Rohana seorang artis yang baik hati, pemurah dan disayangi teman-teman.

Oleh : Nafsiah Jani

Foto : Koleksi Syed Wafa

Kegagalan sebanyak dua kali di peringkat awal dalam pertandingan Bintang RTM namun penyanyi, Allahyarham Rohana Jalil tidak pernah berputus asa untuk mengejar impian dan cita-citanya menjadi penyanyi.

Hinggalah pada 1979, Rohana nekad untuk merantau ke Kuala Lumpur dan menyertai pertandingan nyanyian Bintang RTM sekali lagi. Akhirnya cubaan ketiganya membuahkan hasil dan impiannya menjadi kenyataan apabila Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil dijulang sebagai juara Bintang RTM pada 1980.

Rohana menjulang piala kemenangannya bergelar Juara Bintang RTM 1980 yang disampaikan Menteri Penerangan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.

Bagaimanapun, laluannya untuk mencipta populariti tidak datang dengan mudah meskipun Rohana antara penyanyi yang memiliki kehebatan vokal yang mantap. Berkat kesabarannya, Rohana akhirnya meniti puncak kegemilangan selepas lagu Rayuanku hasil ciptaan komposer Allahyarham A. Ali dan lirik Lukhman S ini berjaya mencetuskan fenomena sekitar 1988.

“Lagu Rayuanku sepatutnya A. Ali nak bagi Zaiton Sameon, tapi Zaiton menolaknya kerana katanya lagu itu terlalu kekampungan. Syukurlah Zaiton menolaknya dan lagu tersebut A.Ali berikan kepada saya dan akhirnya lagu tersebut berjaya menaikkan nama saya. Begitu juga Zaiton yang berjaya dengan lagunya, Kabut Serangkai Mawar.

Rohana (tengah) bersama trofi Juara Bintang RTM 1980 yang dimenanginya.

“Itulah kenangan yang saya tak boleh lupakan.Tak sangka gandingan saya bersama arwah A. Ali sangat serasi apabila banyak lagu yang dihasilkan menjadi siulan peminat seperti Resahku. Arwah cukup cerewet kerana saya pernah merakamkan sebuah lagu sehingga empat hari kerana arwah inginkan kesempurnaan. Namun hasilnya cukup berbaloi,” kata anak kelahiran Kota Tinggi Johor ini.

Menyorot kembali perjalanan seni arwah Rohana anak sulong daripada enam adik-beradik ini kerjaya seninya bermula apabila beliau sering diundang menghiburkan orang ramai untuk majlis perkahwinan dan keramaian. Malah arwah juga pernah bekerja di kelab untuk menyara keluarganya.

Album Rohana Jalil “Gembira Di Hari Raya”.

Seperti penyanyi lain, Rohana juga tidak terkecuali mempunyai pengalaman pahit dan manis dalam bidang yang dicintainya ini. Minat yang mendalam terhadap dunia seni membuatkan Rohana tabah untuk megharungi segala onak dan duri seperti katanya,”Macam-macam dah saya lalui. Sampai tak larat nak fikir tau. 40 tahun dalam bidang ini namun tidak pernah terdetik untuk mengundur diri. Kalau rasa penat itu ada. Cuma ragam manusia ini ada hitam putihnya. Orang khianat, dengki, itu lumrah bukan.

“Kerana cinta dan sayang kepada seni, itu sebabnya saya terus bertahan. Saya sedar saya bukan artis yang ada deretan trofi pun. Apa yang saya ada hanyalah cinta, memori manis dan peminat yang sentiasa menyokong setiap langkah dalam industri. Kita pun tahukan, dunia seni ini tidaklah ‘manis-manis’ semuanya.”

Rohana dengan albumnya “Di Suatu Ketika” diterbitkan pada tahun 1982.

Rohana juga bertuah kerana Jaafar Onn sering mengajak dan mengundangnya untuk sama-sama terlibat dalam menjayakan sebarang persembahan pentas. Walaupun bayaran yang diterimanya sedikit namun Rohana tidak berkira atau memandang itu semua kerana baginya minatnya yang utama dan duit adalah perkara kedua.

Lagu lain yang turut menyumbang kepada kejayaan Rohana dalam industri seni adalah, Kerana Dia Kita Terpisah, Faez, Jauh Terkenang, Jangan Main Mata, Joget Gadis Kilang, Inikah Akhirnya dan Naluri Cinta, duet bersama To’ki.

Album “Rayuanku”, Rohana Jalil yang berjaya mencipta fenomena pada tahun 1988.

Penyanyi popular era 1980-an, Rohana cukup disenangi rakan-rakan artis sebagai seorang yang baik hati dan tidak berkira di kalangan teman-teman, arwah juga cukup akrab bersama rakan seperjuangan seperti Datin Salwa Abdul Rahman, Jaafar Onn, Datuk Azizul Khamis, Zur Eda, Azura Aziz, Haiza dan ramai lagi.

Hasil perkongsian hidup bersama suaminya, Jahangir Khan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Rosella, Shakira Idora dan Kilafairy. Kilafairy, 33, satu-satunya anak yang mengikut jejak langkah arwah Rohana dalam industri seni sebagai pelakon dan penyanyi.

Rohana berjaya memukau penonton dengan vokalnya yang mantap menyampaikan lagu “Rayuanku” pada AJL 1988.

