SAADIAH bukan sahaja memikili wajah yang cantik malah tahi lalat yang menghiasi bawah bibir kirinya menambahkan kejelitaannya.

Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa

DALAM dunia seni sama ada pelakon atau penyanyi, gosip memang tidak dapat dipisahkan kerana ia bagaikan asam garam dunia hiburan.

Gosip wujud bukan hari ini malah sejak wujudnya dunia seni. Bagaimanapun untuk mengatasinya…hanya mereka yang bijak dan tahu menepis segala gosip akan mampu hidup dengan tenang.

SAADIAH bersama kakaknya, Mariam yang membintangi filem “Kerana Kau” arahan KRS Sastry terbitan tahun 1953.
GADIS remaja yang pandai menari dan merupakan anak kepada bintang filem Shaw Brothers.
Dari kiri: Saadiah (anak Harun Omar), Rugayah (anak Ahmad Mahmud), Sri Rahayu (anak S. Sudarmaji), Fatimah Ghaus dan Haslinda (anak Mariani).

Sama ada suka atau tidak para artis terpaksa tempuhinya. Biarpun kadangkala gosip itu boleh melukakan hati mereka tetapi sekali menjejakkan kaki ke dunia seni mereka harus menghadapinya.

Bagaimanapun bagi Allahyarham primadona filem Melayu, Saadiah atau nama sebenarnya Satya Baharom, beliau dianggap bertuah kerana sepanjang penglibatannya dalam dunia seni tidak terpalit dengan gosip liar yang boleh menjejaskan kariernya apalagi setelah berumahtangganya.

Allahyarham Saadiah bersama suami pertamanya, Atan Samad.
LAKONAN hebat Saadiah dalam filem “Penarek Becha” 1955.

Sebabnya beliau yang sering menemani kakaknya Seniwati Mariam menjalani penggambaran, menceburi bidang lakonan pada usia 13 tahun (1950) dengan filem pertamanya “Rachun Dunia” arahan B. S Rajhans dengan bintang utamanya Kasma Booty, Siput Sarawak, Osman Gumanti, Jaafar Wariyo dan P. Ramlee.

Sementara pada usia 17 tahun, Saadiah menamatkan zaman bujangnya apabila berkahwin dengan Atan Samad pada tahun 1954 dan antara filem yang dibintangi adalah “Iman” arahan K.R. S Sastry. Dalam filem ini Saadiah sebagai Haminah berpasangan dengan Ahmad Mahmud (Tok Guru/ Roslan).

TURUT berlakon dalam filem “Hang Tuah” bersama P. Ramlee pada tahun 1956 sebagai watak Melor.
SAADIAH dalam filem “Semerah Padi” pada tahun 1956.

Melalui perkahwinan itu, Saadiah dan Atan Samad dikurniakan tiga orang anak iaitu Azizah, Noraini dan Rohaya.

Bagaimanapun setelah selesai penggambaran filem “Antara Dua Darjat” (1960) Saadiah dan Atan Samad bercerai. Adalah difahamkan setelah bercerai Saadiah memelihara anak keduanya Noraini.

DALAM filem “Semerah Padi,” beliau sebagai watak Dara.

Bila bercakap mengenai kahwin cerai sebagai ‘public figure’ memang tidak dinafikan perceraian yang melibatkan artis sering menjadi perhatian tetapi hakikatnya perceraian bukan melibatkan artis sahaja kerana jodoh pertemuan ditentukan-Nya.

Bagaimanapun tanpa gosip liar tidak lama selepas itu, pada tahun 1961, Saadiah ditemukan jodoh dengan Allahyarham Datuk Ahmad Daud.

Pasangan ini hidup bahagia sehingga akhir hayat mereka dengan dikurniakan tiga orang anak iaitu Fauziah, Fazal dan Fazlina.

“ANTARA Dua Darjat” adalah filem ke-10 dan terakhir lakonan Saadiah bersama P. Ramlee. Filem ini diterbitkan pada tahun 1960.
DALAM filem “Korban” pada tahun 1963.

Kebahagiaan hidup mereka memberi sinar dalam kerjaya mereka bilamana setelah perkahwinan itu, tawaran berlakon untuk Datin Saadiah tidak pernah henti.

Sepanjang 34 tahun dalam bidang lakonan, Saadiah telah membintangi 45 filem dengan 10 daripadanya beliau berlakon bersama P. Ramlee dan filem terakhir lakonan beliau adalah “Matinya Seorang Patriot” (1984).

SERING menjadi cover majalah hiburan terkenal ketika itu.
DI ZAMAN kegemilangannya Saadiah sering menjadi model produk kecantikan antaranya Sabun LUX.

Antara filem lakonan Saadiah bersama P. Ramlee ialah “Juwita” (1951), “Anjoran Nasib” dan “Sedarah” (1952), “Penarek Becha” (1955), “Hang Tuah” dan “Semerah Padi” (1956),
“Sarjan Hassan” (1958), “Musang Berjanggut” (1959) dan “Antara Dua Darjat” (1960).

Bagaimanapun adalah difahamkan ketika P. Ramlee akan mengarahkan filem “Semerah Padi,” Saadiah bukanlah pilihan pertama beliau untuk watak Dara.

