilkan karya yang terbaik!
“Itulah pencipta tersohor Kassim Masdor. Gandingan beliau dan Cikgu memang mantap dan banyak menghasilkan lagu-lagu nyanyian saya yang malar segar sehingga hari ini,”cerita Sanisah Huri sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada Allahyarham Kassim Masdor dan Yusnor Ef yang banyak berjasa pada kerjaya seninya sehingga beliau dikenali sampai hari ini.
Sejak menjadi artis rakaman bermula dengan EMI (1971-1974), Sanisah Huri
merakamkan banyak lagu-lagu hits antaranya Semenjak Berjauhan, Permata Hatiku, Kisah Tuah Dan Tijah, Indah Di Sepanjang Perkenalan, Tari Tualang Tiga, Joget Menanti Jodoh, Kau Disayang dan Taj Mahal.
Beliau kemudian berhijrah ke Senada Records (1975-1978) milik Kassim Masdor. Selain menyanyi solo “Kisah Cinta,” Sanisah juga berduet dengan A. Ramlie untuk dua buah lagu dangdut iaitu “Rambut” dan “Hello Hello Sayang.”
Sementara dengan M. Ramlee dalam lagu “Wajah Cermin Hatimu.”
Gandingan Kassim Masdor sebagai komposer dan penulis lirik, Cikgu Yusnor Ef telah melahirkan banyak lagu popular nyanyian Sanisah Huri antaranya Sedih Sekelip Mata, Gelisah, Kisah Tuah dan Tijah, Tahun Sedih Bagiku, Aku Bintangmu, Belum Masanya dan Joget Malam Berinai.
Sepanjang menjadi penyanyi sepenuh masa sejak tahun 1967 sehingga 1978, Sanisah Huri telah merakamkan hampir 30 album antaranya 17 album dalam bentuk EP, enam album studio dan lima album lain di bawah syarikat rakaman EMI, Senada dan WEA.
Sehingga kini Sanisah Huri masih aktif dalam bidang seni dan banyak terima undangan menyanyi terutamanya di Malaysia dan Singapura.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga Sanisah Huri dianugerahkan kesihatan yang baik dan dirahmati Allah SWT selalu… Amin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.