Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
Perigi Biru
Wahai perigi
Perigi airnya biru
Tempat bermain
Bermain pari dan mambang
Mohon izinkan hamba merayu ibu
Izinkan hambar merayu ibu
Bagi penawar hatiku yang bimbang
Wahai bonda ibu kandungku
Wahai bondaku
Bondaku si ikan kaloi
Timbullah bonda ooi…
Timbullah tunjukkan diri
Nasi melukut dengan sayur keladi
Nasi melukut sayur keladi
Untuk bondaku di pagi hari
Wahai bonda ibu kandungku
Lagu dari: Filem “Bawang Puteh Bawang Merah”

KAMARIAH Noor bukanlah satu nama asing bagi para peminat lagu-lagu Melayu Asli pada era 1950-an sehingga 1970-an kerana beliau sering menyanyikan lagu-lagu irama demikian di radio Malaysia.
Allahyarham Kamariah Noor yang juga dikenali Kamariah Dolmat adalah adik kepada Raja Biola, Allahyarham Hamzah Dolmat. Beliau yang dikatakan memiliki suara yang unik pernah muncul dalam sebuah album yang menggabungkan beliau dan abangnya dengan menyanyikan lagu-lagu asli.


Walaupun namanya jarang disebut tetapi Kamariah Noor adalah penyanyi yang ‘outstanding’ kerana beliau boleh menyanyikan pelbagai rentak lagu antaranya baion, hindustan, joget, kaparinyo, masri dan samba.
Bukan itu sahaja, malah beliau jarang diundang muncul di program TV tetapi sesuatu yang harus diakui sejak tahun 1950-an, Kamariah sudah cukup popular dengan genre lagu-lagu berkenaan.


Kamariah Noor dan abangnya, Hamzah Dolmat pernah muncul dalam satu album “KAMARIAH DAN HAMZAH” yang mengabadikan 10 lagu.
Lima lagu dinyanyikan Kamariah Noor iaitu “Anak Dagang, Permata Yang Hilang, Rasa Seksa, Jasa Patani dan Kemboja Layu.”

Sementara lima lagu nyanyian Hamzah Dolmat ialah “Joget Seberang, Bagaimana, Salam Ku, Mari Berdendang Sayang dan Bertemasha.”
Disamping itu, Kamariah Noor cukup terkenal sebagai penyanyi asal lagu-lagu klasik untuk filem-filem terbitan Cathay Keris.

Lima lagu nyanyian Kamariah Noor dan lima lagi dinyanyikan oleh Hamzah Dolmat.

Suara beliau sering dipinjamkan untuk Seniwati Latifah Omar yang merupakan ‘heroin’ terkenal syarikat berkenaan.
Antara lagu-lagu Melayu klasik yang dinyanyikan seperti “Timang Banjar, Sejak Berpisah dan Anak Dagang.”


Jika anda pernah menonton filem “Bawang Puteh Bawang Merah” terbitan Cathay Keris tahun 1959 arahan Allahyarham Datuk S. Roomai Noor lakonan Latifah Omar (Bawang Merah), Umi Kalthum (Bawang Puteh), Mustapha Maarof (Putera Raja / Suami Bawang Merah), Minah Yem (Labu / Mak Bawang Merah),Siti Tanjung Perak (Kundor/ Mak Bawang Puteh) pasti anda ingat babak Bawang Merah ketika mahu memberi makan nasi melukut dengan sayur keladi kepada ikan kaloi yang merupakan ibunya.
Lagu tersebut berjudul “Perigi Biru” dan satu lagi lagu “Buaiku Laju” babak Putera Raja menyuruh Bawang Merah menyanyi, dinyanyikan oleh Kamariah Noor.


Kamariah Noor meninggal dunia pada usia 62 tahun.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Biduanita Kamariah Noor sentiasa dicucuri rahmat…Amin.


SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.