SAADIAH adalah seniwati pertama yang membawa watak ajen perisik dalam filem “Nora Zain Ajen Wanita 001.”

P. Ramlee bersama Penolong Pengarahnya, Syed Hassan dan S. Sudarmaji telah mengadakan satu sesi ujibakat untuk memilih pelakon bagi watak tersebut dan senarai akhir yang menjalani uji bakat adalah Latifah Omar, Hasnah Rahman, Sri Dewi dan Mislia.

Sayangnya Latifah Omar terpaksa menarik diri kerana akan berkahwin dengan Rahmat Ali (ayah seniwati Rahmah Rahmat). Sementara Mislia baru berkahwin.

PASANGAN bahagia…Saadiah dan Ahmad Daud.
SAADIAH…antara seniwati popular pada sejak 1950an – 1984.

Bagaimanapun pihak Shaw Brothers memberitahu P. Ramlee “Semerah Padi” harus diterbitkan dalam skala besar untuk dipertandingkan pada Festival Filem Asia dan harus menampilkan seorang pelakon bertaraf bintang.

Disebabkan tiada pilihan, P. Ramlee memberikan watak Dara kepada Saadiah walaupun Saadiah baru lepas melahirkan anak sulungnya yang diberi nama
Azizah iaitu watak Saadiah dalam filem “Penarek Becha.”

SAADIAH dan Aziz Jaafar adalah bintang utama filem “Mambang Moden” yang turut dibintangi Normadiah, Aziz Sattar, S. Shamsuddin, M. Zain, Dayang Sofia, Omar Suwita, Ibrahim Pendek, Rahmah Rahmat dan Momo Latiff.
Filem arahan Jamil Sulong ini diterbitkan pada tahun 1964.
Pada tahun 1958, Seniman legenda Aziz Sattar bersama primadona Saadiah & Seniwati Dayang Sophia mewakili aitu artis-artis Shaw Brothers sedang membahagi-bahagikan hadiah untuk kanak-kanak yang berada di SGH (Singapore General Hospital). Artis dulu juga terlibat dalam majlis amal berbilang bangsa & agama antaranya adalah acara menjelang Hari Natal.

Filem “Semerah Padi” yang dibintangi Nordin Ahmad, Saadiah dan P. Ramlee telah ditayangkan pada 14 Julai 1956. Filem ini dikatakan telah mengiktirafkan Nordin Ahmad sebagai pelakon berkarisma.

Sepanjang kerjayanya dalam bidang lakonan, Saadiah yang pernah mengarah sebuah filem “Ceritaku Ceritamu” (1979) adalah antara bintang selain Ahmad Mahmud yang menerima bayaran bulanan tertinggi daripada Shaw Brothers selepas P. Ramlee.

SAADIAH mengiringi seniman dan seniwati – Dayang Sofia, M. Amin, Roseyatimah, Jins Shamsuddin, Hashimah Yon, Mustapha Maarof, Rahmah Rahmat dan Nordin Ahmad menghiasi ‘Cover’ Majalah Arena Filem.
SAADIAH dan Ahmad Daud sehingga kini dikenang.

Sementara itu pada Festival Filem Malaya pada tahun 1956 beliau dinobatkan sebagai Aktres terbaik melalui filem “Semerah Padi” dan sekali lagi beliau memenangi anugerah yang sama melalui filem “Musang Berjanggut” (1959).

Sementara itu melalui pilihan Majalah Filem, tiga kali Saadiah memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik iaitu melalui filem “Penarek Becha” (1956), “Hang Tuah” (1957) dan “Antara Dua Darjat” (1961).

BAYANGKAN betapa hebatnya show Hari Raya pada zaman itu di Singapura!
Dengan bintang filem pujaan ramai…P. Ramlee, Sarimah, Aziz Jaafar, Saadiah dan Jins Shamsuddin di atas satu pentas!
KELUARGA bahagia…Saadiah dan Ahmad Daud bersama anak-anak mereka.
Berdiri dari kiri: Fauziah, Fazal, Fazlina dan Noraini.

Menyantuni penglibatannya dalam dunia lakonan selama 34 tahun, primadona filem Melayu, Saadiah mencatatkan sejarah manis apabila beliau menerima Anugerah Panggung Era pada Anugerah Era 2001.

Saadiah yang pernah muncul dalam iklan Sabun Lux pada tahun 1953, dikatakan tidak begitu sihat setelah membintangi filem “Matinya Seorang Patriot” dan beliau lebih banyak menguruskan keluarganya.

PASANGAN bahagia sehingga hujung nyawa…Saadiah dan Ahmad Daud.

Saadiah meninggal dunia di rumahnya kerana penyakit kencing manis pada 26 Februari 2005.

Sudah 20 tahun Saadiah meninggal dunia dan kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman…Amin.

KENANGAN indah penulis, Syed Wafa bersama primadona Saadiah.
PUSARA Allahyarham Saadiah di Tanah Perkuburan Islam, Ampang.
Previous articleRamadan Yang Indah!
Next articleSet Talam Istimewa Ramadan di Restoran Rasa Rosz

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here