SENIWATI Legenda Zaiton…kerana memiliki kecantikan semulajadi membuatkan beliau sering menjadi rebutan pengarah-pengarah filem Studio Jalan Ampas untuk membintangi filem arahan mereka.

Oleh: SYED WAFA
Foto: Ehsan Seniwati Zaiton/Koleksi Syed Wafa

APABILA bercakap tentang para pelakon filem Melayu pada era 1960-an, pastinya nama Seniwati Legenda Zaiton akan tetap menjadi ingatan anda kerana kemunculannya dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sentiasa dekat di hati para peminat sehingga hari ini.

Walaupun selama 13 tahun mewarnai dunia filem Melayu ketika itu dengan membintangi 27 filem bermula sebagai pelakon tambahan dalam filem “Abu Hassan Penchuri” dan “Kipas Hikmat” terbitan tahun 1955 dan filem terbitan Filipina “The Golden Trumpet” (1959).

FILEM “Abu Hassan Penchuri” pada tahun 1955, Seniwati Zaiton berlakon sebagai pelakon tambahan.

Sayangnya filem “The Golden Trumpet” arahan T.C Santos yang berasal dari Filipina yang merupakan pengarah filem “Taufan” (1957) tidak dapat diteruskan walaupun pada mulanya mendapat ‘lampu hijau’ daripada Run Run Shaw mengarah sebuah filem Filipino dengan menggabungkan hero popular mereka bernama Jaime Dela Rosa yang akhirnya berkahwin dengan gadis Melayu lakonan Seniwati Zaiton.

Bagaimanapun pada pertengahan penggambaran disebabkan bajet tidak cukup Santos meminta bajet tambahan namun Run Run Shaw tidak bersetuju meskipun terpaksa berdepan dengan kerugian dan ini membuatkan Santos merajuk lalu meninggalkan produksi berkenaan bersama hero dan beberapa orang kanannya.

FILEM “Kipas Hikmat” arahan S. Ramanathan diterbitkan pada tahun 1955. Selain Zaiton filem ini turut membariskan dengan bintang utamanya Yusof Latiff, Mariam, S. Kadarisman, Salmah Ibrahim, Nordin Ahmad, S. Shamsuddin dan Ibrahim Pendek.

Namun dua tahun kemudian, Run Run Shaw telah mengubah skrip “The Golden Trumpet” menjadi filem Hong Kong yang dibintangi pelakon popular mereka yang pernah membintangi filem Melayu iaitu Paul Chang Chung (Sri Menanti) dan heroinnya Fanny Fan yang kemudiannya berlakon dengan Jins Shamsuddin dalam filem “Bayangan Ajal.”

Walaupun filem “The Golden Trumpet” tidak dapat diteruskan namun kemunculan Zaiton dalam empat filem arahan Seniman Agong itu dikatakan telah ‘meletakkan beliau sebagai salah seorang seniwati berbakat’ yang sentiasa menjadi rebutan para pengarah ketika itu.

P. RAMLEE sebagai Hang Tuah dan Zaiton sebagai Tun Teja…akhirnya ‘meninggal luka’ yang dalam
di hati Tun Teja apa beliau tahu Hang Tuah tidak menyintainya sebaliknya Tun Teja akan dijodohkan dengan Sultan Melaka
ZAITON sebagai pasangan suami isteri bersama P. Ramlee dalam filem “Anakku Sazali” pada tahun 1956.

Empat filem terbitan Malay Film Productions arahan P.Ramlee yang telah meletakkan nama Zaiton sebaris dengan pelakon popular ketika itu antaranya Seniwati Siput Sarawak dan Seniwati Datin Saadiah adalah filem “Bujang Lapok” (1957), “Ali Baba Bujang Lapok” (1960), “Seniman Bujang Lapok” (1961) dan “Ibu Mertuaku.”

Melalui empat filem ini, Zaiton yang mulanya sedang belajar menjahit sulam di sebuah kedai jahit di Geylang Serai diibaratkan sebagai sebutir bintang yang bersinar yang mana akhirnya menjadi seniwati terkenal dan diminati ramai.

PASANGAN suami isteri yang sungguh romantik dalam filem “Anakku Sazali”…Zaiton dan P. Ramlee.
SATU babak dari filem “Anakku Sazali” … lakonan
P. Ramlee (Hassan) dan Zaiton (Mahani).
Melalui filem ini P. Ramlee telah dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik sementara Tony Castello dianugerahkan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik Ke-4 pada tahun 1957.

Imbas kembali watak ‘ikoniknya’ sebagai Zaiton (Jeton) dalam filem “Bujang Lapok” (1957) yang ‘cinta mati’ terhadap Abang Sudin (Allahyarham Seniman S. Shamsuddin) membuatkan para penonton terhibur meskipun filem itu sudah berusia enam dekad.

