Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Melly Goeslaw
NAMA Melly Goeslaw bukan sahaja popular di negara kelahirannya, Bandung, Jawa Barat, Indonesia, malah pemilik nama sebenar Melliana Cessy Goeslaw, 51, itu juga memiliki kelompok peminat tersendiri di Malaysia.
Melly bukan sahaja disegani sebagai seorang penyanyi berkebolehan, malah beliau juga seorang komposer prolifik yang dicari ramai penyanyi untuk menyanyikan karyanya itu.

Siapa yang tak suka dengan lagu “Jika” (feat Ari Lasso), “Cinta” duet dengan Krisdayanti (2005) untuk runut bunyi filem “Tentang Dia” dan “Gantung” dari album ketiga, “Mindsoul” pada 2006, “Ada Apa Dengan Cinta” duet dengan Eric Erlangga (2002) lagu tema untuk filem “Ada Apa Dengan Cinta?” lakonan Dian Sastro dan Nicholas Saputra serta lagu “Ketika Cinta Bertasbih” feat Amee dan “Butterfly” duet dengan Andhika Pratama (2012).
Melly yang merupakan anak tunggal kepada pasangan Melky Goeslaw dan Ersi Sukaesih, mula menunjukkan bakatnya sebagai penulis ketika berada di sekolah menengah kerana mengikut jejak langkah bapanya yang merupakan seorang penyanyi.
Sebelum melakar nama sebagai penyanyi solo tersohor, Melly terlebih dahulu memulakan perjalanan seninya dengan kumpulan Potret yang ditubuhkan pada 1993 bersama Anto Hoed dan Andi Ayunir.

Pada 1995, Melly sah bergelar isteri kepada Anto dan pada tahun itu juga Potret mengeluarkan album pertama yang diberi judul “Potret” yang berentak pop dan lagu-lagu dalam album tersebut ditulis oleh Melly sendiri.
Selepas menghasilkan beberapa buah album dengan Potret, Melly mengambil keputusan untuk mencuba nasib sebagai penyanyi solo. Album pertama beliau yang berjudul “Melly” dikeluarkan pada 1999 dan mendapat sambutan menggalakkan juga.
Sebelum album “Melly” berada di pasaran, pada 1988 ketika usianya 14 tahun, Melly yang menggunakan nama Meliana Cessy mengeluarkan album sulung yang berjudul “Pilihanku Deritaku” namun kurang mendapat sambutan.
Nama Melly mula mencanak naik selepas beliau dan Anto berkolaborasi menghasilkan runut bunyi untuk filem “Ada Apa Dengan Cinta?”. Hasil kerjanya untuk filem tersebut mendapat pengiktirafan sebagai pemenang untuk Runut Bunyi Terbaik di Festival Filem Indonesia pada 2004.

Melly yang mendapat julukan Ratu Muzik Filem mendapat kepercayaan banyak penerbit filem untuk menghasilkan runut bunyi untuk filem keluaran mereka. Ternyata pilihan mereka tepat kerana kebanyakan karya beliau menjadi malar segar.
Antara filem yang mendapat sentuhan Melly adalah “Eiffel I’, In Love” (2003), “Apa Artinya Cinta” (2005), “The Butterfly” (2007) dan “Ketika Cinta Bertasbih” (2009). Melly juga pernah menulis dan menyanyikan lagu “Dibius Cinta untuk runut bunyi filem “Cicakman 2-Planet Hitam” bersama Yusry.
Ibu kepada dua orang anak lelaki bernama Anakku Lelaki Hoed, dikenali sebagai Ale Hoed yang dilahirkan pada 22 Ogos 2000 dan anak kedua, Pria Bernama Hoed yang lebih mesra dengan panggilan Abe Hoed yang lahir pada 9 Mei 2003. Nama anak-anak memang unik dan kedua-duanya diberikan oleh Melly.
Peminat kepada Allahyarham Tan Sri P.Ramlee itu selain dikenali kerana genius dalam berkarya, Melly juga sering tampil kelainan setiap kali beraksi di pentas. Penyanyi yang sinonim dengan genre pop, R & B, Indo Pop dan balada itu kalau tidak membuat kejutan di pentas bukan Melly Goeslaw namanya.