“Mama adalah idola saya dan saya mahu mencontohi sifatnya yang kebal dan tidak mudah melatah meskipun berdepan dengan kritikan. Saya juga mahu menjadikan pengalaman hidup ibu sebagai perisai menghadapi segala pandangan negatif orang luar terhadap diri saya.

“Mama selalu pesan sentiasa berpijak pada tanah dan setinggi mana pun saya pergi, kalau nampak orang tua hormati dan salam serta cium tangan mereka,’’ kata Kilafairy yang turut mengagumi ibunya.

Rohana Jalil bersama sahabat artis Zaiton Sameon dan sahabat media Syed Wafa.

Sebagai ibu, Rohana cukup risau dengan anak bongsunya Kilafairy yang masih belum berkahwin berbanding kedua-dua kakaknya. Namun nampaknya hasrat Rohana tidak juga kesampaian melihat Kilaifairy berkahwin.

Menjalani kehidupan sederhana, bagi Rohana dia gembira dengan apa yang dimiliki. Namun ada nasihat yang dititipkan buat bakat muda yang baru hendak mencuba nasib. Nasihatnya pada pendatang baru sentiasalah merendah diri dan pegang niat untuk masuk dunia seni.

Rohana Jalil (kiri) bersama pelakon Wan Maimunah dan sahabat beliau, Allahyarham Jaafar Onn.

Jangan mudah dilambung ombak populariti dan hendaklah bersederhana dalam setiap langkah, InsyaAllah nama akan kekal lama. Anak muda ini jiwanya berbeza. Kita kena cuba faham dan bantu sedayanya. Hargai peluang yang diberi dan percaya, rezeki akan datang tepat waktunya. Malah pesan itu turut dititipkan pada anak bongsunya, Kilaifairy,

Sepanjang penglibatannya selama 40 tahun dalam industri nampaknya Rohana tidak pernah berkecil hati bakatnya tidak dihargai dan tidak diberikan sebarang gelaran dengan komitmennya yang berterusan tanpa jemu berjuang dalam dunia seni.

Kenangan Rohana Jalil bersama sahabat-sahabat beliau.

“Ada apa dengan gelaran, anugerah semuanya?. Bukan rezeki saya lagi, tak apalah. Bukan itu yang saya mahu. Tak kecil hati pun. Pada saya sudah cukup memadai peminat menghargai lagu-lagu dan karya seni yang saya dendangkan. Itu sudah cukup bermakna. Orang nak panggil buat show lagi pun kita kena bersyukur tau dalam usia-usia begini.

Pada Rohana tiada apa lagi yang ingin dikejarnya dalam dunia ini kerana dia sudah melalui kesemua fasa-fasa tersebut. Padanya populariti hanya sekadar di atas pentas sahaja, balik rumah dia adalah seorang isteri, ibu dan insan biasa yang mahu hidup secara besederhana.

Rohana (kiri sekali) bersama rakan- rakan artis yang menjayakan Konsert Setangkai Irama 80-an.

Antara pencapaian yang membanggakan sepanjang karier seninya, pada AJL 1986, Rohana yang menggantikan tempat Datuk Jamal Abdillah menyanyikan lagu Cinta Yang Terbiar mendapat tempat ketiga untuk kategori Persembahan Terbaik.

Manakala pada tahun 1988, Rohana merangkul anugerah Naib Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) musim ketiga bagi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Rayuanku. Malah Rohana juga pernah menjadi finalis AJL 1994, dengan lagunya Jangan Main Mata dan Naluri Cinta (duet bersama To’Ki).

Keluarga bahagia arwah Rohana Jalil bersama suami, anak-anak, menantu dan cucu tersayang.

Sepanjang empat dekad dalam dunia muzik, Rohana sudah merakamkan lebih 20 buah album termasuk beberapa album kompilasi dan album projek khas termasuk bersama arwah Jaafar Onn.

Antara lagu popular yang pernah dinyanyikannya termasuk Naluri Cinta, Pandang Pertama, Jangan Main Mata, Musafir Lalu, Di Suatu Ketika, Masih Dalam Ingatan, Kerana Dia Kita Terpisah, Jangan Main Mata, Jelingan Mata/ Lembaran Baru, Rintik-Rintik Hujan dan Penyakit Rindu.

Tinggal kenangan…Kilafairy bersama ibu tersayang, Rohana Jalil

Lagu lainnya pula adalah Gembira Di-Hari Raya (1979), Setia Bersama (1983), Mencipta Lagu Kuala Lumpur (1984), Irama Ria Hari Raya (1988), Juara Lagu Patriotik 1989 (1989), The Greatest Hits: Rohana Jalil & Noorshila Amin (2002).

Manakala album kompilasi yang pernah dirakamkan adalah album Pilihan Terbaik (1990), Koleksi Klasik Original (1999), Taat (2004), Memori Hitz (2011 dan Teman Semasa Berada (2010).

Rohana Jalil semasa hayatnya, beliau seoarang artis yang tidak pernah berputus asa untuk mengapai impian bergelar penyanyi.

Rohana Jalil meninggal pada usia 68 tahun pada 20 Jun 2023. Sebelum itu, Rohana dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak dua bulan lalu akibat usus bocor menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.33 malam dan dikebumikan di tanah perkuburan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21.

Previous articleKonsert Boney M mengimbau kenangan
Next articleAaron Aziz tidak mahu klise dalam lakonan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here