MEMILIKI wajah yang manis dan menarik tidak hairanlah Teh Faridah dimahkotakan sebagai Miss Perak dan Miss Malaysia pada tahun 1976.

Oleh: SYED WAFA
Foto: KOLEKSI SYED WAFA

WALAUPUN kehadirannya sebagai pelakon pada akhir tahun 1970-an sehingga awal 1980-an hanya seketika namun tidak dinafikan namanya tetap mewarnai industri filem Melayu dan begitu digilai oleh peminat ketika itu.

Sebabnya kehadiran beliau bukan sekadar berbekalkan wajah yang manis menawan malah ia turut dianugerahkan bakat sebagai pelakon.

TEH Faridah ketika mewakili Miss Malaysia di Miss Universe pada tahun 1976 di Hong Kong.

Itulah seniwati legenda Teh Faridah Ahmad Norizan atau lebih dikenali Teh Faridah kelahiran Kuala Kangsar, Perak. Sebelum terkenal sebagai pelakon, beliau lebih dahulu dikenali sebagai Miss Perak (1976) dan Miss Malaysia pada tahun yang sama.

Selepas dimahkotakan sebagai Miss Malaysia 1976, Teh Faridah mewakili negara pada Miss Universe 1976 di Hong Kong. Sayangnya nasib tidak menyebelahi beliau kerana hanya muncul di peringkat awal sahaja. Namun sedikitpun beliau tidak terkilan.

TEH Faridah ketika menyertai Miss Universe pada tahun 1976 di Hong Kong bersama peserta dari luar negara.

Pada pertemuan dengan Teh Faridah tidak lama dahulu, Wafa (Penulis) yang juga merupakan sepupu beliau, cuba mendasari hati seniwati jelita inu apakah ‘kegagalan’ itu melukakan hatinya…sambil tersenyum beliau berkata;

“Kalah menang adalah adat bertanding dan semua itu ketentuan-Nya. Sampai saat ini saya tidak pernah rasa kecewa bukan sahaja sebab telah dua kali dimahkotakan sebagai ‘Ratu’ tetapi apa yang membuatkan saya ‘happy’ kerana ada pengalaman indah yang telah mencatatkan sejarah dalam perjalanan hidup saya yang tidak mungkin akan berulang lagi.”

MUHAMMAD Ali yang datang ke Kuala Lumpur untuk acara tinju bersama Joe Bugner pada 1 Julai 1975 juga meminati Teh Faridah yang cantik dan mempunyai senyuman menawan.
MUHAMMAD Ali menghadiahkan sekeping fotonya dengan kata-kata menarik tulisan tangan buat Teh Faridah.

Apabila ditanya tanpa berselindung, dengan tenang Teh Faridah memberitahu Wafa;

“Sebelum dua kali dimahkotakan sebagai ‘Ratu’ saya mendapat hadiah paling bermakna ketika menghadiri satu majlis makan malam meraikan kedatangan Peninju Dunia, Muhammad Ali yang akan berlawan dengan Joe Bugner pada 1 Julai 1975 di Stadium Merdeka.

“Saya ingat lagi, waktu itu Muhammad Ali diraikan dalam satu majlis makan malam dan saya turut hadir. Entah kenapa tiba-tiba beliau memanggil saya dan menghadiahkan sekeping gambar beliau yang mencatatkan kata-kata semangat untuk saya sebagai kenang-kenangan.

TEH Faridah…yang pernah diminati oleh Peninju terkanal dunia dan Aktivis, Muhammad Ali.

“Walaupun tulisannya kini pudar sedikit tetapi sampai hari ini saya masih simpan gambar itu sebagai kenang-kenangan yang amat bermakna dalam hidup saya daripada Muhammad Ali.”

Menurut Teh Faridah, beliau tidak pernah kecewa atau terkilan apabila tidak meraih gelaran ‘Miss Universe’ di Hong Kong kerana kemenangan yang diraih pada Miss Perak dan Miss Malaysia pada tahun 1976 telah memberi ruang untuknya menceburi bidang lakonan.