Sebelum berhijab Melly pernah dibandingkan dengan Bjork kerana mengenakan pakaian ‘aneh’, solekan tebal dan warna rambut yang luar biasa sewaktu di pentas. Namun itulah identiti Melly yang selesa menjadi diri sendiri.
Sejak 2023 hingga kini, Melly bukan saja bergelar artis, beliau juga seorang ahli politik dari Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) di bawah pimpinan Probowo Subianto.
Jelas Melly, beliau ada alasan tersendiri kenapa menceburi politik dan bukan kerana terikut dengan rakan-rakan artis yang lain.
“Secara dasarnya, aku tidak tertarik untuk terlibat dalam dunia politik kerana duniaku tetap sebagai seniman. Cuma bila di Parlimen, wakil rakyat itu dari pelbagai cabang, di antaranya adalah seniman.
“Banyak sekali hal-hal di dunia seni yang menurut aku dan sebenarnya sudah aku perjuangkan selama 13 tahun tapi belum sampai ke titik baik. Aku rasa ketika dapat peluang ini, aku ingin mencuba masuk ke dalam untuk memperbaiki yang memang aku lihat selama 13 tahun itu harus diperbetul,” jelas Melly kepada Kompas TV, antara sebab kenapa beliau menceburi politik.

Melly bakal hadiri prom nite bersama peminat
Setiap kali menjayakan konsert di Malaysia, Melly akan pastikan penampilannya senitasa berbeza agar penonton tidak bosan dengan persembahannya itu.
Pada 31 Mei ini bertempat di Axiata Arena, bermula jam 8.30 malam, Melly akan menjayakan konsert ketiganya iaitu Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite. Tema konsert ini dipilih sebagai kesinambungan daripada dua persembahan yang ditampilkan sebelum ini iaitu Ada Apa Dengan Melly…? (Back To School dan konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends (Malam Graduasi).
“Untuk konsert kali ketiga ini, aku yakin semua masyarakat di sini mengharapkan yang lebih gah daripada sebelum ini. Aku bersama Icon Entertainment terus berbincang supaya tidak mengetengahkan perkara yang sama.
“Setiap kali aku dan Mas Anton buat konsert, di Malaysia atau Indonesia kami akan cuba buat yang paling grand. Insya-Allah ada sesuatu yang baharu yang belum pernah terjadi di konsert aku di Malaysia mahupun Indonesia. Ada gimik dan sesuatu yang akan diberikan kepada penonton. Memang grand bangat.

“Apa yang pasti, aku belum tahu berapa lama konsert itu akan berdurasi. Aku kalau enjoy di pentas pasti lupa bahawa durasi sudah berakhir. Semua itu bergantung kepada penontonnya, mudah-mudahan tidak membosankan.
“Konsert pertama dulu hampir empat jam. Kalau penonton terhibur mungkin persembahannya lebih lama lagi. Energi penonton juga membantu hype kami untuk meneruskan persembahan. Seperti biasa, konsert kali ini juga kita akan berkolaborasi dengan pemuzik Malaysia,” kata Melly yang setiap kali datang mesti mencari Maggie mi.
Melly yang menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya berkata, beliau selesa berada di sini kerana masyarakat tempatan menerimanya dengan baik.
“Aku betah berada di sini kerana masyarakat Malaysia juga menerima aku dengan baik. Hal-hal seperti ini bisa terjadi lama. Sebenarnya aku punya cita-cita ingin kolaborasi dengan komposer di sini juga, insya-Allah akhir tahun ini tercapai.

“Untuk konsert Prom Nite ini juga aku ada bawa artis baharu dari Indonesia kerana aku senang berkolaborasi dengan artis muda yang baharu dan belum terkenal. Sebagai pemuzik senior aku punya kewajiban untuk memberi mereka peluang supaya mereka bisa terkenal,” katanya yang tidak lokek berkongsi ilmu itu.
Bagi Melly, tidak ada janji manis yang mahu diberikan kecuali menyeru agar peminatnya tidak terlepas untuk berpesta ria pada malam Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite.
“Kerana ia akan menjadi momen paling tidak terlupakan untuk kita semua. Aku pingin konsert ini bukan konsert aku dan Mas Anton tapi penonton juga ikut konsert dengan mengenakan kostum mengikut tema,” ujar Melly.
Bagi yang ingin mengenakan pakaian terindah dan memenangi hadiah menarik selain menonton konsert Melly, jangan lupa untuk mendapatkan tiket dengan melayari www.ticket2u.com.my

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.