Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
Selamat Hari Raya
Aidilfitri…hari bahgia
Hari yang mulia
Mohon maaf bersama dipinta
Selamat…Selamat Hari Raya
Sembah salam…Ayah dan Bonda
Ampunkanlah dosa
Hilangkanlah duka dan nestapa
Selamat…Selamat Hari Raya
Semoga kita berjumpa lagi
Di hari bahgia ini
Mari teman…mari saudara
Kita bergembira
Lupakanlah hatimu yang duka
Selamat…Selamat Hari Raya
Semoga kita berjumpa lagi
Di hari bahagia ini
Mari teman mari saudara
Kita bergembira
Lupakanlah hatimu yang duka
Selamat…Selamat Hari Raya
Pencipta: Kassim Masdor
Lirik: Jins Shamsuddin

SETIAP tahun selalunya dua minggu sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri pastinya lagu-lagu bertemakan “Hari Raya” akan berkumandang di kebanyakan stesyen radio tempatan sebagai memeriahkan dan menyambut hari bahagia bagi seluruh umat
Islam setelah sebulan berpuasa.
Dalam meraikan kedatangan Hari Raya sesuatu yang pasti lagu Hari Raya tahun 1960-an dan 1970-an sentiasa menjadi pilihan dan diputarkan diradio bukan sahajs menceriakab suasana sebaliknya ia mampu menggamit kemeriah hari raya yang sentiasa dinanti-nantikan.


Raya tidak akan bermakna tanpa lagu-lagu raya yang berkumandang di radio dan bagi rakyat Malaysia, meskipun lagu-lagu yang diputarkan berulang kali setiap tahun tetapi ia tidak pernah menjemukan kerana ia mampu membangkitkan nostalgia kemeriahan hari raya.
Itulah nilai lagu raya yang ‘evergreen’ yang sentiasa menjadi pilihan dan antara lagu raya yang tidak pernah dipinggirkan adalah lagu “Selamat Hari Raya” nyanyian Allahyarham Biduanita Fazidah Joned.

Gambar ini dirakamkan pada tahun 1964 sempena majlis Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.
“Selamat Hari Raya” nyanyian Fazidah Joned bersuara serak-serak basah dengan lirik oleh Jins Shamsuddin dan ciptaan Kassim Masdor dirakamkan pada tahun 1965. Walaupun lagu ini telah berusia 60 tahun, ia dikatakan lagu raya klasik ala-twist yang diminati ramai dan sentiasa menyerikan Hari Raya.
Lagu raya klasik era 60-an nyanyian Fazidah Joned ini dikatakan adalah satu diantara 10 lagu raya yang disenaraikan sebagai lagu raya yang menjadi pilihan ramai dan dikatakan mampu memeriahkan suasana Hari Raya disamping lagu “Dendang Perantau” (P. Ramlee), “Satu Hari Di Hari Raya” (Datuk M. Nasir), “Ku Pohon Restu Ayah Bonda” (Mamat Exists) dan “Selamat Hari Raya” (Saloma).


Begitulah hebatnya lagu raya nyanyian beliau yang dikatakan ‘tidak lapok dek hujan dan tak lekang dek panas!’
Fazidah Joned atau nama sebenarnya, Fadila binti Mohd. Joned anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur mula menceburi bidang nyanyian bermula tahun 1960-an sehingga 1970-an. Beliau sering diundang menyanyikan lagu-lagunya di radio Singapura dan Malaysia.


Beliau dilahirkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur mula menyanyi pada usia 14 tahun dengan Orkestra Sukmamurni pimpinan bapa saudaranys, Shahruddin Amin. Bersama orkestra tersebut, beliau sering diundang menyanyi di majlis perkahwinan dan pertunjukan pentas.
Fazidah Joned mula menceburi bidang seni secara serius setelah memenangi Bintang Radio Singapura pada tahun 1962. Sebagai penyanyi, bintangnya semakin bersinar setelah mengikat kontrak sebagai ‘recording artist’ selama tiga tahun dengan syarikat rakaman EMI. Bersama EMI, Fazidah Joned telah muncul dengan sembilan EP dan sebuah LP berjudul “Tiga Dara.”

Popularitinya ketika itu dikatakan setanding dengan SM Salim, Kamariah Noor, Saloma, P. Ramlee dan Julie Sudiro.
Bagaimanapun ketika namanya di puncak populariti, Fazidah Joned telah mengejutkan para peminatnya apabila beliau mengambil keputusan mendirikan rumahtangga dengan kawan sepermainannya sejak kecil iaitu Wan Abdul Aziz Mohd. Ali. Melalui perkahwinan itu, beliau dikurniakan dua orang cahayamata iaitu Wan Norafiza dan Wan Azri.

Sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi, beliau telah muncul dengan lagu-lagu popular antaranya “Kasih Se-panjang Masa, Siapa Dia, Tiga Bidara” (1963), “Laksana Nilam, Aku Tetap Riang, Irama Cinta, Lenggok Ria dan Senandong Ria,” (1964), “Selamat Hari Raya dan Tua Keladi,” (1965) dan “Apa Khabar,” (1966).
Fazidah Joned menghembuskan nafas terakhir kerana penyakit ketumbuhan usus (septicaemia) pada usia 57 tahun di Hospital Selayang, Selangor pada 1 Jun 2001.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Biduanita Fazidah Joned sentiasa dicucuri rahmat…Amin.

SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.