Betapa tidak ‘kod rahsia’ dengan membunyikan botol menandakan ‘Jeton’ dan ‘Abang Sudin’ akan berjumpa secara rahsia bagi membincangkan ke mana akhirnya hubungan mereka walaupun kadangkala membuatkan mereka cemas apabila muncul ‘Ayu 20 sen’ tetapi itulah babak unik yang paling dinanti-nantikan penonton.

PASANGAN kekasih akhirnya menjadi suami-isteri…Hassan (P.Ramlee) dan Mahani (Zaiton) dalam satu babak filem “Anakku Sazali.”
SENIWATI dari Studio
Jalan Ampas (dari kiri) Hashimah Yon, Zaiton, Datuk Rosnani, Seniman Salleh Kamil dan Saloma bergambar kenangan bersama aktres Hollywood, Elizabeth Taylor.

Ironinya walaupun hubungan cinta ‘antara dua darjat’ mulanya berdepan dengan masalah, tetapi akhirnya kebahagiaan menjadi milik Jeton dan Abang Sudin.

Bukan itu sahaja, malah watak ‘ikonik’ Chombi dalam filem “Ibu Mertuaku” bukan sahaja mengukuhkan nama dan populariti Zaiton, malah ia juga membuatkan beliau tahu ‘rahsia peribadi’ P. Ramlee!

KISAH cinta yang lucu tetapi tetap setia antara Jeton dengan Abang Sudin dalam filem komedi “Bujang Lapok.”
FILEM “Batu Belah Batu Bertangkup” arahan Jamil Sulong yang diterbitkan pada tahun 1959 dibintangi oleh Aziz Jaafar, Zaiton, Salleh Ghani, Neng Yatimah, Salleh Kamil dan S. Kadarisman.

Menurut Seniwati Zaiton yang lebih mesra disapa ‘Umi’ ketika Wafa interbiu beliau ketika menyertai FINAS ke Singapura untuk mengundang beliau hadir ke Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM 32) yang berlangsung di Encore Theatre, Melaka pada 2 Disember 2022 laku berkata;

“Walaupun Umi mula berlakon filem arahan B.N Rao (Abu Hassan Penchuri- 1955) dan tujuh filem dengan Arwah Datuk Jamil Sulong antaranya ‘Batu Belah Batu Bertangkup (1959), Lela Manja (1960), Si Tanggang (1961) dan filem terakhir, Raja Bersiong’ (1968) tetapi sampai hari ini Umi tak akan lupa berlakon filem Abang Ramlee.

ZAITON bersama hero popular dari Filipina, Jaime Dela Rosa dalam satu babak filem “The Golden Trumpet.”
Sayangnya disebabkan permintaan pengarahnya, TC Santos untuk penambahan bajet penerbitan untuk filem ini ditolak oleh Run Run Shaw, Santos merajuk dan meninggalkan produksi itu bersana hero dan orang-orang kanannya!
PADA zaman popularnya…Zaiton sering menjadi penghias muka depan majalah hiburan antaranya BERITA FILEM.

“Umi berlakon empat filem arahan Abang Ramlee tetapi filem ‘Ibu Mertuaku’ bukan sahaja meninggalkan kesan yang mendalam di hati Umi malah secara tak langsung Umi tahu rahsia Abang Ramlee.

“Kalau para peminat masih ingat babak Umi sebagai Chombi yang sampai di hospital mata di mana Kassim Selamat (P. Ramlee) baru lepas pembedahan mata dan berjaya.

AKTOR Hollywood, John Wayne berkunjung ke Singapura pada awal tahun 1960-an.
Dalam kunjungan itu, beliau menzahirkan rasa kagum dengan kecantikan Seniwati Studio Jalan Ampas yang kelihatan cantik berbaju kebaya.
Kelihatan dari kiri: Seniwati Mariani, Seniwati Hashimah Yon dan Seniwati Zaiton.
ZAITON tampak cantik bergaya dengan berkebaya pendek dan berkain batik wiron.

“Babak tersebut bukan sahaja menggambarkan kesedihan dan kegembiraan Chombi apabila Kassim Selamat sudah boleh melihat malah ia menyimpan rahsia apabila Abang Ramlee tak benarkan Umi sembamkan muka pada dada Kassim Selamat”

Apabila Wafa bertanya pada Umi apa rahsianya, sambil ketawa kecil Umi bercerita;

“Sebelum ‘take’ Abang Ramlee pesan ingat ya Chombi mesti palingkan muka ke kiri dada Kassim Selamat.

ZAITON turut berlakon dalam filem “Pertarongan” pada tahun 1960.
TURUT berlakon dalam filem “Seniman Bujang Lapok” pada tahun 1961.

“Sebelum shooting Abang Ramlee pesan begitu kerana takut ada kesan lipstik di baju kerana setiap kali balik dari shooting Norizan (Allahyarham) akan periksa baju. Jika ada kesan lipstik walaupun ia dalam babak filem nanti beliau akan marah.

“Abang Ramlee beritahu beliau bukan takut tetapi Norizan kuat cemburu dan Abang Ramlee tak mahu kerana kesan lipstik akan membuatkan Norizan marah kerana beliau sayangkan Norizan.”