TEH Faridah sebagai Cempaka bersama Deddy M. Borhan sebagai Kelana dalam satu babak filem “Pendekar.”
TEH Faridah salah satu babak lakonan beliau sebagai Cempaka bersama Deddy M. Borhan sebagai Kelana dalam satu babak filem “Pendekar.”

Teh Faridah memberitahu, setelah dimahkotakan sebagai Miss Malaysia, ia telah membuka ruang untuk beliau ‘melebarkan sayapnya’ sebagai pelakon dengan filem pertamanya “Pendekar” diikuti “Loceng Maut.” Kedua-dua filem bercorak purba ini diterbitkan pada tahun 1977.

“Pendekar” terbitan Sabah Filem Production arahan M. Amin menemukan Teh Faridah sebagai Cempaka dengan Deddy M. Borhan (Kelana), Aziz Jaafar, Farouk Afero (Alang Pendekar), Malek Selamat, Normadiah, Ibrahim Pendek dan A. Rahim.

“LOCENG Maut” pada tahun 1977 merupakan filem kedua lakonan Teh Faridah arahan Nas Achnas menyerlahkan lagi bakatnya dalam bidang lakonan.
TEH Faridah dipilih menjadi ‘Cover Girl” majalah UTUSAN RADIO DAN TV yang mana kemudiannya dikenali sebagai majalah URTV.

“Pendekar” membawa kisah mengenai Demang, ketua Kampung Tanjung Pura yang sakit dan mempunyai banyak harta tiba-tiba teringat akan anaknya, Kelana melalui perkahwinan rahsia yang tinggal di Permatang Tinggi. Hasrat beliau mahu Kelana mengambil alih pemerintahannya tetapi gagal kerana sifat tamak abang iparnya, Alang Pendekar (Farouk Afero) yang menghantar kuncu-kuncunya untuk memusnahkan keturunan Demang demi harta!

Setelah “Pendekar,” Teh Faridah ditawarkan berlakon filem “Loceng Maut” arahan Nas Achnas terbitan Merdeka Filem Studio.

TURUT berlakon dalam filem “Dendang Perantau” pada tahun 1979.
WAJAH jelita Teh Faridah yang begitu diminati peminat filem Melayu ketika itu.

Sementara pada tahun 1979, Teh Faridah ditawarkan berlakon dua filem lagi iaitu “Dendang Perantau” diikuti “Sumber Ilhamku.”

“Dendang Perantau” terbitan Varia Film Productions dengan penerbitnya, Datuk Mustafa Ton diarahkan oleh Datuk Jamil Sulong. Filem ini dibintangi Latiff Ibrahim, Uji Rashid, Datuk Hail Amir dan Teh Faridah.

TEH Faidah juga berlakon dalam filem “Sumber Ilhamku” pada tahun 1980.
TEH Faridah sering menjadi pilihan majalah hiburan terkenal tanah air untuk menghiasi muka depan.
Bersama Broery Marantika, Teh Faridah dipilih menjadi ‘Cover Girl’ Majalah Utusan Filem & Fesyen keluaran Januari 1977.

Teh Faridah turut berlakon dalam filem “Sumber Ilhamku” terbitan syarikat milik, Syed Kecik Syed Mohamed pada tahun 1980 dan filem terakhir beliau “Perjanjian Syaitan” pada tahun 1981.

Setelah lima filem berkenaan, Teh Faridah mengundurkan diri dari bidang lakonan dan menumpukan sepenuh perhatian pada rumahtangga.

FILEM terakhir Teh Faridah, “Perjanjian Syaitan” yang diterbitkan pada tahun 1981.

Khabarnya, ada beberapa tawaran yang diterima tetapi Teh Faridah menolaknya dengan baik kerana kini baginya bersama keluarga lebih utama.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga Teh Faridah hidup bahagia bersama keluarga tersayang dan dirahmati oleh Allah SWT…Amin.

MASIH jelita…Wafa (Penulis) mengabadikan kenangan bersama Teh Faridah yang juga merupakan sepupu beliau ketika bertemu beberapa tahun lalu di Concorde Hotel, Kuala Lumpur.
Previous articleNormah Damanhuri takut bawa watak hantu?
Next articleRahsia Hati Tenang!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here