Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Aaron Aziz/Koleksi Syed Wafa
PASTI ada yang tidak sabar untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai drama “Din Tiger” arahan Datuk Afdlin Shauki yang bersiaran sejak 6 Januari lalu, setiap Isnin, jam 11 malam di DEGUP HD, Saluran 120 di Unifi TV.
Peneraju utama kisah tentang scammer atau sindiket penipuan itu digalas oleh Datuk Aaron Aziz yang melakonkan watak Din Tiger. Aaron yang terkenal dengan lakonan aksinya mengakui untuk drama lapan episode itu, beliau tidak perlu ‘bertarung’ ganas, sebaliknya lebih kepada menggunakan akal fikiran.
Katanya, untuk melakonkan watak Din Tiger, beliau tidak perlu nampak macam gengster seperti karakter antagonis yang pernah dilakonkan dalam filem ‘Evolusi: KL Drift’ (2008) atau KL Gengster 1 & 2’ kerana karakter tersebut berubah daripada jahat menjadi baik.

“Saya tak perlu nampak macam gengster sangat. Watak Din Tiger adalah seorang yang scam orang kemudian dia berubah dan memusnahkan empayar yang dia bina. Jadi watak Din Tiger ini memang berbeza dan saya anggap itu satu cabaran.
“Di mana kita nak menang bukan melalui tangan, situasi dalam setiap babak itu saya perlu menang menggunakan kepala otak dan semangat saya. Ada beberapa adegan aksi tapi tak kuat sangat sebab karakter Din Tiger ni bukan fighter. Bila ada adegan lawan tu tak boleh terlalu ganas sangat.
“Sewaktu ditawar berlakon drama ini, saya terus kata okey sebab jalan ceritanya tentang scammer. Saya secara peribadi memang tak suka scammer walaupun sering berlaku dalam kehidupan kita. Saya terima pun sebab belum ada lagi cerita tentang scammer yang kita boleh ajar kepada orang ramai tentang scammer ini,” katanya.

Tambah Aaron lagi, selepas bertemu dengan pengarah dan tahu jalan ceritanya macam mana, beliau terus terima tawaran tersebut kerana watak yang dibawa berbeza.
Terus terang Aaron beritahu yang beliau tidak mahu lagi melakonkan watak orang kaya moden yang kemudiannya berkahwin dengan perempuan kampung seperti drama ‘Suamiku Encik Perfect 10’, ‘Tuan Anas Mikael’, ‘Ombak Rindu’ atau ‘Tentang Dia’.
Jelasnya, pada usia 49 tahun, beliau perlu lebih selektif dan bukan menolak seratus peratus tentang watak lelaki kaya sebegitu atau melakonkan karakter gengster.
Tambahnya kalau ada sedikit keganasan pun beliau terpaksa memilih juga supaya tidak mengulangi aksi yang pernah dilakonkan dalam filem-filem sebelum ini.

“Hingga kini saya masih lagi ditawar watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Saya tak menolak tapi selalunya saya akan bincang dengan pengarah dan penerbit, boleh tak kita tukar beberapa bahagian.
“Tidak dinafikan minat saya masih tetap pada aksi dan love story tapi jika kita nak ‘berlawan’ dengan karya luar kita perlu perubahan kerana sekarang ada Netflex dan OTT (Over The Top) yang lain, orang dah tengok banyak cerita terutamanya drama Korea. Mereka ada storyline yang baik dan drama kita pun kalah dengan mereka.
“Bila penonton dah tengok drama sebegitu, jadi mereka harapkan drama kita pun kualiti macam tu. Adalah tanggungjawab kita untuk capai ke tahap itu kerana sekarang ini sudah mudah kerana adanya platform penstrimen sebegitu,” katanya yang pernah diangkat sebagai pemenang trofi Couple Filem Popular menerusi kategori Ekstra! Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 bersama Nadiya Nisaa menerusi filem lakonan bersama, ‘Dekatnya Cinta’.

Aaron atau nama penuhnya Aaron Mustapha Aziz, suami kepada Datin Diyana Halik serta bapa kepada Danish Anaqi, Dwi Ariana dan Dahlia Arissa itu memulakan kerjaya lakonannya pada 2001 menerusi drama ‘Cinta Bollywood’ di negara kelahirannya, Singapura.
Menerusi watak Shahril dalam drama dua musim itu, nama beliau sebagai pendatang baharu terus naik dan sekali gus memberi peluang kepada Aaron untuk membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Pesta Perdana 2002.
Kejayaan yang diraih itu memberi peluang kepada Aaron untuk melakonkan watak utama dalam drama bersiri Mandarin, ‘A War Diary’ yang disiarkan di MediaCorp Saluran 5. Malah Aaron juga pernah tampil sebagai pelakon undangan sitkom ‘Phua Chu Kang’ sebagai Yusof Ahmad untuk musim keenam.
Nama Aaron benar-benar menyerlah selepas beliau berhijrah ke Malaysia pada 2004 dan kesempatan pertama yang diperoleh bagi memulakan kerjaya di Malaysia adalah menerusi drama ‘Haryati’ (2004) sebagai pelakon pembantu.

