Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
APABILA sebut nama Allahyarham Biduanita Negara, Puan Sri Saloma pasti akan mengingatkan anda akan kelunakan suara beliau yang mengangkat namanya bukan setakat di Malaysia malah hingga ke luar negara.
Saloma hadir dalam bidang seni sebagai penyanyi pada usia 13 tahun dan pernah menyanyi di beberapa kelab malam di luar negara termasuk Hotel Oriental, Melbourne dan disiarkan di televisyen di sana.


Malah Saloma pernah berpeluang menyanyi di Radio Malaya apabila bapa tirinya, Mum Yusof membawanya melihat orkestra membuat persembahan. Disebabkan Rokiah Wanda tidak dapat hadir, Saloma diberi peluang menyanyikan lagu-lagu yang sepatutnya dinyanyikan penyanyi berkenaan untuk siaran radio antaranya “Sang Rang Bulan.” Lagu tersebut menjadi salah satu lagu untuk filem “Rachun Dunia.”
Bagaimanapun bakat Saloma sebagai pelakon mula diperkenalkan melalui filem pertama lakonannya “Pelangi” diikuti “Perkahwinan” dan “Norma” terbitan tahun 1951.

Filem terbitan tahun 1951 dengan pelakon utama: S. Kadarisman, Aini Hayati, Daeng Idris dan Mak Dara.
Penampilan istimewa: Saloma sebagai penyanyi pancaragam.

Filem ini dikatakan adalah satu diantara beberapa filem lakonan beliau yang hilang.
Sejak itu sehingga 1961, Saloma telah berlakon dalam 12 filem yang mana kebanyakan watak yang diberikan kepadanya adalah sebagai penyanyi kelab malam atau penyanyi undangan dengan yang terakhir dalam filem “Saudagar Minyak Urat” (1961).
Apa yang pasti filem-filem berkenaan tidak mampu menampilkan Saloma sebagai salah seorang pelakon terkenal walaupun melalui wataknya sebagai Rokiah dalam filem “Empat Isteri” arahan B. S Rajhans (1955) terbitan Malay Film Productions.



Bagaimanapun apabila melihat lakonannya berwatak (bukan sekadar menyanyi) dalam tiga filem arahan P. Ramlee iaitu “Seniman Bujang Lapok,” (terbitan Malay Film Productions – 1961) dan “Sabaruddin Tukang Kasut,” (1966) dan “Ahmad Albab”(1968) terbitan Merdeka Film Productions, nyatalah Saloma bukan sekadar memiliki suara yang merdu dan lunak didengar malah beliau juga berbakat dan sememangnya seniwati sejati.
Lihatlah lakonan Saloma sebagai ‘Cik Salmah’ dalam filem “Seniman Bujang Lapok” (1961) arahan P. Ramlee bukan sahaja telah memperkenalkan Saloma sebagai pelakon malah dianggap ‘sebutir bintang’ yang mula menyerlah.

Para seniman dan seniwati yang membintangi filem ini ialah P. Ramlee, M. Zain, Mariani, Saloma, Udo Omar, Shariff Dol, Babjan, Rahimah Alias, Nyong Abdullah dengan penampilan istimewa Pancha Sitara.

Menjiwai watak Cik Salmah, jururawat yang turut menyewa salah sebuah ‘pintu’ di rumah sewa berkenaan bersama ibunya berjaya menampilkan sisi lain Saloma yang sebelum ini dikenali sebagai penyanyi.
Lakonannya yang bersahaja dan kadangkala manja dalam babak-babak beliau bersama ‘Cik Ramli’ (P. Ramlee antara tiga bujang lapok – Ajis lakonan Aziz Sattar dan Sudin dilakonkan seniman S. Shamsuddin) membuktikan Saloma benar-benar menjiwai watak berkenaan dan lakonannya begitu menyerlah di samping P. Ramlee.


Bukan itu sahaja, malah kemesraan dan percintaan mereka nampak begitu ‘manis dan penuh sopan’ hingga membuat penonton merasakan seolah-olah ia adalah sebuah realiti.
“Seniman Bujang Lapok” yang ditayangkan pada 6 Julai 1961 bukan sahaja telah mewujudkan ‘chemistry’ antara Seniwati Saloma dan Seniman P. Ramlee malah ia juga dikatakan telah membibit perasaan cinta antara dua insan seni ini.