MENGABADIKAN kenangan bersama pelakon Bollywood Shashi Kapoor bersama (dari kiri) Seniman
Aziz Jaafar, Zaiton, Seniwati Datuk Hajjah Sarimah dan Seniwati Normadiah.

Menurut Zaiton, sepanjang menjalani penggambaran filem arahan P. Ramlee beliau tidak pernah dimarah walaupun terlupa dialog.

“Itulah istimewa dan rahsia Abang Ramlee demi menjaga hati Norizan, isteri yang beliau sayangi. Bagi Umi selain mengarah beliau juga pelakon. Beliau tahu jika pengarah memarahi pelakon ia akan menjejaskan konsentrasi pelakon dan membuatkan keadaan tidak selesa.”

FILEM “Ibu Mertuaku” bnyak kenangan lucu bersama P. Ramlee.
INILAH babak dari filem “Ibu Mertuaku” yang mana Chombi (Kalsom Bee) begitu gembira apabila pembedahan mata, Kassim Selamat berjaya dan beliau boleh melihat.
Sebelum penggambaran babak ini, P. Ramlee mengingatkan Chombi (Zaiton) jangan sembamkan muka beliau ke dadanya sebaliknya rapatkan sahaja pipi kanannya ke dada Kassim Selamat kerana bimbang jika ada kesan lipstik pada bajunya akan mencetuskan ‘perang besar’ antara beliau dengan isterinya, Norizan kerana beliau dikatakan seorang yang terlalu cemburu!

Selain berlakon dalam filem arahan P. Ramlee, Zaiton juga pernah berlakon dengan beliau sebelum empat filem berkenaan.

“Sebelum itu, Umi pernah berlakon dengan Abang Ramlee dalam filem “Hang Tuah” arahan Phani Majumdar yang diterbitkan pada tahun 1956.

“Ingatkan Hang Tuah sukakan kita rupanya kita akan menjadi milik raja. Walaupun Tun Teja sedih dengan apa yang berlaku tetapi kerana watak dan lakonan Umi dalam filem itu telah melayakkan Umi memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Pesta Filem Asia Pasifik 1957 yang berlangsung di Jepun,” cerita Umi menyingkap kejayaan yang diraih sepanjang melayari hidup sebagai Seniwati filem
Melayu pada era 1950-an.

P. RAMLEE bersama isteri tersayang, Norizan.
ZAITON dan Datuk Aziz Sattar…bintang utama filem komedi “Aksi Kuching”.

Selain itu, Zaiton juga menerima Anugerah Aktres Terbaik pada Pesta Filem Malaysia 1958 kerana lakonannya sebagai Fatimah dalam filem “Taufan” arahan dan karya T. C Santos.

Sementara pada tahun 2006, Zaiton menerima Anugerah Seni Era pada majlis Anugerah Era 2006.

Apabila ditanya kenangan yang tidak boleh dilupakan sampai hari ini sepanjang menjadi pelakon dengan tenang sambil menahan sebak di dada, Zaiton bercerita;

FILEM “Raja Bersiong” dengan cerita, skrip dan lakonlayar oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman arahan Datuk Jamil Sulong terbitan Malay Film Productions adalah filem termahal dengan kos sebanyak RM750,000.
Filem yang diterbitkan pada tahun 1968 adalah filem terakhir terbitan Malay Film Productions (MFP) edaran Shaw Brothers yang mana setelah selesai penggambaran filem ini MFP ditutup dan para seniman dan seniwati dan para kru (petugas di belakang tabir) terpaksa mencari kerja lain.

“Sampai hari ini tidak mungkin Umi dapat melupakan ketika menjalani penggambaran filem ‘Raja Bersiong’ di Kedah, kami diberitahu Studio Jalan Ampas akan ditutup. Umi kasihan apabila pekerja studio terpaksa bawa teksi untuk menyara keluarga.

“Sebagai perempuan dan punya suami, Umi tidak terkesan dan gunakan waktu itu bersama suami dan anak-anak.

SENIWATI Zaiton…hari ini masih lagi jelita.

“Kini setiap kali menonton filem lama antaranya Pendekar Bujang Lapok ditayangkan di televisyen, Umi boleh menangis apabila memikirkan ramai sahabat seperjuangan telah meninggal dunia antaranya Kak Momo Latiff,” kata Zaiton yang kini hidup bahagia dikelilingi cucu-cucu dan cicit-cicit disamping lima orang anak melalui dua perkahwinan iaitu dengan Allahyarham Sasterawan Abdullah Hussain dan dan Usahawan Allahyarham Syed Abdullah Alkaff.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan seniwati legenda Zaiton sentiasa dirahmati Allah SWT…Amin.

PENULIS, Syed Wafa bergambar kenangan bersama Seniwati Legenda Zaiton yang amat beliau kagumi.
Previous articleAaron Aziz tidak mahu klise dalam lakonan
Next articleShiha Zikir ‘Lebih Baik’ mencintai diri sendiri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here