Rezeki Aaron bukan sekadar dalam bidang lakonan, populariti namanya membuat beliau turut ditawar menjadi duta untuk pelbagai produk termasuklah Drive M7, Maggi dan L’Oreal.
Aaron yang pernah diberi tanggungjawab sebagai pengacara untuk program ‘Fear Factor’ itu juga pernah menduduki kerusi pengarah untuk filem pertama arahannya iaitu ‘Romeo Kota’ pada 2015 selain turut berlakon dalam karya tersebut sebagai Inspektor Romi. Manakala filem kedua arahannya, ‘Sayu Yang Syukur’ lakonan Nora Danish sebagai Liyana dan beliau sendiri berlakon sebagai Qudaim.
Meskipun sudah mencuba pelbagai bidang dan matang dalam dunia lakonan, sejujurnya kata Aaron beliau tidak terkesan jika ditawarkan watak pembantu. Sebaliknya, beliau bersyukur kerana hingga kini tawaran berlakon tidak pernah putus.

“Alhamdulillah masih diberi kepercayaan tak kisahlah watak utama atau pembantu kerana kekadang watak pembantu itu lebih menarik daripada watak utama. Pada saya bukan satu masalah pun kerana itu adalah asam garam dalam dunia lakonan. Apa yang penting, bagaimana saya nak ‘hidupkan’ watak yang dipertanggungjawabkan kepada saya itu.
“Kalau pengarah yang sudah pernah bekerja dengan kita lebih mudah kerana dia tahu kerja kita macam mana. Untuk ‘Din Tiger’ ini, Datuk Afdlin sangat easy going. Dia guide apa yang dia nak tapi selebihnya terpulang kepada pelakon nak buat macam mana. Lagipun bila berlakon untuk platform OTT ada sedikit kelonggaran berbanding lakonan untuk drama TV.
“Untuk drama TV kita perlu ikut skrip dan tak boleh buat perubahan sesuka hati takut kena tapis nanti. Saya suka karakter yang raw di mana benda itu kenyataan. Saya jenis yang tak suka baca skrip tapi saya lebih kepada baca dialog. Kadang-kadang ada penulis skrip pandai tulis skrip tapi bukan dialog. Bila kita nak berdialog kita tak boleh ikut macam mana penulis skrip tulis,” katanya yang pernah berlakon dalam filem Hong Kong berjudul ‘Undercover Punch and Gun pada 2019.

Aaron yang dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada pada 16 Disember 2017 yang membawa gelaran Datuk berharap drama ‘Din Tiger’ dapat membuka mata orang ramai agar lebih peka tentang panggilan daripada scammer.
Secara peribadi kata Aaron, beliau juga pernah kena scam dengan pihak yang tidak bertanggungjawab kerana menggunakan wajahnya untuk menipu orang ramai.
“Saya bukan kena scam dari segi mata wang tapi menggunakan imej saya. Dalam TikTok itu dia menggunakan imej dan suara saya untuk menjual baju. Bila saya hantar orang pergi ke kilang itu, wakil kilang itu mengaku baju yang dijual dalam TikTok dibuat di kilang tersebut. Kilang cakap bukan mereka scam tapi bagi kepada ejen, sebab banyak sangat tangan atas tangan, kita nak kesan pun susah.
“Orang yang tak tahu kisah sebenar apabila tengok wajah saya di situ, ingat saya yang keluarkan produk tersebut. Selain itu, pembantu rumah saya pun pernah kena scam. Simpanannya RM4,000 lesap sebab dia selalu buat panggilan ke kampung dan tiba-tiba Maxis hantar mesej kata dia menang dan apabila dia tekan link tersebut wang simpanannya lesap.

“Saya paling benci apabila orang scam kata nak jumpa untuk bincang pasal projek filem berjuta-juta. Kita datang bawa proposal, lepas habis mesyuarat, ambil gambar tapi tak ada cerita seterusnya. Tujuan dia bergambar dengan kita adalah untuk dia tunjuk kepada pelabur yang dia dah berunding dengan Aaron Aziz dan sekian-sekian.
“Apabila pelabur tengok gambar dia dengan pelakon, mereka pun percaya. Sampai sekarang ini masih lagi bercakap besar tapi haram satu projek pun tak jadi. Kena scam untuk mengambil gambar tu banyak kali. Bukan setakat filem tapi ada juga janji nak buat produk tapi senyap begitu saja. Dia menggunakan gambar yang diambil bersama kita sedangkan kita belum tandatangani.
“Sekarang scammer menggunakan kontrak pula, bila kita tandatangani kontrak kalau berlaku sesuatu kita tak boleh saman mereka balik sebab ada klausa yang kita tak perasan. Sebab itu sebelum tandatangani pastikan klausa dalam kontrak difahami dengan betul dan tidak makan diri sendiri balik.
“Untuk elak perkara yang sama terjadi, saya dan isteri buat keputusan kalau betul nak jalin kerjasama dengan saya, kena bayar deposit dulu sekurang-kurangnya RM20,000 minimum. Kemudian baru kita bincang,” katanya.

Selain itu, Aaron juga melebarkan sayapnya dalam dunia perniagaan dengan menjadi rakan kongsi kepada syarikat umrah dan percutian terkenal, Persada Global Holidays.
Kata Aaron, kerjasama dengan Persada Global Holidays kerana reputasi syarikat itu dalam menyediakan pakej umrah dan pelancongan berkualiti tinggi.
“Mereka mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan perjalanan, sekali gus berjaya membina kepercayaan ramai pelanggan sejak penubuhannya.
“Saya amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Persada Global Holidays. Ini adalah peluang bagi saya untuk membantu lebih ramai orang merealisasikan impian mereka, sama ada untuk menunaikan ibadah umrah atau menikmati percutian yang indah,” katanya yang turut terlibat dalam pembikinan filem baharu bersama Global Station.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.