Filem ini diterbitkan oleh Shaw Brothers Hong Kong.

Rentetan ‘percintaan’ antara ‘Cik Salmah’ dan ‘Cik Ramlee’ dalam filem berkenaan akhirnya disimpul dalam sebuah ikatan yang sah sebagai suami isteri apabila pasangan ini berkahwin pada 21 November 1961. Perkahwinan mereka berlangsung di rumah sahabat karib mereka di Jalan Tembeling.
Sebelum berkahwin dengan P. Ramlee, Saloma pernah berkahwin dengan A. R Tompel pada April 1952 tetapi bercerai setelah lima bulan berkahwin. Melalui perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan seorang anak diberi nama, Armali Aman Ramli.

Filem ini dibintangi Safiah Ibrahim, Ali Rahman, Mahmud June, Minah Hashim dan Idris Hashim.
Penyanyi undangan: P. Ramlee dan Saloma.
Kemudian Saloma berkahwin buat kali kedua dengan Kaswan Yushak pada 1957. Mereka berkenalan ketika belajar bahasa Inggeris di Sekolah Inggeris Tanglin. Perkahwinan ini juga tidak lama dan berakhir dengan perceraian.
Setelah mempamerkan lakonan yang menyerlah dan menyakinkan dalam “Seniman Bujang Lapok,” Saloma sekali lagi diberi tanggungjawab melakonkan watak utama dalam filem “Sabaruddin Tukang Kasut”arahan P. Ramlee sebagai Tuan Puteri Sabarina.



Dalam filem terbitan tahun 1966 ini, lakonan Saloma sebagai Puteri Sabarina yang akhirnya berkahwin dengan Sabarudin dikatakan mampu membawa para penonton menghayati kesetiaan dan perasaan kasih sayang Puteri Sabarina terhadap Sabaruddin si tukang kasut yang akhirnya hidup bahagia walaupun menempuh dugaan.
Bagaimanapun lakonan Saloma sebagai Mastura anak orangkaya, Sheikh Mas’hud Al-Buaya (AR Tompel) dalam filem “Ahmad Albab” bukan sahaja menampilkan sifat seorang isteri yang penuh kasih sayang terhadap suami yang jujur dan lurus malah keikhlasannya menerima Syawal si gembala lembu benar-benar menyentuh hati.

Melihat watak Mastura yang begitu kasihkan Syawal, kadangkala sebagai penonton kita dapat merasakan realitinya betapa sayangnya Saloma (Mastura) terhadap P. Ramlee (Syawal).
Mastura sanggup menerima bagaimanapun keadaan Syawal, si pengembala kambing yang jujur dan ikhlas yang mana akhirnya hidup mereka yang pada mulanya susah akhirnya diberi kekayaan dan kemewahan kerana kejujuran mereka.

Percintaan dan kasih sayang Saloma terhadap P. Ramlee bukan sekadar lakonan dalam filem malah beliau dikatakan begitu menyanjungi dan menyintai seniman berkenaan sejak menonton filem “Aloha” (1950) dengan watak sebagai ‘Banjo.’
Realitinya selepas P. Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973, Saloma diselubungi dengan kesedihan dan kemurungan sehingga menjejaskan kesihatannya.


Saloma yang kehilangan kasih sayang seorang insan bernama suami menghidap pelbagai penyakit menyebabkan badannya semakin kurus dan beliau kelihatan terlalu uzur.
Beliau dimasukkan ke Hospital Assunta, Petaling Jaya dan meninggal dunia kerana penyakit kuning pada usia 48 tahun pada 25 April 1983.

Jenazah Allahyarham disemadikan antara pusara suaminya, Allahyarham P. Ramlee dan bekas suaminya, Allahyarham Aman Ramlie atau lebih dikenali AR Tompel di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh Allahyarham Saloma dan Ramlee sentiasa dicucuri rahmat…Amin.

Neng Yatimah, Allahyarham Momo Latif, Seniwati Zaiton, Allahyarham Seniwati Sri Dewi, Allahyarham Seniman Datuk
Aziz Sattar, Allahyarham Seniwati Mimi Loma dan ramai lagi.

SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.









